Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Antara institusi yang paling terkesan akibat pembaharuan kerajaan di bawah Malaysia Baru ialah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Bermula dengan khabar angin tentang kerugian yang ditanggungnya hinggalah kepada hasrat penutupan dan pembuangan sebahagian pekerja sudah berkemundang sejak satu setengah tahun lalu.

Hingga kini, nasib ITBM masing terumbang-ambing, seperti perahu kecil dilambung ombak. Ke pantai tidak, ke tengah lautan pun tidak.

Hutang berjumlah RM6 juta dialami agensi itu sejak empat tahun lalu memang membebankan. Pada masa sama, ITBM juga terjejas dengan hutang rangkaian Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) yang dianggarkan mencecah RM3 juta kerana KB1M ditutup operasinya.

Itulah ITBM - sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula.

Asal ITBM adalah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang bertujuan menyediakan prasarana penterjemahan di negara ini. Ia kemudian diubah nama menjadi ITBM setelah menerima dana kerajaan sebanyak RM5 juta pada 2011.

Dana itu yang membolehkan ITBM menerbitkan karya-karya asli.

ITBM memang rancak menerbitkan buku yang pelbagai dalam menambahkan jumlah terbitan buku terutama dalam bahasa Melayu untuk pasaran negara.

Syarikat milik kerajaan

Umumnya kadar penerbitan buku di Malaysia masih rendah dan jauh daripada yang disarankan oleh Unesco. Mengikut ukuran Unesco, untuk menjadi negara maju, skala penerbitan buku perlu dalam jumlah 0.1 peratus daripada keseluruhan jumlah rakyat.

Justeru Malaysia perlu menerbitkan lebih kurang 32,000 judul setahun untuk dianggapkan sebagai negara maju.

Buat masa ini, negara hanya mampu menerbitkan 12,000 judul baru setahun. Tidak sampai separuh yang disarankan. Daripada 12,000 judul tersebut, hanya lebih kurang 10 peratus sahaja merupakan buku ilmiah, manakala bakinya buku-buku ringan, popular, pelajaran sekolah dan juga bacaan santai.

Melalui angka tersebut tidak mungkin untuk membina negara maju buat Malaysia.

Banyak perbincangan dan penulisan tentang ketidakwajaran penutupan atau pengecilan ITBM dibuat. ITBM adalah syarakat perniagaan milik kerajaan yang mempunyai tanggungjawab sosial sangat penting dalam mencetak pemikiran dan budaya masyarakat.

Fungsi kerajaan bukan mencari keuntungan fulus tetapi membina ketamadunan yang mampu memberi kemakmuran hidup yang lebih menyeluruh.

Kerajaan boleh saja menutup atau mengecilkan peranan ITBM, atau terpaksa menggadaikan pembinaan citra bangsa. Sebahagian besar penerbitan ITBM adalah dalam bahasa Melayu. Selain ITBM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ada beberapa syarikat penerbit buku lain yang melakukan aktiviti sama, seperti Karangkraf, PTS dan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Malang nasib ITBM terpalit juga kepada perkembangan penulisan berbahasa Melayu. Dunia penulisan bahasa Melayu semakin mengecil dan dikecilkan. Apatah lagi perkembangan kesusasteraan Melayu. Sedangkan sastera adalah salah satu kaedah memanusiakan manusia.

Manusia yang manusia memiliki daya serta jiwa yang menjadikan sesuatu kehidupan itu lebih bermakna.

Penerbitan buku di dalam bahasa Melayu bukan sekadar suatu tekad penerbitan, tetapi ia adalah iltizam mendaulatkan bahasa kebangsaan. Sejak dahulu lagi, tekad mendaulatkan bahasa kebangsaan banyak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan berbanding kementerian lain.

Bayangan nasib bahasa kebangsaan

Seolah-olah bahasa Melayu ini adalah milik Kementerian Pendidikan saja. Kementerian-kementerian lain kurang cakna - atau langsung tidak peduli - persoalan bahasa. Walhal bahasa Melayu adalah persoalan pembinaan negara bangsa.

Langkah mengecilkan saiz atau usaha ke arah penutupan ITBM ini lebih kepada timbang tara Kementerian Kewangan yang melihat aliran kewangan ITBM yang ‘tidak sihat’.

Sudah tentu ada suara sebelum ini yang telah menzahirkan keperluan ITBM ditingkatkan prestasinya, bukan dikecilkan saiz pengoperasiannya kepada Kementerian Kewangan.

Jangan penat untuk diulang-ulang suara itu lagi kepada pihak yang memegang kantung wang negara.

Jika mahu menjerit, menjeritlah sekuat-kuatnya agar gegendang telinga mereka yang naif tentang kepentingan persoalan bahasa ini pecah!

Nasib ITBM adalah bayangan nasib bahasa kebangsaan. Hilang mercu kesungguhan kerajaan untuk memartabatkan industri buku dan bahasa Melayu, bahkan ia disakiti lantaran tiada pulangan kewangan yang mengiurkan.

Keuntungan bahasa Melayu sering diukur pada nilai wang ringgit. Bahasa Melayu bagai melukut di tepi gantang di tanah airnya sendiri.

Jika kerugian kewangan ITBM berpunca daripada kesalahan pengurusan, perlu diperbaiki pengurusan agar lebih memberikan keuntungan yang munasabah.

ITBM perlukan sokongan daripada pelbagai pihak terutama daripada sektor-sektor kerajaan sendiri. Langkah membuang pekerja sebagai solusi kekangan kewangan seolah-olah bertentangan dengan usaha PH memberi peluang pekerjaan.

Seharusnya kemenangan PH dalam pilihan raya umum lalu memberi harapan baru untuk lebih memperkukuhkan industri buku, khususnya buku yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Mengapa ITBM yang disakiti?


DR MUHAIMIN SULAM ialah salah seorang ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS