Setelah tiga kali, harapan untuk pulang ke tanah air akhirnya seperti agak cerah.

Kami ke Jogja untuk bertemu dengan para seniman yang akan turut serta dalam pameran Lintas Akal, iaitu pameran yang menggabungkan pelukis dari Malaya dan Indonesia.

Cadangannya, cukuplah seminggu kami di sana untuk lebih mengenal seniman dan juga karya mereka sambil menziarah teman-teman pelukis di sana.

Pameran Lintas Akal adalah lanjutan daripada lawatan pertama kami ke Jogja pada 2018.

Lintas Akal mendapat kelulusan untuk berpameran di Balai Seni Negara pada September ini. Bagaimana pun, dalam keadaan seperti sekarang, besar kemungkinan ianya akan dibawa kepada satu tarikh yang lain.

Setelah beberapa kali di tukar tarikh penerbangan balik, kami akhirnya di nasihatkan oleh pihak kedutaan untuk pulang segera kerana ditakuti wabak Covid-19 akan lebih menganas di Jogja.

Satu penerbangan khas untuk penuntut Universiti Islam Negeri (UIN) Sunan Kalijaga, Jogjakarta diusahakan oleh kerajaan Malaya dan Yayasan Sarawak bagi membawa pulang penuntut yang berasal dari Sarawak di universiti berkenaan.

Kami di beritahu bahawa masih terdapat kekosongan dalam penerbangan berkenaan. Dan kami di minta segera menempah tiket.

Lapangan terbang jadi lengang

Bersama kami - selain penuntut UIN - ialah pelajar sekolah pondok yang juga berasa dari Sarawak.

Setelah mendapat pengesahan tempat dalam penerbangan berkenaan kami pun membuat persiapan untuk pulang setelah hampir sebulan di Jogja.

Sebuah bas yang disewa khas oleh pelajar UIN membawa kami dari Jogja ke Lapangkan Terbang Juanda di Surabaya. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 5 jam menggunakan jalan bertol.

Di lapangan terbang tersebut, pemeriksaan kesihatan penumpang adalah agak standard. Kami diperiksa suhu tubuh dan dibenarkan menaiki pesawat apabila didapati tidak mempunyai tanda-tanda dijangkiti virus Covid-19.

Lapangan terbang itu agak lenggang apabila hampir semua perniagaan ditutup. Hanya kumpulkan kami yang berada di situ apabila kami sampai kira-kira jam 5 pagi. Pesawat udara kami pula dijadual berlepas pada jam 3 petang.

Kami melihat pada papan kenyataan, selain daripada penerbangan kami, terdapat dua atau tiga lagi penerbangan lain dengan salah satu ke arah Beijing.

Setibanya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, kami diarahkan untuk berbaris dan menunggu untuk disaring sebelum dibawa ke pusat kuarantin dengan bas yang sudah sedia menunggu.

Tak ada rungutan

Proses ini mengambil masa sekitar tiga jam jika dikira dari masa pesawat udara kami mendarat. Kami sedikit keletihan kerana perjalanan yang bermula pada malam sebelumnya.

Kami di kuarantin di tempat yang agak mewah. Hotel tempat kami menginap untuk 14 hari ini adalah sebuah hotel yang terkenal suatu masa dulu.

Setibanya di hotel berkenan, kami diberikan bilik dengan arahan bahawa kami tidak dibenarkan keluar walaupun ke beranda. Makanan akan di sediakan.

Kami diberikan makan tiga kali sehari. Selain itu kami dibenarkan untuk memesan makanan dari dapur hotel dengan perbelanjaan sendiri.

Perkhimatan mencuci pakaian juga di sediakan namun ianya di kenakan bayaran. Merokok adalah dilarang sama sekali.

Kami bersetuju dengan semua arahan yang dikeluarkan dan berusaha untuk mentaatinya. Tidak ada sebarang rungutan mengenai tempat tinggal, makanan dan juga larangan merokok.

Untuk makluman, beranda hotel ini - seperti hotel-hotel yang lain - adalah terasing di antara satu sama lain. Mungkin ia begitu untuk kebaikan kami dan juga orang ramai, namun kami berasa larangan ke beranda ini adalah tidak perlu.

Ada sikit macam penjara

Memanglah makanan yang disediakan ala makanan hospital. Jika kamu memang kaki makan, mohon di maafkan kerana saiz hidangan yang disediakan adalah kecil. Cukup untuk menahan lapar, namun kami tidak ada komplen di sini.

Cuma sedikit sunyi kerana - seperti yang kami katakan tadi - tidak ada perhubungan yang dibenarkan antara para ahli kuarantin. Pintu akan diketuk apabila makanan tersedia atau ada barang keperluan harian seperti berus gigi, syampu, sabun mandi dan sebagainya disediakan.

Makanan dihidangkan menggunakan dulang plastik akan ditinggalkan di depan pintu.

Betullah apa yang dikatakan oleh budak perempuan yang baru balik dari luar negara itu bahawa di kuarantin ini ada sedikit persamaan dengan kehidupan di penjara.

Kamu yang dikurung di rumah patut sangat bersyukur.

Terima kasih kami ucapkan kepada kerajaan yang menyediakan penerbangan khas tersebut dan juga Yayasan Sarawak yang berusaha keras membawa pelajar mereka pulang ke tanah air.

Terima kasih juga kepada pelajar dan juga pegawai kedutaan serta wakil penerbangan yang selalu mengemas kini tindakan apa yang perlu kami perbuat sehingga kami dibenarkan pulang.

Kepada para petugas yang menguruskan ketibaan sehingga kepada yang menguruskan tempat kuarantin, kami juga mengucapkan ribuan terima kasih atas segala-galanya.

Kepada pelajar-pelajar yang menaiki bas dari Jogja ke Surabaya, kami ialah pak cik yang menjerit "Buka pintu! Buka pintu!" dengan kuat semasa dalam perjalanan tersebut.

Maafkan pak cik membuatkan kamu semua terjaga daripada tidur di dalam bas berkenaan. Pak cik faham kepanikan kamu waktu itu.

Mereka yang pernah tidur dengan pak cik tahu hal ini, iaitu pak cik kalau bab mengigau memang handal, baik semasa jaga apatah lagi semasa tidur.

Apabila dikenang kembali, bangun pagi melihat sawah padi setiap hari di Jogja tidaklah teruk sangat jika dibandingkan dengan apa yang sedang kami lalui sekarang ini.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang sedang menjalani fasa pertama kuarantin di Kuala Lumpur setelah pulang dari Jogja.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.