Gelombang Kota Sarang Semut
Muktamar agung PAS kali ke-52 yang berlangsung minggu lalu menyerlahkan beberapa perkara. Sepanjang empat hari muktamar tersebut, terpancar kesederhanaan, keharmornian dan keterbukaan dalam parti itu.
Jelas ahli dan pemimpinnya semakin matang dan berpijak di bumi nyata. Sepanjang muktamar itu, tiada tanda-tanda menunjukkan ahli parti ini jumud atau ekstrim. Sebaliknya yang terserlah ia sikap terbuka dan toleransi, terutamanya berkaitan dengan strategi perjuangan parti.
Sepanjang perbahasan di muktamar itu, tiada seorangpun perwakilan yang menentang cadangan membuka keahlian PAS kepada bukan Islam. Malahan mereka tidak sabar-sabar mahu melihat cadangan itu dilaksanaka segera.
Perwakilan yang bercakap mengenai isu ahli bersekutu PAS mendesak pucuk pimpinan melaksanakan segera cadangan yang telah lama 'tergantung' itu.
Muktamar agung PAS kali ke-52 yang berlangsung minggu lalu menyerlahkan beberapa perkara. Sepanjang empat hari muktamar tersebut, terpancar kesederhanaan, keharmornian dan keterbukaan dalam parti itu.
Jelas ahli dan pemimpinnya semakin matang dan berpijak di bumi nyata. Sepanjang muktamar itu, tiada tanda-tanda menunjukkan ahli parti ini jumud atau ekstrim. Sebaliknya yang terserlah ia sikap terbuka dan toleransi, terutamanya berkaitan dengan strategi perjuangan parti.
Sepanjang perbahasan di muktamar itu, tiada seorangpun perwakilan yang menentang cadangan membuka keahlian PAS kepada bukan Islam. Malahan mereka tidak sabar-sabar mahu melihat cadangan itu dilaksanaka segera.
Perwakilan yang bercakap mengenai isu ahli bersekutu PAS mendesak pucuk pimpinan melaksanakan segera cadangan yang telah lama 'tergantung' itu.
Ahli PAS kini tidak lagi melihat kerjasama dengan bukan Islam suatu yang mengancam kedudukan mereka. Malah mereka sedar, dalam politik Malaysia sekarang, tiada parti boleh memegang tampuk kuasa jika tidak bergabung dengan kaum dan penganut agama lain.
Ahli PAS tidak mahu parti mereka kekal sebagai pembangkang di negara ini. Lantas, mereka bersedia duduk semeja dan sebumbung dengan orang Cina, India atau pribumi Sabah dan Sarawak, asalkan mempunyai agenda politik yang sama, iaitu menumbangkan Barisan Nasional.
Dalam muktamar kali ini, apa yang lebih ditekankan ialah strategi politik. Soal prinsip perjuangan tidak begitu disentuh, malah tiada seorangpun perwakilan yang bangkit memperkatakan tentang penubuhan negara Islam.
Presiden PAS sendiri menegaskan, strategi boleh berubah tanpa mengorbankan prinsip perjuangan. Dalam erti kata lain, PAS boleh dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan tidak bertentangan dengan prinsip Islam.
Sebagaimana kata Datuk Seri Haji Hadi Awang, ajaran Islam tidak melarang umatnya berbaik-baik dengan bukan Islam.
"Ajaran berkawan dan berbaik sangka sesama manusia adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Berkerjasama dari segi politik dengan bukan Islam juga bukan perkara luar biasa. Rasullullah pun berkawan dengan orang Yahudi," ujarnya.
Terbuka dan sederhana
Oleh kerana itu, PAS bukan sahaja terbuka untuk berbaik-baik dengan masyarakat bukan Islam, malah bersedia untuk membenarkan mereka bertanding menggunakan simbolnya jika ada tuntutan seperti itu.
Sikap terbuka dan sederhana bukan sahaja menjalar di kalangan golongan muda dan profesional atau di Dewan Pemuda serta Dewan Muslimatnya, malah turut dirasai di Dewam Ulamanya. Satu ketika dulu, Dewan Ulama PAS adalah antara sayap yang paling keras dan ekstrim pendekatan dan pegangan politiknya. Namun kebelakangan ini ia semakin lembut dan sederhana dalam menangani isu-isu politik.
Ketua dewan tersebut, Ustaz Harun Taib dalam ucapan penangguhannya di muktamar itu dengan jelas menegaskan Dewan Ulama tidak mempunyai apa-apa halangan untuk menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.
"Kita sudah lama mengkaji perkara ini dan sudah lama menyetujuinya. Terpulang kepada parti untuk melaksanakannya,"ujar beliau.
Jelas sekali, para ustaz dan tuan guru dalam Dewan Ulama dan Majlis Syura PAS semakin bijak dan matang berpolitik. Mereka semakin memahami sepak terajang politik masyarakat majmuk.
Bagai kata Naib Presidennya, Mohammad Sabu: "Sampai bila kita mahu jadi pembangkang. Kita perlu menonjolkan daya tarikan dan program kita untuk menang. Kita tidak boleh selamanya menang dengan menumpang krisis orang lain."
Seperkara lagi yang diserlahkan oleh muktamar kali ini ialah sikap terbuka antara ahli dan pemimpin PAS. Budaya mengkritik diri sendiri dan orang lain terus subur dalam parti ini. Para perwakilannya tidak teragak-agak atau segan untuk mengkritik pemimpin mereka. Timbalan Presiden dan Naib Presiden tidak terkecuali ditegur secara terus-terang.
Tegur-menegur
Perwakilan dari Perlis, Zolkharnain Abidin secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap prestasi Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Hassan Ali dalam membantu Presiden menguruskan parti. Wakil dari Perak, Misbahul Munir Masduki pula menegur barisan pemimpin yang berada di pentas tetapi tidak mempunyai agenda untuk memajukan parti.
Malah, beliau mahu para pemimpin PAS turun padang ke kampung atau kawasan, bukan hanya mengutamakan program besar bagi menonjolkan diri sendiri di arena nasional dan antarabangsa. Para pemimpin PAS, terutama ulamanya, juga ditegur kerana enggan turun menyertai demonstrasi aman di ibnnegara.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob berkata, amalan menegur secara terbuka itu menjadi kekuatan parti kerana dengan cara itu semua pihak akan sentiasa muhasabah diri.
"Para perwakilan tidak bertujuan menjatuhkan sesiapa, cuma mahu membaiki mana-mana yang dirasakan belum cukup baik. Muktamar ini bukan medan untuk ampu-mengampu,"jelasnya.
Para pemimpin PAS yang ditegur juga menerima segala teguran dengan hati terbuka. Hasan Ali, walaupun terkilan kerana ditegur agak keras oleh wakil dari Perlis, namun masih boleh berjenaka ketika menjawab segala kritikan yang dilemparkan kepadanya.
Sambil menyifatkan kritikan terhadapnya sebagai 'low blow' (istilah dalam sukan tinju) beliau terus mengalu-alukan kritikan yang konstruktif dan bertanggungjawab.
"Setiap teguran yang dibuat biarlah melahirkan motivasi, bukannya membunuh semangat," tegasnya.
Ceramah politik
Satu lagi perkara yang terserlah semasa muktamar di Kota Sarang Semut, Kedah ini ialah kekuatan pengaruh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ceramah politik pada malam 8 Jun di kompleks PAS Kedah itu dipenuhi lautan manusia. Kesesakan lalulintas hampir lapan kilometer, bermula dari pekan Simpang Empat hingga tapak muktamar. Orang ramai terpaksa berjalan kaki lebih tiga kilometer kerana tiada ruang untuk meletak kereta.
Dianggarkan kira-kira 50,000 hadir mendengar ceramah Anwar dan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat walaupun disirami gerimis berbanding kira-kira 15,000 orang yang menghadiri ceramah Hadi dan Mohamad Sabu pada malam sebelumnya.
Seorang guru yang tinggal di Pendang yang ditemui pada malam itu memberitahu beliau datang bukan kerana PAS tetapi untuk mendengar ceramah Anwar. Momentum yang disaksikan pada malam itu membawa kita mengimbau kembali suasana politik tahun 1999 di mana orang Melayu berduyun-duyun setiap malam menghadiri ceramah Barisan Alternatif.
Pemimpin PAS menyifatkan himpunan puluhan ribu manusia pada malam itu sebagai satu gelombang baru yang sedang melanda negeri Kedah. Nampaknya, Anwar masih mempunyai daya tarikan yang kuat dan tentunya perkembangan di Kota Sarang Semut ini menggusarkan Umno yang sedang dilanda badai Mahathir-Abdullah itu.

