Paling Popular
Terkini

Minggu lau saya menunjukkan bahawa menutup sekolah Cina bukan tanda Bani Melayu bermaruah. Menuntut Dong Zong diharamkan juga bukan tanda Bani Melayu bermaruah.

Memberi ancaman dan kata-kata kesat kepada bani pendatang bukan tanda Melayu bermaruah.

Jadi apakah maruah Bani Melayu? Bagaimana rupa bentuk Melayu yang bermaruah?

Maruah ialah harga diri. Maruah ialah etika budi bahasa kita. Budi dan kesopanan wujudiah kita sebagai Bani Melayu sekali gus sebagai umat manusia.

Maruah ialah kehormatan kita. Maruah ialah rasa hati dan jati diri kita sebagai Bani Melayu. Maruah ialah nama baik kita. Maruah ialah nilai yang dipegang dan dihayati. Maruah ialah pedoman dan kompas nilai. Maruah ialah keupayaan fikrah. Maruah ialah keintelektualan dan keilmuan.

Bani Melayu ialah penduduk asal Tanah Melayu. Bani Melayu juga penduduk asal alam Melayu yang juga dipanggil Nusantara.

Bani India dan Bani Cina adalah bani pendatang. Ini fakta. Bukan lebong penglibur lara.

Hishamuddin Rais menulis fakta ini bukan kerana Hishamuddin Rais berasal dari Bani Sakai suku Biduanda. Menyatakan Bani India dan Bani Cina sebagai bani pendatang bukan satu yang tidak betul.

Sedarkan yang tak sedar

Ini bukan penghinaan. Bukan mengungkit. Ini fakta tepat dan ilmiah. Saperti fakta matahari mucul dari Timor Timur dan terbenam di Bharat.

Bani Cina berasal dari Tanah Besar China. Bani India berasal dari Bharat. Bahasa dan budaya yang ada dalam diri mereka tidak berasal-usul dari bumi dan alam Melayu.

Jangan silap faham. Ini tidak pula bermakna Bani India dan Bani Cina – bani pendatang - ini bertahap rendah daripada Bani Melayu sebagai bani asal. Tidak.

Tujuan saya merungai asal-usul ini adalah agar kita sesama tahu dari mana kita datang. Apabila kita tahu dari mana kita datang, dari mana asal-usul kita, maka kita tahu ke mana arah kita tuju.

Saya timbulkan perkara asal-usul ini untuk melawan lupa. Untuk mengingat sesiapa yang terlupa. Untuk menyedarkan sesiapa yang lalai dan tidak sedar.

Lupa dan tak sedarkan diri ini juga satu masalah besar yang sedang melanda Tanah Melayu. Justeru mengenal asal-usul sesama kita adalah sikap bermaruah. Menyedarkan diri mereka yang lupa juga adalah sebahagian dari tugas suci lagi bermaruah.

Justeru, dari sinilah saya memperluas dan memanjangkan persoalan apa dia maruah Bani Melayu.

Pertama-tama pada hemat saya Bani Melayu - bani asal ini - memiliki tanggungjawab yang lebih berat berbanding bani pendatang. Besar tanggung jawab ini kerana penduduk asal wajib menujukkan akal budi yang cemerlang. Budi bahasa yang boleh diteladani.

Sebagai tuan rumah, Bani Melayu wajib menunjukkan contoh dan memberikan teladan.

Jika bani asal tidak bermaruah maka bani pendatang akan menjadi seribu kali kurang ajar, sejuta kali kurang sopan. Ini sedang kita saksikan berlaku di hadapan mata kepala kita semua.

Tak perlu paksa apa-apa

Dalam tulisan ini saya tidak akan menimbulkan sikap kurang ajar NGO pendatang atau kumpulan politik bani pendatang. Untuk saya, kritikan wajib saya tujukan kepada Bani Melayu bani asal. Bani tuan rumah.

Tidak ada guna Bani Melayu memaksa bani pendatang berkelakuan sopan walhal diri sendiri - pemilik asal bumi ini - tidak memiliki perangai dan maruah yang sempurna.

Ini perbuatan yang tidak masuk akal. Jika ini berlaku maka ia adalah contoh Bani Melayu yang tidak bermaruah.

Ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan lurus akhirnya akan tergadai di Pasar Chow Kit. Jika cikgu kencing berdiri maka saya yakin anak murid ini akan berani mengencingkan cikgu.

Jika tuan rumah tidak menjaga rumahnya sendiri maka akhirnya rumah itu akan tergadai. Ini sedang kita saksikan berlaku di hadapan mata kita. Forest City, Pantai Dalam, Tanjung, Kampung Abdullah Hukum adalah contoh terkini. Amin.

Bani Melayu yang bermaruah tidak perlu memaksa apa-apa ke atas bani pendatang. Paksaan tidak membawa jawapan yang molek. Tidak memunculkan silaturahim. Pengharaman tidak akan menghasilkan apa yang dirancang.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa Bani Melayu boleh menjadi bani yang bermaruah tanpa perlu menutup sekolah Cina atau mengharamkan Dong Zong. Khalas.

Betul ke? Apa lagi caranya untuk menjadi Bani Melayu yang bermaruah ?

Bani Melayu bani asal bumi ini tidak ada pilihan melainkan mempertahankan Tanah Melayu. Bani Melayu tidak ada Bharat dan tidak ada Tanah Besar. Bani Melayu terikat dengan Tanah Melayu yang kita panggil tanah air.

Sedia pindah ke negeri atas angin

Dua sumber kehidupan - tanah dan air - ini menjadi kosep watak psikik Bani Melayu.

Tanah dan air ini dalam psikik budaya adalah tanah tempat tumpah darah. Di bumi ini uri, tali pusat dan tembuni mereka ditanam. Justeru tanah tempat ia dilahirkan dengan darah ibunya: menjadi konsep tanah tumpah darah.

Konsep dan psikik Melayu yang ini amat jarang dianalisis. Tetapi inilah kunci wujudiah Bani Melayu.

Justeru nama asal bumi ini di panggil Tanah Melayu dan bukan Malaysia. Tanah tumpah darah – tempat tembuni dan uri ditanamkan - adalah konsep tepat turun temurun ajaran datuk nenek moyang. Ajaran ini telah wujud sebelum Bani Cina dan Bani India datang menumpang. Sebelum wujudnya Dong Zong.

Datuk nenek moyang juga mengajar kita bagaimana jika hujan emas dan hujan perak di negeri orang, kita masih memilih negeri sendiri. Walaupun negeri sendiri dihujani oleh lembing dan panah.

Justeru Bani Melayu kurang senang dan kurang selesa untuk menjadi kaum pendatang mencari kehidupan di negara asing. Atau bersedia untuk berpindah ke negara atas angin.

Betapa hodoh betapa susah betapa gersang betapa kering kontang tanah sawah, Bani Melayu akan terus bertahan di tanah tumpah darahnya. Hujan lembing dan hujan besi akan dihadapinya.

Melayu akan terus bertahan di Tanah Melayu. Ini tanda Bani Melayu yang bermaruah.

Ini amat berlainan dari budaya Bani Pendatang. Mereka berhijrah untuk memperbaiki kehidupan. Kelaparan dan kebuluran pernah terjadi di negara asal, maka Tanah Melayu menjadi bumi penyambung nyawa.

Sayugia diingatkan jika di Tanah Melayu iklim dan cuaca tidak menjanjikan, maka dengan senang hati bani pendatag akan berpindah ke Australia misalnya. Ini sedang kita saksikan.

Bani tak bermaruah

Malah pasport Tanah Melayu - salah satu paspot yang amat amat bernilai dalam dunia hari ini - hanya dijadikan batu loncatan. Malah ramai pendatang baru ini singgah di Tanah Melayu hanya menunggu peluang untuk mendapat pasport Tanah Melayu sebelum berpindah ke negara atas angin. Khalas.

Bani Melayu yang bermaruah tidak akan membenarkan pendatang baru dengan senang menjadi warganegara Tanah Melayu. Jauh sekali dirasuah untuk menjual pasport dan kerakyataan.

Mustahil jika kamu pendatang haram di kota London atau New York kamu boleh menjadi warga British atau Amerika dengan senang. Atau dengan menggunakan jalan rasuah.

Ketika saya menulis ini, ada satu manifestasi sebagai satu contoh terbaik untuk memahami maruah Bani Melayu. Contoh ini bersangkutan dengan sosok yang dipanggil Najib.

Si Najib ini telah jatuh dari tampuk kuasa dalam PRU14. Kini bekas perdana menteri itu sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan. Dari menyalah guna kuasa kepada rasuah. Dari rasuah kepada menjual negara kepada negara asing.

Dalam masa terdekat si Najib ini mungkin akan dituduh terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Satu Malaysia sedang menunggu-nunggu pengumuan dari Peguam Negara bersangkutan dengan akuan bersumpah Azilah Hadri yang mucul pada 15 Dis tahun lalu.

Azilah sedang menunggu untuk menjalani hukum mati kerana terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Dalam akuan bersumpah itu Azilah secara jelas dan tuntas mensabitkan Najib.

Mengikit Akuan Bersumpah Azilah, si Najib yang menjadi perdana menteri pada ketika itu telah memberi arahan untuk ‘menjimatkan’ Altantuya yang dituduh sebagai ejen asing.

Azilah seorang pegawai polis dan seorang lagi anggota polis bernama Sirul Azhar telah meledakkan Altantuya. Ia dilakuan agar tidak ada tanda-tanda DNA dikesan, kerana menurut Azilah, model cun dari Mongolia itu sedang berbadan dua. Entah membawa anak Razak atau membawa cucu Razak.

Tapi bukan kes Altantya yang ingin saya panjang lebarkan. Apa yang hendak saya timbulkan ialah maruah Bani Melayu. Sikap ahli parti United Malaya National Organisation – parti ketuanan Melayu – yang terus menyokong Najib yang mereka panggil sebagai Bossku.

Sikap menyokong Najib ini jelas memperlihatkan bahawa ada satu kumpulan Bani Melayu yang tidak bermaruah. Bani Melayu yang tidak memiliki nilai salah benar. Bani Melayu yang kompas salah betulnya telah pencong.

Mata budaya Bani Melayu jenis ini telah rabun dan kabur.

Kumpulan Bani Melayu jenis inilah yang tidak memberi nilai contoh kepada bani pendatang. Tanpa contoh yang baik maka bani pendatang tidak menghormati Bani Melayu.

Malah terbukti bagaimana dari kes mahkamah kita diberitahu bagaimana Jho Low seorang lelaki Bani Cina telah menipu Najib seorang pemimpin Islam dari Bani Melayu.

Tidak cukup dengan penghinaan daripada Jho Low, kita berhadapan dengan kumpulan Bani Melayu yang masih menyokong Najib.

Kalau bani pendatang menyokong Najib, amat senang untuk difahami, kerana selama 60 tahun yang berlalu Bani Cina telah kaya-raya menjarah harta kekayaan Tanah Melayu dengan menyokong United Malays National Organisation.

Bani Melayu dan kumpulan Bani Melayu jenis ini saya takrifkan sebagai Bani Melayu tidak bermaruah. Bani Melayu jenis ini jugalah yang mahu menutup sekolah Cina dan mahu Dong Zong diharamkan.

Bani Melayu tidak bermaruh ini juga yang sering mengapi-apikan sikap kebencian terhadap bani pendatang. Bagaimana pula dengan sikap dan jawapan bani pendatang? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS