Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Dapatlah gaji kerani," kata Aloy Paradoks kepada kami apabila dia disoal tentang bayaran yang diterimanya sebagai pelakon.

Aloy adalah lulusan Akedemi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Hari ini hampir semua produksi drama dan filem menumpukan usaha untuk mengambil sesiapa yang digelar Instafamous dan mempunyai pengikut yang ramai di media sosial untuk berlakon termasuk di radio.

Mereka itu dibayar lebih mahal berbanding aktor yang lulus sekolah lakonan dan lebih berpengalaman kerana kurang mempunyai pengikut di media sosial.

Kes Aloy adalah contoh terbaik untuk dibincangkan. Dia seorang pelakon dan juga penulis skrip sambilan yang pergi ke sekolah lakonan, namun kerana tidak begitu popular dan mempunyai kurang daripada 20,000 pengikut Instagramnya, maka bayaran yang diterima adalah 'gaji kerani'.

Seorang Instafamous yang tidak pernah berlakon sekalipun akan mendapat bayaran ‘pengurus besar'.

Keluarga tak ada bakat

Untuk makluman, Aloy dibayar gaji mengikut hari berkerja. Sekiranya satu-satu produksi itu mengambil masa selama dua bulan untuk penggambaran dan dia hanya diperlukan untuk 10 hari, maka 10 hari itulah gajinya.

Hari dia menunggu untuk adegan yang tiada penglibatannya tidak dikira sebagai hari dia berkerja.

Keadaan mementingkan populariti melebihi kelayakan dan bakat tidaklah menghairankan kerana hal yang sama berlaku hampir di seluruh dunia.

Lihat saja bagaimana keluarga Kardashian yang langsung tidak mempunyai bakat dalam apa juga bentuk seni, kini menjadi terkenal. Salah seorang daripada ahli keluarga mereka ditabal sebagai bilionair termuda di dunia.

Untuk setiap posting di akaun Instagram, dia dibayar AS$1 juta.

Namun begitu apa yang membimbangkan ialah, pelakon seperti Aloy langsung tidak boleh menggunakan kelulusan dan bakat yang ada padanya menjadi aset untuk tawar menawar bayaran yang diterima.

Pelakon seperti beliau akan segera ditukar kepada pelakon yang lebih muda dan murah apabila ada saja soal harga yang dipersoalkan.

Rungutan artis yang lebih berpengalaman dan mempunyai hasil kerja yang baik langsung tidak diambil kira oleh produksi yang hanya mementingkan populariti.

Timbang pakai kati

Dapat difahami bahawa apa juga produksi adalah perniagaan. Maka kerana itu mereka akan berusaha untuk mengurangkan kos dan memaksimumkan keuntungan.

Namun begitu, perlu ada pertimbangan yang lebih baik bagi membantu orang seni agar semua orang mendapat karya yang lebih baik.

Memilih orang popular semata-mata untuk diangkat ke dalam apa juga arena lambat laun akan menghasilkan kemusnahan kepada bidang yang mereka sertai itu.

Lihat saja bagaimana kesan program mencari ahli agama popular itu yang kemudian menghasilkan ramai ustaz 'timbang-tiga-puluh-lima-sen-sekati' itu. Ianya bukan saja memualkan, bahkan merosakan nama baik agama kita.

Lihat pula bagaimana rosaknya radio dan televisyen kita hari ini. Di situ mereka yang terkenal dan famous kerjanya hanya melawak dan melawak dan kemudian ketawa untuk lawak mereka sendiri.

Boleh dikatakan semuanya kini dikuasai oleh bintang mi segera dari pertandingan mencari selebriti. Mereka yang menang diserap menjadi pengacara radio dan tivi. Kemudian  dibayar terlalu tinggi berbanding tahap kualiti sepatutnya.

Gosip yang kami dengar ialah, ada pengacara radio yang dibayar hingga RM300,000 ringgit sebulan hanya untuk membuat lawak yang boleh dianggap cuma lucu kepada diri mereka sendiri.

Sebab lawak berkenaan tidak memikat pendengar - atau pelanggan mereka - pun. Tetapi selepas melawak, pengacara itu ketawa sesama sendiri di dalam konti.

Berhentilah sekejap dan renungkan, apakah yang kita lakukan ini baik untuk memajukan pemikiran orang banyak atau tidak. 

Apakah kita wajar terus berbuat apa saja yang sedang kita buat hari ini dengan matlamatnya ialah wang ringgit semata-mata.

Artikel kali ini dihiasi oleh foto foto dari pameran Lok oleh pengarca terkenal Raja Shahriman Raja Aziddin.

Pameran solo beliau sedang berlangsung di Balai Seni Negara. Masuk ke pameran adalah percuma.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair dan hanya memerlukan beberapa 'P' saja lagi untuk diiktiraf sama tempatnya dengan P Ramlee. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS