"Ombudsman"... apa ke bendanya ni...?

IPCMC ...? Satu lagi singkatan yang memeningkan kepala.

Dua "kata-kata besar" ini meniti dari bibir ke bibir para cerdik pandai, kakitangan kerajaan, orang politik dan anggota polis kebelakangan ini.

Namun masyarakat umum sebahagian besarnya tidak tahu apa sebenarnya "benda" ini. Malah untuk menyebutnya dengan betulpun, ada yang tergeliat lidah. Ada yang menyangka "ombudsman" adalah makhluk berkaki dua bernama "Abu bin Osman" dan ada yang memikirkan IPCMC adalah sebuah pusat rawatan pesakit mental.

Begitulah masyarakat kita, heboh memperkatakan sesuatu tetapi sebahagian besarnya tidak tahu apa sebenarnya yang mereka cakapkan. Begitu juga dengan media massa kita, menjadikan ombudsman atau IPCMC berita utama mereka setiap hari tetapi gagal memjelaskan kepada pembaca "apa ke bendanya nii..."

Maka terngangalah para pembaca atau penonton TV kita, jadi burung kakak tua. Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah disarankan oleh sebuah suruhanjaya bebas tahun lalu.

Sejak disyorkan ia telah menarik minat banyak pihak terutamanya anggota polis dan orang politik. Anggota polis dari yang berpangkat paling rendah hingga ke yang tertinggi menolak cadangan penubuhan IPCMC.

Kerana apa? Sebab IPCMC adalah badan yang berperanan sebagai sebuah badan bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Selama ini sebarang aduan atau rungutan terhadap polis diadukan kepada bahagian disiplin di Bukit Aman. Namun ia lebih tertumpu kepada anggota berpangkat rendah atau pertengahan. Disebabkan siasatan dijalankan secara dalaman, kewibawaan bahagian ini menyiasat anggota sendiri disangsi rakyat. Malah jarang sekali didengar bahagian ini mendisiplinkan pegawai peringkat tertingginya.

Maka IPCMC disyorkan mencakupi bidang kuasa menyiasat para pegawai atasan polis. Sebab itulah persatuan anggota polis berpangkat tinggi amat kuat menentang penubuhan badan penyiasat bebas ini. Kerana terkena batang hidung sendiri!

IPCMC jika ditubuhkan akan mengkhusus untuk menyiasat salahlaku anggota polis sahaja manakala agensi kerajaan yang lain tidak dikawalselia atau dipantau oleh mana-mana badan penyiasat.

Maka sebab itulah timbul pilihan menubuhkan ombudsman ini. Kononnya ombudsman adalah badan bebas yang akan menyiasat semua agensi awam. Ombudsman seperti yang telah ada di negara-negara maju adalah badan bebas yang diberi kuasa menyiasat aduan terhadap semua kakitangan awam termasuk menteri dan wakil rakyat.

Ia mempunyai kuasa yang besar dan bergerak sendiri tanpa dipengaruhi dan dikuasai oleh mana-mana pihak. Dan ia juga dikepalai dan dianggotai oleh mereka yang terbukti kewibawaan dan integritinya.

Menurut Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, ombudsman diperlukan untuk berlaku adil kepada semua pihak.

Menurut beliau, tidak wajarlah hanya polis yang dipantau dan disiasat oleh badan bebas sedangkan salah laku juga berlaku dalam agensi kerajaan lain seperti jabatan kastam, imigresen, JPJ dan sebagainya.

Maka ombudsman dicadangkan sebagai ganti kepada IPCMC. Nampaknya lain yang diminta rakyat, lain pula yang dicadangkan. Seolah-olah apabila ombudsman ditubuhkan dan IPCMC akan dikorbankan walaupun ia telah dipersetujui pada awalnya oleh Perdana Menteri kita.

Salah laku sektor awam

Sekarang timbul pro dan kontra antara ombudsman dan IPCMC. Yang mana satu pilihan hati? Kalau diserahkan kepada kerajaan kemungkinan besar ombudsman akan menjadi pilihan kerana ia akan berperanan mengawalselia seluruh jentera kerajaan, bukan pasukan polis semata-mata.

Mungkin bagi kerajaan mempunyai sebuah badan bebas sudah memadai, kerana peranan dan tugas ombudsman dan IPCMC hampir sama. Selain itu ia juga melibatkan faktor kos dan keberkesanan operasi badan- berkenaan.

Bagaimanapun bagi rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), IPCMC tidak boleh dikorbankan. Kalaupun ombudsman mahu ditubuhkan, IPCMC tetap diperlukan kerana salahlaku polis lebih serius jika dibandingkan dengan salahlaku di agensi lain.

Salahlaku polis selain membabitkan rasuah dan salahguna kuasa ia turut melibatkan kehilangan nyawa dan anggota tubuh. Fikirkan berapa banyak kes-kes kematian dalam tahanan yang tidak diselesaikan dan kejadian "tersilap tembak" atau penderaan semasa soalsiasat?

Kes-kes ini tidak sama dengan salahlaku di jabatan lain yang lazimnya membabitkan wang ringgit sahaja.

Oleh itu banyak NGO mahu kerajaan melaksanakan juga IPCMC dan jangan tunduk pada tekanan pihak atasan polis yang menolak badan bebas ini. Mereka menyokong penubuhan ombudsman dan IPCMC kerana kedua-duanya diperlukan bagi membangkitkan semua kakitangan awam dari lena yang panjang.

Kerajaan diingatkan jangan berselindung di sebalik ombudsman bagi mengelak menubuhkan IPCMC.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diminta meneruskan sokongannya terhadap penubuhan IPCMC bagi membuktikan kesungguhannya mewujudkan sebuah kerajaan dan masyarakat yang berintegriti.

Selain itu Perdana Menteri juga perlu menunjukkan kepada rakyat "who is in charge.." Jika kerajaan tunduk pada desakan pihak polis dan segelintir anggota Parlimen, tanda tanya yang besar akan timbul.

Ramai yang akan bertanya nanti; apa peranan Perdana Menteri...?

Bagaimanapun menurut Abdullah setakat ini cadangan IPCMC dan ombudsman berada ditangan Jabatan Peguam Negara. Beliau akan meneliti cadangan jabatan tersebut sebelum membuat keputusan muktamad.

Apakah yang akan dicadangkan oleh Jabatan Peguam Negara? Kita harapkan ia sesuatu yang ampuh bagi memelihara dan mewujudkan sebuah pentadbiran yang bermaruah.

Janganlah IPCMC atau ombudsman itu menjadi seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang hanya gah pada nama tetapi tiada "taring".

Kita tidak memerlukan sebuah lagi "Suhakam" yang kerjanya sekadar menerima aduan dan membuat cadangan tetapi selepas itu laporan tahunannya yang dikemukakan ke Parlimen dibakulsampahkan.

Nazri telah menjelaskan baru-baru ini memang kerajaan tidak berhasrat memberi Suhakam "taring", memadai dengan tugas dan bidang kuasanya yang terhad itu.

Namun biarlah ombudsman atau IPCMC yang ditubuhkan nanti benar-benar dihormati dan berkesan. Janganlah wujud sebuah lagi "Suhakam" yang hanya membuang masa rakyat berhimpun dan menghantar memorandam. Tidak wajar ditubuhkan sebuah ombudsman atau IPCMC yang hanya menghabiskan wang pembayar cukai!

Kita mahukan ombudsman atau IPCMC yang dihormati, yang bergerak bebas, adil dan tanpa gentar.