Opinion

Umno-PAS bersanding: Malaysia bahagia?

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas kekasih yang baik tidak akan mengutuk, sebaliknya akan mendoakan bekas pasangannya jikalau dipertemukan dengan jodoh baru. Silap-silap, kekasih lama boleh bersanding semula walaupun selepas lebih 40 tahun bercerai. Apa mustahilnya, dalam dunia politik yang sarat dengan 90 juta kemungkinan?

Sesungguhnya, PAS mungkin pemegang rekod kahwin cerai yang paling kerap di dunia, menurut aktivis politik, Abdul Malek Hussin, dalam tulisannya yang menyenaraikan lapan hubungan kerjasama PAS sejak ditubuhkan pada tahun 1951. Dengan hubungan yang paling lama hanya bertahan untuk tujuh tahun (Pakatan Rakyat), ia seolah-olah membayangkan bahawa PAS sebuah parti yang diragui kesetiaannya, atau sekurang-kurangnya tidak mahir untuk menguruskan hubungan dengan rakan sekutunya.

PAS bukan parti arus perdana

Namun demikian, seandainya realiti politik tanah air diteliti secara mendalam, kita akan memahami mengapa PAS yang lebih selesa untuk bersendirian, terpaksa bekerjasama dengan parti politik lain.

Dengan menggariskan pelaksanaan hukum Hudud dan penubuhan Negara Islam sebagai agenda perjuangannya, PAS tidak memposisikan dirinya di tengah-tengah spektrum politik Malaysia. Sesungguhnya PAS memiliki penyokong tegar (kira-kira 30 peratus pengundi Muslim Semenanjung), tetapi angka ini tidak cukup untuk memenangkan PAS dalam sistem pilihan raya yang berdasarkan “first-past-the-post” (calon yang memperolehi undi tertinggi menjadi pemenang). Suka atau tidak, PAS terpaksa berganding dengan parti lain, agar undi yang diraih itu cukup untuk memenangkannya, lantas melonjakkan angka kerusi yang dirangkulnya.

Namun, apabila hubungan kerjasama terjalin antara parti yang berlainan, maka semua parti komponen dalam gabungan itu terpaksa mencairkan ideologi perjuangan masing-masing, di samping terikat dengan disiplin untuk mematuhi muafakat yang dipersetujui.

Pada asalnya, gandingan politik bertujuan untuk mengarusperdanakan semua parti komponen kerana merangkumi kelompok masyarakat yang lebih luas. Malah, seandainya pembangkang berhasrat untuk membentuk kerajaan baru, manifesto (dasar bersama) mahupun calon perdana menteri yang ditampilkan perlu diterima rakyat majoriti, jikalau mahu meraih sokongan sebanyak mungkin.

Sebelum 9 Mei 2018, PAS adalah parti pembangkang yang paling dilengkapi dengan jentera dan organisasi akar umbinya. Dari segi mobilisasi dan urusan teknikal seperti menyebarkan maklumat, memacak bendera dan sebagainya, PAS menjadi penyumbang utama dalam kalangan rakan sekutunya.

Tetapi apabila sampai ke bab untuk mengisi saf kepimpinan, misalnya menamakan calon perdana menteri, jarang-jarang pemimpin PAS diberi keutamaan. Ini kerana PAS tidak memiliki imej sebagai parti politik yang boleh diterima semua pihak. Menampilkan Haji Hadi Awang sebagai calon perdana menteri, atau menawarkan hukum Hudud sebagai manifesto, akan menakutkan golongan pengundi yang tidak sewaktu dengannya.

Di sini mulanya retak yang menanti belah. PAS disindir sebagai “khadam”, “alat”, “boneka” kepada rakan sekutunya. Tidak tahan dengan provokasi sedemikian, pemimpinnya yang tidak memperolehi manfaat secara langsung dari hubungan kerjasama ini, terus melenting dan merobekkan hubungan kerjasama ini. Sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak, pemimpin PAS terjerat dalam perangkap yang dipasang oleh musuh politik untuk menghancurkan pakatan pembangkang.

Bukan semua perjuangan PAS ekstrem

Untuk berlaku adil kepada PAS, bukan semua perjuangan PAS bersifat ekstrem, atau eksklusif untuk Muslim-Melayu sahaja. Pada tahun 1980-an, sungguhpun hubungan masyarakat Muslim dirobek lantaran “Amanat Hadi”, tetapi idea seperti “Menggempur Pemikiran Asabiyah” sehingga PAS dituduh “mahu menghapuskan kedudukan istimewa bumiputera”, menampilkan kesungguhan PAS untuk menentang perkauman atas keyakinan agamannya.

Lebih-lebih lagi, di sebalik strategi untuk meraih undi, usaha menjalinkan kerjasama politik ini juga boleh dibaca sebagai percubaan PAS untuk melonjakkan perjuangan partinya daripada membela Muslim sahaja, kepada rakyat Malaysia yang berbilang agama, etnik, budaya dan bahasa. Slogan “PAS untuk semua”, misalnya, dipopularkan ketika zaman Pakatan Rakyat. Bukan sahaja slogan yang dilaungkan, tetapi PAS mengambil pendekatan yang sederhana dan inklusif sepanjang tempoh tujuh tahun itu, terutamanya ketika berdepan dengan pertikaian isu kalimah Allah, bukan Muslim masuk ke masjid dan sebagainya – sehingga meredakan konflik yang sengaja diapi-apikan.

Dari satu segi, PAS telah memainkan peranannya sebagai pembangkang untuk semak dan imbang kerajaan Umno-BN, sebelum PRU14. Sama ada bersama dengan Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1990, mahupun bersama DAP, PKR dan PRM dalam Barisan Alternatif pada tahun 1999, malah bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2008, PAS telah memberi saingan yang sengit untuk menyekat keangkuhan Umno-BN dalam kerangka pilihan raya demokrasi.

Justeru itu, setelah mengharungi kesemua liku-liku perjuangan ini, agak kesal apabila PAS memilih untuk tidak bersama dengan gandingan pembangkang buat kali pertamanya sejak tahun 1977, dalam PRU14 yang berakhir dengan kejatuhan Umno-BN. Kemenangan pembangkang pada malam 9 Mei 2018 tidak harus dibaca sebagai jasa dan sumbangan tokoh seperti Dr Mahathir Mohamad sahaja, tetapi sebagai longgokan hasil perjuangan berdekad-dekad oleh semua pembangkang dan aktivis yang terlibat sejak zaman kemerdekaan, semestinya termasuk PAS.

Seandainya PAS bersama Pakatan Harapan ketika PRU14, sudah tentu sebahagian tuntutannya akan terangkum dalam agenda kerajaan pada hari ini, walaupun bukan kesemuanya. Inilah keputusan yang paling dikesali untuk penyokongnya, kerana PAS terlepas peluang untuk melonjakkan diri dalam politik arus perdana, hanya disebabkan keputusan sekerat pemimpin, walhal anggotanya berjuang berdekad-dekad untuk saat-saat yang bersejarah ini.

Tekad politik PAS

Jikalau ditelusuri kronologi isu penyaluran dana RM90 juta daripada Umno kepada PAS, tidak sukar untuk kita memahami mengapa RUU355 dicungkil untuk mengeruhkan suasana, dan kemudian berakhir dengan perpecahan dalaman PAS dan terkuburnya Pakatan Rakyat pada tahun 2015 – tatkala rejim Najib Razak berada pada saat-saat paling rapuh kerana bergelut dalam skandal 1MDB dan RM2.6 bilion-nya. Dari penafian seawalnya, hingga menghalalkan pembohongan atas nama agama kemudiannya, PAS menggadaikan integritinya, malah mencalar imej agama Islam lantaran tingkah laku beberapa orang pemimpinnya.

Apapun, atas prinsip mendukung hak dan kebebasan berpersatuan, “persandingan” Umno-PAS harus direstui. PAS pernah menjalin hubungan dengan sosialis, Islamis, nasionalis, bukan Muslim dan sebagainya – menampilkan dirinya di mata antarabangsa sebagai parti politik yang dinamik dan inklusif tatkala bersaing dalam kerangka sistem demokrasi.

Cuma agak terkilan apabila rakyat Malaysia cuba menerokai era baru untuk mendambakan demokrasi, keadilan, kebebasan dan sebagainya selepas 9 Mei 2018, PAS pula menyempitkan semula perjuangannya kepada Muslim dan Melayu. Daripada melakar masa depan cucu-cicit rakyat Malaysia, gandingan PAS-Umno ini terus mempersoalkan dari mana nenek-moyang rakyat Malaysia berasal.

Sememangnya bukan mudah untuk menggempur pemikiran lapuk, sentimen kaum dan agama dalam masyarakat Malaysia, tetapi ia menguji sejauh manakah jiwa negarawan dalam seseorang tokoh politik. Tidak mudah juga untuk pemimpin PAS sekarang mengendurkan penolakan anggotanya terhadap Umno, setelah berdekad-dekad permusuhan ini berlanjutan. Pembohongan perlu dihalalkan, musuh harus direka, supaya Muslim-Melayu disatukan, kononnya kaum bukan Muslim-Melayu telah bangkit dan menguasai bumi Malaysia.

Ia membuatkan saya tertanya-tanya, bukankah lebih baik andainya kesungguhan politik ini digunakan untuk menggempur sisa-sisa pemikiran asabiyah yang tinggal dalam masyarakat kita? Bukankah lebih suci imej PAS andainya parti ini menjarakkan diri dari politikus yang terpalit dengan penyelewengan dan rasuah? Bukankah lebih baik andainya Umno-PAS keluar dari kepompong perkauman dan agama, sebaliknya menghalusi perdebatan dasar-dasar pengangkutan, perumahan, buruh, kesihatan, pendidikan dan sebagainya, demi kebahagiaan semua rakyat Malaysia?

Namun PAS dan Umno telah bersanding. Apakan daya?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).  

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.