Paling Popular
Terkini

Saya tahu dan saya masih ingat di mana saya berada pada hari Selasa 11 September 2001. Mustahil saya akan melupakannya. Malah saya ingat minuman pagi saya pada pagi itu – roti dan jam. Makan tengah hari saya ialah ikan masin dan sayur tauge.

Pada hari Selasa itu saya berada di Blok 4B Kem Tahanan Kamunting bersama Tian Chua. Di Blok 4A duduk Ezam Mat Nor dan Saari Sungib aka Pak Abu. Blok 3A pula menjadi tempat tinggal Ustaz Badrul Amin dan Lokman Adam.

Kami semua adalah tahanan politik bawah undang-undang ISA – Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kami terlibat dan gerakan Reformasi. Kami adalah sosok-sosok yang anti-Mahathir dan penyokong Anwar Ibrahim.

Hakikatnya dalam kem Kamunting kami terputus hubungan dengan dunia luar. Walaupun saya dan Pak Abu duduk sebelah-menyebelah tapi hubungan kami terputus. Dalam Blok 4B - seluas dua bilik darjah ini - saya hanya berhadapan dengan Tian Chua. Hishamuddin Rais bersama Tian Chua hidup berdua dalam blok 4B Kem Kamunting selama satu tahun.

Justeru saya tidak tahu apa yang berlaku di dunia luar terutama di New York pada pagi Selasa 11 September 2001.

Pada tengah hari Sabtu 15 September, nama Tian Chua telah dipanggil oleh pengawal aka cikgu. Ini bermakna Tian ada pelawat. Tian menerima pelawat setiap hujung minggu.

Saya amat jarang menerima pelawat. Keluarga saya dari Jelebu agak jauh dan payah untuk datang ke Kamunting, Taiping. Malah saya telah selesa dan terlatih untuk hidup sebatang kara. Selama hampir 20 tahun ketika saya berkelana saya jarang bertemu keluarga.

Hakikatnya di Kem Kamunting saya selesa.

Tuan Chua muncul ke bilik setelah hilang hampir satu jam. Saperti biasa saya terus bertanya-bertanya - siapa yang datang. Apa berita dari luar. Apa perkembangan terbaru. Apa gosip politik. Kami tidak ada sumber maklumat selain dari pelawat dan peguam.

Pada petang Sabtu itu Tian dilawati oleh Elizebeth Wong. Berita terbaru yang dibawa oleh Eli Wong ialah New York telah meledak. Amerika telah diserang oleh pengganas. Kapal terbang telah dibajak dan menyerang bangunan World Trade Center (WTC). Pengganas Arab menjadi protoganis utama. Ini sahaja yang saya dengar pada 15 September 2001.

Ke rumah pasung Sentul

Tiga minggu kemudian saya dibawa ke Kuala Lumpur untuk bicara kes demonstrasi di Masjid Negara yang telah menjejak tiga tahun tapi masih belum selesai.

Dari Kem Kamunting, Tian, Ezam, Lokman dan saya dibawa ke rumah pasung Sentul. Dari sana kami akan dimasukkan ke dalam kereta rahsia untuk dibawa ke bilik sulit yang hingga ke hari ini saya tidak tahu di mana wilayahnya.

Di rumah pasung Sentul ada seorang polis yang memiliki telefon bimbit tercanggih pada ketika itu. Telefon ini ada merakamkan klip ledakan WTC. Dengan penuh kehairanan saya menjenguk dan melihat. Bukan melihat gambar ledakan tapi hairan melihat kaca TV di telefon.

Di pejabat rumah pasung Sentul ini juga ada TV. Nasib saya baik kerana beberapa minit sebelum mata kami ditutup untuk dibawa ke bilik sulit saya ternampak di kaca TV berita bergambar ledakan WTC yang berlaku pada 9/11 pada tahun 2001.

Dari fakta sejarah – Hishamuddin Rais hanya berpeluang melihat imej ledakan World Trade Center sesudah tiga minggu. Amin.

Hari ini, Selasa 10 September 2019, saya menggarap tulisan ini untuk memperingati kembali apa yang telah berlaku 18 tahun dahulu.

Dalam masa 18 tahun bergantang air telah melintasi sungai. Kerbau bunting telah beranak pinak tujuh kali. Pisang telah berbuah lebih dari sepuluh kali. Presiden Amerika dari Bush ke Obama dan kini Trump. Di Malaysia Najib dijatuhkan dan kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih.

Dunia telah berubah. Politik dunia telah berubah. Semenjak 9/11 telah berlaku satu perubahan yang amat besar amat besar dalam arena politik antarabangsa. Pemangkin utama perubahan politik dunia ialah ledakan pada pagi Selasa 11 September 2001 di New York.

Dua tahun sesudah 9/11, saya dibebaskan. Maka dengan serta-merta saya menggeledah mencari bahan bacaan tentang ledakan WTC. Ketika ini Presiden Amerika ialah George Bush Junior.

You’re either with us or against us.” (Kamu bersama Amerika atau bersama musuh kami menentang Amerika.)

Kerja ‘orang dalam’

Ini kata dua dari Presiden Bush yang sedang bersiap sedia untuk menyerang Iraq. Atas alasan Iraq bersekutu dengan Osama bin Ladin dan Al-Qaeda.

Dunia heboh dengan nama Osama dan Al-Qaeda. Heboh. Heboh. Heboh. Saya seperti ketinggalan zaman terus menyelongkar Internet mencari bahan bacaan. Buku pertama saya baca ialah The War on Freedom: How and Why America was Attacked September 11, 2001. Kitab ini karangan Nafeez Mossaddeq Ahmed, seorang wartawan penyiasat dari London. Buku ini membuka mata saya untuk memahami apa yang telah berlaku.

Saya melihat jelas dunia sesudah 9/11 bukan lagi dunia yang saya kenali sebelum saya dimasukkan ke Kem Kamunting. Semuanya telah berubah.

Hasil dari menyelongkar Internet saya membuat rumusan bahawa 9/11 adalah kerja “orang dalam”. Saya begitu yakin projek ledakan WTC pada 9/11 ada projek mengolah persetujuan.

Saya melihat klip video temu bual Jeneral Wesley A Clark. Jeneral ini adalah bekas komander Tentera Nato di Eropah (1997-2000). Terlibat dalam perang Kosovo. Dari klip YouTube, jeneral ini membocorkan bagaimana perang sedang dirancang oleh Rumah Putih dan Pentagon. Amerika bukan hanya akan menyerang Iraq tetapi ada lima buah lagi negara yang akan diserang.

Saya juga membaca dokumen The Project for The New American Century (PNAC). Dokumen ini yang ditulis oleh pemikir berhaluan kanan di Amerika pada tahun 1997. Dalam dokumen PNAC ini ada disebutkan taktik untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika untuk bersama membagunkan kembali Amerika sebagai kuasa hegemoni, kuasa tentera mutlak dunia.

Taktik yang dicadangkan ialah mewujudkan satu drama politik setaraf dengan serangan Jepun ke pelabuhan Pearl yang berlaku pada pagi Ahad 7 Disember 1941. Apabila Pelabuhan Pearl diserang maka masyarakat Amerika yang antiperang dan menolak campur dalam perang Eropah dengan Hitler akan berubah hati.

Ledakan WTC pada 9/11 bertujuan untuk meNgolah persetujuan bahawa Amerika tidak ada pilihan melainkan menyerang dahulu sebelum diserang oleh pengganas.

Baca punya baca, saya bertemu dengan berita yang selama ini tidak diketahui umum. Dunia hanya diberi gambaran bahawa dua bangunan WTC telah meledak runtuh. Dunia tergamam dan terpegun melihat gambaran dua bangunan ini runtuh. Gambaran ini berulang ulang dipaparkan seperti yang saya terlihat di rumah pasung Sentul.

Building 7

Dua banguan WTC ini runtuh akibat dilanggar oleh dua pesawat yang telah dibajak. Minyak dari kapal terbang ini mengakibatkan kebakarn. Kebakaran ini menyebabkan dua bangunan WTC runtuh.

Sin sala bin!

Dunia tidak diberi tahu bahawa pada 9/11, 2001 bukan dua bangunan runtuh. Tapi tiga bangunan runtuh.

Ada satu lagi bangunan yang dipanggil Building 7 yang terletak agak jauh dari dua bangunan WTC. Building 7 tidak dilanggar kapal terbang. Hanya ada kebakaran kecil akibat dari serpihan ledakan banguanan WTC. Tup tup Building 7 meledak runtuh.

Bila semua menggenap maka kajian mula dilakukan. Para saintis, para ilmuan, para arkitek, jurutera dan pakar bangunan terbakar mula berkumpul dan berbincang. Maka lahir gerakan 9/11 Truth Movement.

Presiden Bush tidak dapat tidak terpaksa menubuhkan satu Suruhanjaya penyiasat rasmi ini untuk meredakan kegelisahan orang ramai. Pada awalnya Henry Kissinger dicadangkan untuk mengepalai suruhanjaya ini. Amerika muntah hijau apabila nama Kessinger dicadangkan. Dengan jelas pada detik pertama kelihatan ada usaha gelap untuk mengaburi apa sebenarnya 9/11. Nama Henry Kissinger ini adalah bukti bahawa suruhanjaya ini berniat jahat.

Generasi hari ini wajib diberitahu bahawa Henry Kissinger ini adalah penasihat Presiden Nixon yang melancarkan Perang Indochina.

Suruhanjaya ini memanggil saksi-saksi untuk melihat kembali apa yang terjadi pada pagi Selasa itu. Amat memeranjatkan, seorang ahli bomba yang mendengar letupan di setiap bilik pada hari itu tidak pula dipanggil. Ahli bomba ini sering muncul di berita TV. Dia malah telah dijemput ke Rumah Putih. Ahli bomba ini telah bersedia untuk memberi penerangan kepada suruhanjaya. Tetapi tidak dipanggil. Kenapa? Amin.

Siasatan tidak pula menyentuh ledakan dan yang berlaku di bangunan Pentagon. Bangkai pesawat tidak ditemui di kawasan Pentagon walaupun dikatakan ada sebuah kapal terbang yang dibajak telah jatuh disana. Malah seribu satu macam soalan gagal dijawab oleh laporan suruhanjaya ini.

Teori konspirasi

Para ilmuan dan pakar dari 9/11 Truth Movement tidak dijemput. Malah diselar sebagai penyebar teori konspirasi.

Paling menonjol kenapa dan bagaimana Building 7 runtuh langsung tidak dikaji selidik. Tidak ada langsung apa-apa pertanyaan, apa-apa pandangan tentang keruntuhan Building 7.

Justeru semua ini meyakinkan saya bahawa 9/11 ini adalah kerja orang dalam – inside job. Kenapa serangan ke atas WTC dilakukan? Jawabnya cukup jelas. Ini projek perang. Ada agenda perang yang telah disusun lama. Perang ialah perniagaan yang paling menguntungkan selain dari menjual dadah.

Pada 20 Mac 2003 Iraq diserang. Sebulan sesudah 9/11 Afghanistan di serang. Dikatakan Osama bin Ladin tinggal di Afghanistan. Kemudian perang merebak ke Syria, merebak ke Libya. Semua perang ini belum berhenti dan belum tamat.

Hakikatnya ledakan WTC telah berjaya membawa politik baru kepada dunia kita semua. Di Amerika wujud Akta Patriot yang melupuskan hak asasi warga. Di Malaysia sesudah 9/11 Najib meluluskan apa yang dipanggil Akta Majlis Keselamatan yang memusatkan bidang kuasa kepada perdana menteri. Banyak negara-negara lain juga terus membontot garis antipengganas.

Di sekeliling kita – di seluruh dunia - hasil dari 9/11 kumpulan extremis Islam muncul disana sini. Dan di Malaysia kita sedang berhadapan dengan extremis agama ini. Wahabi, dan beberapa sosok kontroversi hanyalah contoh terbaik sebagai manifestasi 9/11.

Saya sendiri terpaksa menangguhkan sambungan tulisan ombak kanan kerana mahu memperingati 9/11 - 18 tahun dahulu hari ini. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS