Selamat harijadi ke-60 Umno! Itulah yang didendangkan oleh pemimpin dan ahli parti itu pada 11 Mei nanti. Tetapi benarkan Umno yang ada ini, sudah berusia 60 tahun? Tiadakah ada sesiapa yang mahu membetulkan angka itu?

Seseorang perlu bangkit untuk membetulkan fakta yang salah ini. Seseorang perlu mengimbau kembali sejarah penubuhan Umno. Mungkin jatuh bangun dan hidup mati Umno perlu diperkisahkan semula di sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi, arkib negara atau di RTM.

Sejarah tidak pernah menipu. Hanya tafsiran kita dengan memutarbelikkan fakta mengikut agenda sendiri yang akan menimbulkan kekeliruan atau kekaburan. Begitu jugalah dalam mentelaah sejarah Umno ini. Hari ini, dengan bangganya, ahli-ahli parti Melayu terbesar itu mendakwa parti kebanggaan mereka sudah berusia 60 tahun.

Mari kita ungkap kembali sejarah. Umno sebenarnya telah berkubur pada hujung tahun 1987 apabila ia diisytihharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi. Allahyarham Hakim Tan Sri Harun Hashim membuat keputusan itu apabila sekumpulan ahli Umno yang tidak puas hati dengan keputusan pemilihan pucuk pimpinan Umno 1987 mengheret parti Melayu terbesar itu ke mahkamah.

Oleh itu Umno yang ada hari ini adalah Umno baru yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya. Umno lama yang diasaskan oleh Allahyarham Datuk Onn Jaffar sudah lama berkubur.

Namun kerana ia ditubuhkan semula oleh ahli-ahli yang sama dan menggunakan nama yang sama (terpaksa ditambah perkataan 'baru' di hujungnya), maka Umno baru dianggap sebagai warisan atau kesinambungan kepada Umno lama.

Masih mengekalkan slogan dan semangat perjuangan yang sama, termasuk warna rasmi merah putihnya, maka tiada mana-mana ahli Umno terasa kehilangan 'Umno lama'. Malah 'Umno baru' sedikitpun tidak dianggap atau disebut sebagai sebuah parti baru sepanjang kewujudannya.

Sejarah parti

Kalau kita mengunapakai sejarah penubuhan Umno pada tahun 1946, benarlah usia Umno baru sudah mencapai 60 tahun. Tetapi kalau digunapakai sejarah pengharamannya pada tahun 1987, usia Umno baru hanya menjangkau 19 tahun.

Rasanya kalau dibuat bancian atau undi SMS, sebahagian besar ahli Umno baru akan memilih tahun 1946 sebagai tarikh lahir parti mereka. Terlalu kecil yang akan memilih tahun 1987 kerana ramai yang sudah lupa sejarah atau tidak tahu sejarah berkenaan. Kita jangan lupa hakikat Melayu mudah lupa!

Jika kita bersetuju mengekalkan tahun 1946 sebagai tahun lahir Umno, tempoh 60 tahun kalau dibandingkan dengan usia manusia parti ini sepatutnya sudah bercucu, berehat selesa menikmati hasil persaraan. Namun sebagai sebuah pertubuhan politik ia menandakan kematangan dan kemantapan.

Sebenarnya, tidak banyak pertubuhan politik yang berusia 60 tahun, masih wujud di bumi ini. Kebanyakan parti politik yang ditubuhkan sebelum era kemerdekaan, telah berkubur atau sudah kehilangan kuasa. Contohnya di India, Parti Kongres telah lama dikuburkan dan di Indonesia, Golkar kini menjadi parti pembangkang, begitu juga dengan parti Konservatif di United Kingdom..

Sebenarnya, nasib yang sama telah menimpa Umno lama, namun sebahagian besar orang Melayu enggan menerima hakikat ini. Kita terus dibuai dengan sejarah gemilang Umno lama. Malah, tanpa segan silu kita mendakwa Umno yang ada hari ini dilahirkan di Istana Johor. Hakikatnya Umno baru dilahirkan di Kuala Lumpur!

Parti baru itu ditubuhkan setelah Umno lama dikorbankan oleh kerakusan orang Melayu sendiri!

Pada 11 Mei ini, dengan izin baginda Sultan Johor, apa yang disebut sebagai 'sambutan ulangtahun ke-60 Umno' akan diadakan secara besar-besaran. Lebih 10,000 ahli dan pemimpin Umno baru dari seluruh negara akan berhimpun di selatan tanahair.

Allahyarham Datuk Onn akan didendangkan sebagai wira Melayu. Umno akan diwar-warkan sebagai pejuang nasib bangsa, agama dan negara. Segala kemajuan dan kejayaan negara akan diletakkan di atas bahu Umno!

Tidak dinafikan Umno lama atau Umno baru mempunyai visi dan misi yang besar. Perjuangannya tidak pernah selesai selagi ada bumi Malaysia dan orang Melayu bernafas di atasnya. Di atas kertas, roh dan semangat parti ini sangat mulia, hendak memperkasakan orang Melayu dari segala aspek.

Melayu baru

Dan selari dengan perubahan zaman, profil keanggotaan Umno baru juga berubah. Umno baru dianggotai dan dikuasai oleh orang 'Melayu baru', maka visi dan misi anggota dan pemimpinnya juga bertukar.

Perjuangan, cita-cita, citarasa, selera, pemikiran dan gayahidup berubah mengikut arus zaman. Pada alaf baru dan era Internet ini, orang Melayu tidak lagi bercakap tentang kemerdekaan atau nasionalisme tetapi bercakap mengenai globalisasi, AP, ekuiti saham, konsesi balak dan tol, pemilikan serta pengambilalihan korporat.

Sekali-sekala mereka bercakap soal poligami dan inflasi, sekadar melepaskan batuk di tangga kerana mereka tahu kedua-dua isu itu tiada penghujungnya. Semua perubahan dan gejala ini menjadikan Umno baru sebagai satu batu loncatan untuk meraih kepentingan peribadi. Ramai yang hilang pedoman apabila sudah dapat jawatan.

Tidak dinafikan masih terdapat pemimpin yang kekal dengan prinsip serta semangat juang untuk agama, bangsa dan negara. Namun jumlahnya terlalu kecil dan mereka ini selalunya tidak bertahan lama dalam politik Umno baru. Ini kerana jumlah ahli Umno baru yang mahu terus menyokong pemimpin yang tidak 'menyumbang' apa-apa kepada mereka terlalu kecil.

Sama ada berusia 60 tahun atau 19 tahun, Umno yang ada sekarang sudah tidak boleh dipisahkan daripada politik wang. Gejala ini sudah berakar umbi, sudah menjadi darah daging. Bukan salah ibu mengandung kerana tuntutan kehidupan menjadikan bukan sahaja ahli Umno baru, malah ahli parti lain pun terpaksa melakukan apa sahaja untuk 'survival'.

Sekali lagi ' happy birthday Umno baru...'