Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Minggu lalu, saya telah menulis tentang gemuk dan gedebab. Tulisan saya itu berlatar belakangkan kematian wakil rakyat Dr Mohd Farid Md Rafik, bekas YB Tanjung Piai merangkap bekas timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dr Farid, seorang pakar bius meninggal dunia pada umur yang masih muda. Al-Fatihah. Berlatar belakangkan kematian timbalan menteri ini, saya menulis untuk menyentuh sikap para YB Pakatan Harapan yang gemuk-gemuk. Terlalu ramai YB gemuk dalam parlimen Malaysia – dari Pakatan Harapan dan dari Barisan Nasional. 

Pada hemat saya para YB tidak sedar bahawa rakyat telah dan sedang melabur terhadap sosok tubuh badan mereka. Pelaburan ini bukan saham dalam bentuk wang ringgit atau intan berlian. Rakyat membuat pelaburan harapan.

Kerana pelaburan ini tidak dapat dilihat turun naik di Papan Pertama atau Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur maka para YB kita kurang sedar. Maka muncul Hishamuddin Rais dengan nada kasar mengingatkan para YB dan juga mereka yang memasang jala untuk jadi YB agar jangan gemuk. Rakyat sedang melabur.

Hakikatnya - satu undi untuk Mat Sabu atau untuk Saifuddin Abdullah adalah satu harapan. Pelaburan ini berharap agar Mat Sabu atau Saifuddin akan hidup panjang untuk terus menjadi pemimpin negara.

Harapan orang ramai setelah memilih dan mengundi mereka ialah para YB akan mengotakan apa yang mereka janjikan. Mereka terus sihat lincah dan bugar dalam parlimen bukan terlantar dalam hospital. Pelaburan harapan inilah yang gagal dilihat dan dirasai oleh para YB. Justeru mereka terus melantak hingga gedebab.

Curah tenaga, not berwajah Agong

Kenapa saya menghebohkan perkara gemuk gedebab ini hanya untuk para YB? Ramai lagi sosok gedebab dalam negara kita ini. 

Apakah gedebab mereka dianggap okay? Boleh diterima? Sabar dulu biar saya beri pencerahan.

Gemuk dan gedebab para YB agak berlainan. Jika Pak Dip gemuk pemilik warung di Kepala Batas meninggal dunia yang bersedih hanya anak isteri dan sanak saudara yang berdekatan. 

Tetapi apabila YB yang meninggal dunia akan berlaku kelam kabut politik. Pilihan raya kecil wajib dijalankan. SPR memerlukan dana kerajaan. Parti politik akan mencurah tenaga bersama not berwajah Agong.

Bukan itu sahaja PRK akan menjerut perkara yang lain seperti yang telah berlaku di Tanjung Piai baru-baru ini.

Gemuk dan gedebab bermakna berat badan melebihi ketinggian sosok. Cara mentakrif gemuk gedebab ialah melalui BMI (Body Mass Index) atau UIB (Ukuran Indek Badan).

UIB ini dilakukan secara saintifik. Pendekatan ini diwujudkan oleh pakar bomoh dan tabib dari WHO ( World Health Organisation). Justeru kita tidak perlu bertengkar atau bertelagah dalam hal ini. Kita terima pendekatan Badan Kesihatan Dunia (WHO) ini sebagai pegangan hidup. Amin.

Dengan hati terbuka saya berani berkata bahawa anak semua bangsa tidak memerlukan UIB atau BMI. Sekali pandang pasti kita boleh nampak si mamat itu gemuk atau si minah itu gedebab atau langsing.

Apatah lagi jika sang gemuk berdiri di hadapan kita. Pasti pandangan kita terlindung oleh daging badan yang berlebihan. Mata menjadi dacing pengukur yang paling jujur.

Terimalah hakikat bahawa dalam negara Asean – Malaysia adalah negara tergemuk. Maknanya di Malaysia ramai warganya gemuk dan gedebab berbanding dengan negara Asean yang lain. Kenapa ini berlaku?

Pada hemat saya telah sampai masanya Malaysia melancarkan kempen nasional melawan gemuk. Saya hairan kenapa menteri kesihatan bersedia untuk mendenda 10 ribu ringgit terhadap perokok tidak berani melakukan apa-apa terhadap warga yang gemuk? Malah kita tidak terbaca apa-apa dasar baru terhadap gemuk dan gedebab.

Apakah sikap Menteri Kesihatan Dr Dzulkely Ahmad muncul kerana ramai YB yang gemuk terdiri daripada kawan menteri sendiri. Maka sang menteri langsung tidak berani bersuara menyatakan betapa bahayanya gemuk.

Hakikatnya antara perokok dan gemuk daripada kajian kesihatan gemuk lebih banyak membawa mudarat. Penyakit lebih cepat datang kepada sosok gemuk dan gedebab.

Laporan kesihatan membuktikan bahawa badan gemuk akan menjemput masalah. Tidur berdengkur. Badan gedebab mengganggu pernafasan. 

Kencing manis macam stesen Astro

Badan gemuk juga menjemput kolestrol dan memanggil lemak datang berkumpul di saluran darah. Badan gemuk akan menjemput darah tinggi. Akhirnya datang kencing manis.

“Kencing manis ini macam stesen Astro,” kata-kata dari seorang abang pemandu Grab yang tumpang awal tahun ini. Saya pelik dan tidak faham apa hubungan Astro dengan kencing manis.

“Macam mana pula Astro dengan kencing manis?” Saya bertanya meminta penjelasan.

“Kalau ada kencing manis, macam kita ada Astro. Bila ada Astro, banyak saluran televisyen masuk. Darah tinggi masuk, gaut masuk, buah pinggang mula sakit, lutut mula lemah. Semua saluran sampai. Badan bertambah gemuk,” jawabnya.

Saya ketawa terbahak-bahak apabila memahami metafora yang bijak ini.

Pasti ada yang akan menuduh saya ini kurang sopan. Tidak beradab kerana daripada pandangan para agamawan pondok gemuk itu pemberian tuhan.

Pernah tiga tahun dahulu saya diserang oleh kaum feminis. Serangan ini timbul kerana saya selalu membuat lawak berdiri tentang berat badan melalui watak Rosmah Mansor. Saya dituduh ‘seksis’ .

Saya menjawab - saya bukan seksis tapi saya ‘sizeist’. Saya bukan benci perempuan. Saya benci gemuk. Saya akan menjadi kelam-kabut bila melihat orang gemuk. Saya menjadi risau. Saya menjadi gelabah.

Kita ada terbaca tentang orang fobia apabila melihat cacing. Ada yang takut pada ruang sempit. Ada fobia melihat lubang. Ada yang takut melihat jarum. Malah Najib Razak dan sepupunya Hishamuddin Hussein pernah dihinggapi oleh xanthophobia - penyakit takut melihat warna kuning.

Saya akui saya dihinggapi oleh gemukfobia. Saya sedar gemukfobia – ini belum lagi diiktiraf oleh WHO sebagai penyakit. Tapi inilah fobia yang saya hadapi sekarang. Malah saya juga sedang memerangi diri saya sendiri kerana kilo saya semakin naik. Saya amat-amat takut dengan stesen Astro.

Justeru apa yang wajib dilakukan? Jawapan kepada soalan telah lama terpampang di hadapan kita semua. Hanya kita kurang sedar.

Malaysia negara paling gemuk di Asean

Kita semua tahu jika sesiapa mahu menjadi anggota PDRM atau menjadi soldadu dalam angkatan tentera mereka wajib memiliki ketinggian sekian sekian. Berat badan sekian sekian. Ukuran dada kita sekian sekian. Jika kurang atau melebihi maka kita akan gagal.

Ertinya sosok gemuk gedebab dan pendek tidak akan diterima untuk menjadi anggota polis atau askar. Ini cara yang tepat. Polis dan askar wajib dilihat tampak segak, kacak dan bergaya. Khalas.

Malah saya juga difahamkan bukan hanya PDRM atau tentera yang mengadakan syarat sedemikian. Syarikat penerbangan juga memastikan pramaguri dan pramagura memiliki tinggi dan berat badan yang ditetapkan.

Mustahil akan muncul seorang pramugari gedebab ke hulu ke hilir dalam kapal terbang sambil bertanya "teh atau kopi.” 

Kapal terbang akan berat sebelah jika ada pramugari yang gededab. Malah saya difahamkan orang gemuk diwajibkan membeli tiga tiket sekali harung untuk satu penerbangan. Ini kerana tempat duduk dalam kapal terbang bukan untuk gedebab.

Pada hemat saya, sebelum kita bertemu dengan pramaguri yang langsing dan cun atau pramugara yang kacak dan jambu – kita wajib memiliki kesedaran bahawa gemuk adalah musuh negara.

Gemuk membawa penyakit. Terbukti Malaysia negara tergemuk dalam Asean. Ini bermakna belanjawan kesihatan negara akan melonjak. Pesakit akan berduyun-duyun memerlukan rawatan. Ini membebankan negara.

Justeru, ibu bapa wajib kita sedarkan dahulu. Melawan gemuk ini wajib bermula dari rumah. Menteri kesihatan wajib berani menyatakan dengan jelas dan terang kepada ibu bapa bahawa makanan segera seperti McDonald dan Kentucky adalah pembawa gemuk.

Makanan segera bermudarat tanpa khasiat. Jika perlu larangan seperti rokok maka kita luluskan undang-undang gula dan gula-gula wajib diserang dan diperangi habis-habisan. Minuman karbonat seperti Coca Cola wajib dilawan.

Ibu dan ayah wajib diberitahu dan disedarkan tentang mudarat makanan segera. Di sekolah bukan sahaja budi bahasa wajib diajar. Bahaya makanan segera juga wajib masuk ke dalam mata pelajaran.

Kenapa ada mata pelajaran latihan jasmani? Kenapa anak murid diajar bersenam untuk sihat? Tapi tidak diajar musuh kepada sihat.

Anak murid juga perlu diajar dari awal tentang bahaya rokok terhadap kesihatan. Musuh negara bukan hanya rokok. Anak-anak sekolah juga wajib disedarkan dan diberitahu tentang McDonald dan Coke yang juga musuh negara.

Jika kaum pemodal antarabangsa melawan kembali maka kita lakukan kempen sedunia melawan makan segera. Di Jepun, Sepanyol, Itali dan Belgium telah wujud NGO yang melancarkan serangan terhadap makanan segera. Malaysia wajib menjadi pemula di Asean kerana kita tergemuk.

Daripada kajian kesihatan badan WHO telah terbukti bahawa makan segara adalah pembawa gemuk. Gemuk pembawa penyakit. Penyakit pembawa hospital. Hospital pembawa belanjawan kerajaan.

Syarikat makanan segera hanya meraih untung. Bil dan kos hospital, kita yang membayar dengan harga kesihatan yang membebankan. Semua berpunca daripada gemuk.

Kempen juga wajib dimulakan kepada semua kanak-kanak yang mahu masuk sekolah. Wajib sebelum masuk sekolah ditetapkan ukuran indeks badan. 

Jika melintasi indeks yang ditetapkan maka anak murid ini tidak akan diterima masuk ke sekolah. Ibu bapa diberi nasihat dan amaran agar menurunkan berat badan si cilik.

Langkah sedemikian pasti mendapat sokongan. Tetapi wajib dijalankan kempen mengolah persetujuan terlebih dahulu. Jangan lakukan seperti kempen anti rokok.

Jangan buat undang-undang senyap seperti Perjanjian Rome atau Icerd. Jauhkan Waythamoorty. Mazlee Malik yang menjadi menteri pelajaran wajib disekolahkan dahulu bukan hanya tentang bahaya gemuk tetapi tentang cara dan teknik media untuk mengolah persetujuan orang ramai.

Jika semua ini kita lakukan maka Malaysia akan menjadi negara terlangsing di Asean. Anak muda kacak bergaya. Anak dara cun bergetah. Ibu ayah datuk nenek semua segar. 

Gemuk dan gedebab menjadi sejarah. Warga gemuk membebankan negara. Warga yang langsing menceriakan semua. Amin. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS