Gaya hidup 30 sen
Ramalan saya pada bulan Disember tahun lalu bahawa pada tahun ini harga bahan bakar minyak akan naik adalah tepat. Cuma yang berbeza, saya meramalkan harga bahan bakar minyak akan naik tiga kali untuk tahun ini.
Ramalan saya ini menjadi salah apabila kerajaan menaikkan harga 30 sen untuk seliter minyak petrol. Ini dilakukan untuk menghindar kenaikan harga yang berulang-ulang. Ertinya pada tahun ini harga bahan bakar minyak tidak akan naik lagi.
Ketika saya menulis ini harga minyak mentah di pasaran dunia ialah 62.32 dolar satu tong. Ini agak jauh berbeza berbanding dengan 70 dolar satu tong pada 31 Ogos tahun dahulu.
Ramalan saya pada bulan Disember tahun lalu bahawa pada tahun ini harga bahan bakar minyak akan naik adalah tepat. Cuma yang berbeza, saya meramalkan harga bahan bakar minyak akan naik tiga kali untuk tahun ini.
Ramalan saya ini menjadi salah apabila kerajaan menaikkan harga 30 sen untuk seliter minyak petrol. Ini dilakukan untuk menghindar kenaikan harga yang berulang-ulang. Ertinya pada tahun ini harga bahan bakar minyak tidak akan naik lagi.
Ketika saya menulis ini harga minyak mentah di pasaran dunia ialah 62.32 dolar satu tong. Ini agak jauh berbeza berbanding dengan 70 dolar satu tong pada 31 Ogos tahun dahulu.
Hakikatnya harga pasaran minyak masih lagi tidak menentu. Suasana perang di Iraq, perbalahan kuasa nuklear Iran dengan Amerika, ketidakstabilan politik di Arab Saudi dan pemberontakan di lembah minyak Nigeria, semuanya mempengaruhi turun naik harga minyak.
Dalam masa yang sama semakin ramai orang telah menerima teori Puncak Minyak atau Hubbert Peak. Teori puncak minyak ini berasaskan kajian seorang pakar geologi yang bernama Dr. M. King Hubbert. Melalui kajiannya sebagai seorang
geologis, Dr. Hubbert telah meramalkan tentang penyusutan bahan bakar minyak dalam dunia.
Teori Hubbert Peak ini telah diajukan pada tahun 1956, di mana dia telah meramalkan bahawa Amerika akan kehabisan minyak dalam tahun 1970'an. Manakala dunia pula akan mengalami kesusutan minyak pada akhir kurun lalu.
Ramalan-ramalan ini menjadi tepat apabila pada tahun 1970 Amerika menjadi negara pengimport. Manakala pada tahun 2000, data-data pengeluaran minyak dari negara-negara OPEC sedang menunjukkan pengeluaran minyak semakin
berkurangan. Syarikat-syarikat cari gali kelihatan semakin payah untuk menemui telaga-telaga minyak yang lumayan.
Dalam hal kenaikan harga minyak ini saya bersimpati dengan langkah menaikkan harga. Dalam kes bahan bakar minyak, kerajaan mana pun pasti akan menghadapi masalah yang sama. Tetapi apabila pihak kerajaan mengeluarkan permintaan
agar rakyat mengubah gaya hidup maka saya tersenyum. Ini kerana dua tahun dalu saya telah menulis tentang minyak dan gaya hidup.
Gaya hidup
Senyuman saya bukan kerana 'gaya hidup' itu 'tagline' dari saya tetapi kerana apa yang saya maksudkan sebagai mengubah gaya hidup itu amat berbeza dari apa yang cuba dipopularkan
oleh kerajaan hari ini.
Falsafah gaya hidup yang saya cuba ajukan amat jauh bezanya dari apa yang cuba di gembar-gemburkan oleh kerajaan.
Perubahan gaya hidup yang saya ajukan berasaskan perubahan struktural. Perubahan struktural ini wajib berasaskan tidak lama lagi (dalam masa hayat kita) bahan bakar minyak dalam dunia ini akan kering.
Saranan yang meminta mengubah gaya hidup tanpa mengambil kira kesusutan bahan bakar minyak untuk saya adalah mengubah cara hidup secara olok-olok.
Mengubah gaya hidup ini bukan bermakna kalau dulu kita bercuti ke Paris, London atau ke Sydney setahun sekali maka tahun ini kita hanya ke Jakarta. Atau kalau dahulu kita membeli jam Rolex maka pada tahun ini kita hanya membeli jam Timex.
Atau kalau dahulu kita ada sepuluh buah kereta maka tahun ini kerana harga minyak naik maka kita hanya memakai 5 buah kereta. Ini bukan mengubah gaya hidup yang struktural. Perbuatan seperti ini tidak membawa apa-apa makna yang radikal terhadap gaya hidup.
Perubahan struktural pertama yang wajib dilakukan ialah menggunakan duit subsidi minyak itu untuk memberi galakan dan prasarana perkembangan sistem pengangkutan awam dalam kota dan luar kota yang cekap.
Secara tersusun dan teratur kereta persendirian perlu dikurangkan. Kemasukan kereta ke dalam pusat bandar wajib dicukai untuk tidak menggalakkan kereta persendirian menghuru-hara dan menyempitkan keselesaan warga kota.
Pembunuh bersiri
Sistem pengangkutan awam wajib mendapat subsidi yang lumayan.
Kereta persendirian ini telah dibuktikan sebagai pembunuh bersiri yang telah mengambil ribuan nyawa warga kita setiap tahun. Kebanyakan yang gugur adalah warga muda. Benda yang dipanggil kereta ini juga telah bertanggungjawab mencemarkan udara dengan asap karbon monoksida dan segala bentuk toksik.
Dalam masa yang sama, dari segi ekonomi, kereta persendirian adalah satu bentuk sistem pengangkutan yang paling tidak efisien. Jumlah bahan bakar minyak yang digunakan dan jumlah yang diangkut tidak berbaloi. Bas dan kereta api nisbahnya lebih efisien.
Kereta sebagai satu 'object of desire' untuk saya adalah satu nilai yang paling kolot, tidak progresif dan ketinggalan zaman. Nilai inginkan kereta ini untuk saya samalah seperti nilai-nilai peneroka Felda yang ingin memiliki permaidani plastik dari Belgium atau Pakistan yang berselerak di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Nilai ini tidak lagi dilihat 'chic' dan radikal yang hanya masih dipuja oleh penggemar cola, burger segera dan penonton Senario.
Telah sampai masanya kita berfikir jauh untuk menyediakan hari dan ketika apabila minyak akan kering. Kota besar dan kota kecil wajib diseliratkan dengan tempat pejalan kaki dan tempat pengayuh basikal. Mengayuh basikal wajib dijadikan gaya hidup sehat bukan sebagai satu gimik politik untuk cuba
meredakan kemarahan orang ramai kerana harga minyak naik.
Wajib diakui berbasikal adalah sistem pengangkutan yang bersih dan efisien. Sayangnya, saya perhatikan berbasikal di Kuala Lumpur hari ini lebih marabahaya dari menaiki sebuah Humvee dari lapangan terbang Baghdad ke Green Zone. Malah peluang untuk menemui maut berbasikal di Kuala Lumpur
lebih besar dari di tembak oleh tentera Amerika di Mosul atau di Falujjah.
Di dalam mengubah gaya hidup ini kita wajib juga mengubah struktural persekitaran. Apabila struktural persekitaran kita berubah maka dengan sendirinya gaya hidup kita akan berubah.
Kerana ini para perancang bandar, para arkitek dan para pemaju perlu mendirikan kawasan-kawasan perumahan baru dengan konsep desa kota ertinya kota dalam desa dan desa dalam kota.
Dalam konsep desa kota ini segala bentuk keperluan asas moden dalam sebuah kota seperti sekolah, rumah agama, hospital, kedai-kedai, kafe, hotel, panggung wayang dan sebagainya wajib wujud dalam satu kawasan yang boleh didatangi dengan berjalan kaki, berbasikal atau tanpa menggunakan kuasa bahan bakar yang banyak.
Dalam masa yang sama desa kota ini juga memiliki kawasan kebun sayur, kawasan pertanian, kawasan industri, taman rehat. Semuanya tempat-tempat in boleh didatangi dengan berbasikal atau berjalan kaki atau menaiki sistem pengangkutan awam.
Saya sedar ramai orang akan mentertawakan apa yang saya tulis ini. Sebenarnya desa kota dan gaya hidup y ang saya tuliskan ini telah saya lalui selama 30 tahun. Gaya hidup ini bukan sesuatu yang saya angan-angankan. Gaya hidup ini telah pernah dilalui oleh sesiapa sahaja yang dilahirkan di Malaya pada
tahun-tahun 50'an atau sebelumnya.
Dalam masa 30 tahun ini kita telah kehilangan punca melakukan sesuatu tanpa tujuan. Kita melakukan sesuatu hanya kerana orang lain juga sedang melakukannya. Ini sikap yang salah.
Kita gagal untuk berhenti sebentar dan memikirkan hidup ini untuk apa? Manusia moden sedang bergegas ke hulu ke hilir bekerja agar dapat mengumpul waktu. Waktu yang kita idam-idamkan ini diharapkan akan dapat pula digunakan
untuk membuat sesuatu yang kita suka.
Apakah manusia moden telah berjaya menawan waktu? Dalam kesesakan ke hulu ke hilir ini apakah kita telah dapat kelebihan masa untuk bersama kawan, kekasih, anak, isteri, suami dan keluarga?
Untuk saya semua ini adalah soalan-soalan asas jika kita ingin mengubah gaya hidup. Sebenarnya kita juga sama seperti kerajaan hari ini bila berhadapan dengan kenaikan harga minyak kita tidak banyak pilihan.
Pilihan asas ialah untuk mengubah gaya, kembali kepada gaya hidup yang telah dilalui oleh datuk, nenek dan ayah kita satu ketika dahulu. Satu kehidupan yang lambat tetapi memiliki kualiti kemanusiaan yang kukuh.

