Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perihal penjilat, tukang kipas di keliling pinggang menteri

ULASAN | Khabarnya bekas perdana menteri yang kehilangan kuasa itu baru sekarang menyedari bahawa kekalahan parti pimpinannya adalah disebabkan kegemarannya menyimpan sejumlah ramai penjilat dan pengipas sepanjang dia berkuasa.

Mereka inilah yang sebenarya sentiasa menghurung bekas perdana menteri itu ke mana saja dia pergi.

Di mana saja dia berada, di situlah sang penjilat dan pengipas akan ada. Mereka tidak sekadar wujud semasa bekas perdana menteri itu duduk atau berdiri.

Ketika itu sang pengipas dan penjilat terbabit tidak akan teragak-agak untuk merangkak - hatta baring pun - demi untuk menunjukkan kebersamaan mereka.

Setelah sang bekas perdana menteri tiada lagi bertaring - dan bibirnya tidak merah lagi - lalu bercemperalah orang yang pernah bergayut di sekelilingnya suatu ketika dulu.

Sekarang mereka mencari teduhan untuk berlindung dari panas, hujan, ribut dan kebencian orang ramai. Mereka juga berlumba-lumba mahu memisahkan diri daripada si bekas tadi.

Perbuatan itu dilakukan secara berjemaah, termasuklah di kalangan pak-pak menteri dan orang-orang yang diperdanakan para pengikut.

Kehadiran penjilat dan pengipas di sesuatu majlis rasmi - atau tidak - bukan sekadar untuk mengisi kerusi VIP. Itu tidak begitu penting. Sebaliknya yang paling utama ialah mereka wajib datang mejual muka selain menyibuk.

Kosong tapi dijulang

Segmen jual muka dan acara menyibuk ini dianggap suatu rukun demi kelangsungan hidup mereka bersama wang dalam saku, kedudukan terjamin dan memenuhi kehendak nafsu.

Sekarang kerja sang penjilat ialah membersihkan segala dosa sang pemimpin yang sedang berkuasa pula. Abaikan mereka yang sudah terlepas daripada kuasa.

Mereka juga tidak keberatan menjilat segala kotoran dan kejelikan yang keluar dari mulut dan perut pemimpin, tanpa rasa jijik.

Maka jadilah mereka penjilat dan penelan ludah serta sumpah sendiri yang tegar. Pedulilah sudah berapa kali mereka terlanjur dalam bicara atau berjanji, tanpa rasa gundah orang itu pasti rela bertindak seperti anjing menyalak keras.

Sang penjilat penguasa dan pengipas sakti akan tetap ada pada sepanjang zaman meski perdana menteri, menteri dan segala orang yang diperdanakan masyarakat itu bertukar.

Hal ini berlaku kerana subbudaya yang tertanam sekian lama sudah mengakar umbi dalam nafas masyarakat.

Modal agung sang pengipas sakti pula ialah menjadi batu api untuk membakar segala batas dosa dan pahala, memandulkan kearifan dan mematikan kebijaksanaan. Pada masa sama mereka menyuburkan kebebalan, merangsang kesombongan.

Sambil itu kena bijak mengadun fitnah supaya menjadi khabar yang nyata, menganyam ayat suci dan pepatah pujangga lama dengan nafsu serakah.

Pada akhirnya, buah fikirannya yang nihil diterima sebagai sangat bernilai.


Baca Hamka dan rakaman kegagalan anak muda, masyarakat


Namun sang penjilat dan pengipas sakti di bawah naungan kerajaan Malaysia baru juga mungkin terdiri daripada kalangan watak baru yang bertatih untuk berjinak-jinak supaya dipandang orang.

Gaya dan gelagat mereka menjilat atau mengipas kelihatan masih bertahap amatur atau kampungan.

Ia tidak selincah atau selicik pemain lama yang pernah berada dengan rejim yang sudah ditumbangkan.

Maknanya ada dua kelompok penjilat dan pengipas sakti.

Yang baru sedang berjinak-jinak mendalami ilmu, manakala kelompok otai akan lebih lincah geraknya. Mereka hanya perlu mengubah suai warna kulit laksana sesumpah.

Daripada tiada, tiba-tiba mereka muncul sebaris dengan para menteri dan sesiapa saja orang yang baru berkuasa.

Ada yang marah dengan tulisan ini? Kong kong kong!


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS