Apabila ilham tidak datang...
Kita masih lagi di awal tahun, pahit maung yang dilalui pada tahun 2005 masih segar dalam ingatan, kecualilah bagi Melayu Melayu yang mudah lupa. Tahun 2006 dimulakan dengan harapan rakyat untuk melihat satu pemerintahan yang berkesan oleh kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Awal-awal lagi para ahli nujum politik membuat ramalan bahawa rombakan kabinet yang dinanti-nantikan pada tahun lalu, akan berlaku awal tahun ini.
Pada tahun lalu, hampir setiap bulan media menjangka Pak Lah akan membuat rombakan kabinet. Namun jangkaan mereka meleset kerana Perdana Menteri kita itu masih kekeringan ilham.Dan nampaknya pada awal tahun ini pun, beliau masih ketandusan ilham.
Kita masih lagi di awal tahun, pahit maung yang dilalui pada tahun 2005 masih segar dalam ingatan, kecualilah bagi Melayu Melayu yang mudah lupa. Tahun 2006 dimulakan dengan harapan rakyat untuk melihat satu pemerintahan yang berkesan oleh kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Awal-awal lagi para ahli nujum politik membuat ramalan bahawa rombakan kabinet yang dinanti-nantikan pada tahun lalu, akan berlaku awal tahun ini.
Pada tahun lalu, hampir setiap bulan media menjangka Pak Lah akan membuat rombakan kabinet. Namun jangkaan mereka meleset kerana Perdana Menteri kita itu masih kekeringan ilham.Dan nampaknya pada awal tahun ini pun, beliau masih ketandusan ilham.
Tegas Pak Lah baru-baru ini, beliau terlalu sibuk memikirkan soal lain, terutamanya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Belum terfikir di benaknya untuk merombak kabinetnya. Belum datang ilham siapa yang patut digugurkan, siapa patut diturun pangkat dan yang mana pula perlu ditukar kementerian.
Jelas sekali rombakan kabinet tidak termasuk dalam agenda utama beliau ketika ini. Eloklah tu Pak Lah...biarkan debaran terus menghantui menteri-menteri yang disebut-sebut akan digugurkan. Biarkan mereka yang berangan-angan untuk naik pangkat, terus mengharap.
Awal-awal tahun lagi Pak Lah sebenarnya telah diuji oleh pelbagai isu dan masalah. Antaranya desakan supaya dipinda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, perwartaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)(pindaan 2005), selain menepis pelbagai fitnah mengenai menantunya, Khairy Jamaluddin yang kini muncul sebagai seorang tokoh korporat.
Dua perkara berkaitan undang-undang syariah itu akan menguji konsep Islam Hadhari yang dipeloporinya. Masyarakat Islam dan bukan Islam sedang memerhatikan sejauh mana ketegasan beliau dalam menangani isu-isu ini.
Sivil vs Syariah
Adakah Pak Lah akan berlembut membiarkan Perkara 121 (1A) itu dipinda bagi membolehkan mahkamah sivil mencampuri urusan mahkamah syariah? Atau beliau mungkin mempunyai pilihan lain, iaitu mengemaskinikan pentadbiran jabatan agama negeri-negeri berkaitan dengan saudara baru?
Memang jenazah wira Everest M. Moorthy sudah selamat dikebumikan secara Islam, namun tanahnya masih merah. Banyak pihak masih tidak puas hati. Ia masih diperkatakan secara meluas.
Persoalannya sekarang dalam menangani kes ini perlukah perahu yang bocor dibaikpulih seluruhnya atau wajar ditampal sahaja lubang-lubang yang tiris. Kebijaksanaan kerajaan sedang dipantau manakala toleransi umat Islam dan orang Melayu sedang diuji. Begitu juga dengan isu perwartaan Undang-Undang Keluarga Islam, bukan sahaja kebijaksanaan kerajaan dan para ulama sedang diiuji, malah isi al-Quran itu sendiri sedang dicabar.
Sebenarnya, sebahagian rakyat keliru dengan isu ini. Orang Islam di jalanan tertanya-tanya apakah masalah sebenarnya. Mereka hairan, kalau undang-undang itu digubal berdasarkan ketetapan dalam Al-Quran, mengapa pula ia perlu dibantah, mengapa dianggap tidak adil?
Di mana kesilapan undang-undang ini? Benarkah peruntukan-peruntukannya tidak adil, berat sebelah atau hanya satu kekeliruan akibat daripada penggunaan bahasa atau istilah yang tidak tepat dan bercelaru.
Islam Hadhari
Reaksi kumpulan-kumpulan tertentu terhadap undang-undang ini memang menakjubkan. Sisters In Islam berjaya mengetengahkan isu ini dengan meluas dan berkesan. Inilah kali pertama kita melihat para senator wanita beragama Islam dari pelbagai parti, duduk semeja memperjuangkan hak wanita.
Tindakan pro-aktif mereka memaksa kerajaan menangguhkan perwartaan undang-undang ini. Perbincangan dan forum meluas mengenai undang-undang ini sedang berlangsung. Para pejuang hak asasi wanita tidak jemu-jemu menuntut undang-undang ini dikaji semula bagi memastikan hak lelaki ke atas harta sepencarian dan berpoligami tidak menindas kepentingan isteri.
Begitulah, sekali wanita bertindak, mereka boleh menggoncang dunia. Walaupun tindakan mereka sering dikuasai emosi, namun sekali sekala apabila mereka bersatu, lelaki dan para suami akan kehilangan kata-kata.
Lihatlah sekarang, para alim ulama kita nampaknya tidak berani campurtangan. Pakar-pakar perundangan Islam tidak bersuara. Pak Lah pula akhirnya terpaksa akur, lalu menangguhkan pelaksanaan undang-undang ini. Sampai bila? Di mana para pejuang hak asasi lelaki dari Umno, PAS dan sebagainya?
Kebijaksanaan Pak Lah sebagai tokoh Islam Hadhari sedang diuji dan dicabar. Kedua-dua isu berkaitan undang-undang syariah ini adalah ujian besar terhadap kerajaan beliau kerana ia turut berkait rapat dengan kontrak sosial yang ada dalam masyarakat pelbagai kaum negara ini.
Selama ini beliau terkenal dengan sikap "tegas dalam lembutnya". Dapatkah beliau menarik rambut tanpa putus dan tepung tidak terurai kali ini. Sensitiviti agama, terutamanya perasaan umat Islam, sebenarnya telah disentuh!
Kita memulakan tahun baru 2006 dengan penuh tandatanya dan kekeliruan. Walaupun kehidupan masih selesa, namun sebahagian besar rakyat mulai merasai beban inflasi. Pak Lah tidak boleh menunggu "ilham datang" bagi menangani masalah poket yang semakin kempis ini.

