Warga di negara ini selalu terlihat berita di kaca TV atau terbaca tentang penangkapan Mat Gian. Kita juga terbaca sesekali pegawai kastam, pasukan anti narkorik dan pihak polis berjaya menumpaskan sindiket penyludupan dadah. Kita juga diberitahu, lebih 90 peratus penagih dadah di negara ini adalah lelaki yang majoritinya anak muda Melayu.

Umum juga mengetahui kewujudan pusat serenti. Malah ramai antara kita ternampak pusat-pusat ini terletak berdekatan kampung atau daerah kita sendiri. Ini semua tindakan/langkah kerajaan menumpaskan penyakit gian dadah. Tetapi ada lagi satu gian yang saya anggap lebih besar dan lebih bahaya daripada dadah. Gian yang saya maksudkan ini ialah gian kuasa. Gian kuasa ini sedang merebak dengan meluas dalam negara kita.

Kesedaran melihat gian kuasa sebagai bahaya besar masih belum timbul kerana pandangan mata orang ramai telah dijulingkan. Apa yang sebenarnya berlaku, mereka yang gian kuasa ini telah berjaya mengalihkan pandangan orang ramai bertumpu hanya kepada gian dadah.

Orang ramai dan warga telah ditarbiah dengan propaganda bahaya dadah. Anak muda dijadikan musuh utama dalam kempen membasmi gian dadah. Apabila anak muda dijadikan musuh, maka serta-merta ibu bapa menjadi risau dan takut.

Mat Gian dan Mat Fit selalu menjadi mangsa kempen membasmi gian dadah. Mereka dipanggil bangkai bernyawa , doktor inject, penghisap racun tikus, sampah masyarakat dan pelbagai nama yang cuba memperlekehkan mereka.

Kawasan dan pot Mat Gian biasanya di kawasan murah lagi kotor dalam kotaraya Kuala Lumpur. Gambaran lorong belakang ini ditayangkan melalui kaca TV untuk tatapan orang ramai. Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib kini disinonimkan sebagai sarang Mat Gian dan Mat Fit.

Mereka sering dilihatkan mabuk terhuyung-hayang ke hulu ke hilir dengan pakaian compang-camping. Mereka kelihatan kotor, hapak dan berbau busuk. Imej-imej ini cuba menakut dan mengingatkan kita agar menjauhkan diri daripada mereka yang gian dadah. Hari ini, anak-anak kecil bukan hanya ditakut-takutkan dengan hantu, tetapi kini Mat Gian dan Mat Fit juga dijadikan subjek untuk menakut-nakutkan mereka.

Najis dadah

Lihatlah bagaimana pelbagai rancangan dijalankan untuk menumpaskan gian dadah sehinggakan ada percubaan untuk meletakkan perkataan najis sebelum menyebut perkataan dadah. Semua ini sebenarnya usaha-usaha lawak yang tidak masuk akal. Bagi mereka yang tidak 'berdengong', kempen ini mungkin menakut dan menjijikkan. Tetapi dari segi kajian, telah terbukti bahawa kempen dan rancangan/pendekatan pembasmian dadah cara ini, kelihatan gagal.

Jumlah anak muda di pusat serenti tidak pernah berkurangan. Kemasukan dadah tidak pernah putus. Dadah dari pelbagai jenis, terus dapat menerbus masuk ke pasaran negara. Bagi saya, apabila warga dan orang ramai menjadi takut dengan bahaya dadah, lalu mereka terlupa tentang satu lagi gian yang lebih merbahaya gian kuasa. Gian ini sedang membawa porak-peranda yang lebih dahsyat daripada bencana dadah.Gian kuasa ini sedang merebak dengan amat meluas sekali.

Wabak gian kuasa ini telah menular hinggga ke akar umbi masyarakat Melayu di kampung-kampung. Pengedar dan tokan utama wabak ini ialah United Malay National Organisations (Umno) dan sekutu-sekutunya.

Dari pengamatan saya, gian kuasa ini sedang mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat. Lapisan terbawah yang sedang gian kuasa ini ialah gerombolan apa yang di kenali sebagai geng Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Para pengkaji sosial wajib memberi perhatian untuk memahami bagaimana gian kuasa ini sedang mengharu-birukan penduduk kampung.

Jangan terperanjat apabila saya nyatakan bahawa ada geng JKKK yang bercita-cita untuk menjadi tokan besar. Mereka telah berjaya membuka pasaran baru sehinggakan di setengah-setengah kariah, telah terdapat ahli jawatankuasa masjid juga yang telah menjadi gian.

'Stone' dan ' high'

Bayangkan, jika orang masjid pun gian kuasa, maka dari siapa lagikah agaknya anak-anak muda yang gian dadah ini hendak mendapat nasihat dan tunjuk ajar. Akan dilihat sebagai satu jenaka apabila Tok Imam yang gian kuasa, cuba berkhutubah tentang bahaya gian dadah. Orang yang tidak pernah khayal pun, jika menyedari hakikat ini, akan ketawa kerana kedua-dua pihak sebenarnya sedang 'berdengong' satu dengan heroin dan satu lagi dengan kuasa.

Kepala mereka sedang 'stone, high' dan khayal. Mereka bukan lagi duduk di bumi yang nyata. Kuasa dan dadah heroin sedang menguruskan cara mereka berfikir.

Baru-baru ini kita terbaca tentang bagaimana dua orang tua yang telah cuba untuk terus menjadi pemimpin persatuan anak-anak muda. Ada antara orang tua ini yang sudah botak kepala tetapi masih bermati-matian ingin mempertahankan kedudukan dalam persatuan anak-anak muda.

Mereka sanggup bertelagah untuk membuktikan mereka masih lagi muda. Melihat berita orang-orang tua yang hampir nyanyuk ini berkelakuan sedemikian memang lawak. Tetapi kita wajib faham, mereka bukan melawak. Mereka berperangai sang badut kerana mereka sedang dalam keadaan ketagih.

Warga terbaca tentang bagaimana orang-orang tua ini sanggup mengatakan dia masih belum tua kerana dia masih lagi belajar di universiti, walaupun dia telah bercucu. Ada pula orang tua yang mengakui ibunya tersalah lapor tarikh kelahirannya.

Mereka ketagih kuasa. Justeru, mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk melaporkan diri untuk masuk ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Pantai Dalam. Untuk saya, semua ini cukup jelas tanda-tanda 'withdrawl symptom' ketika diserang ketagihan kuasa. Mereka wajib mendapat suntikan kuasa, barulah mereka merasa diri mereka wujud sebagai seorang insan. Tanpa kuasa, mereka lebih lentuk dan 'lok lak' dari Mat Gian dan Mat Ganja.

Apakah kita terlupa tentang seorang pemimpin Umno yang telah didapati mengamalkan rasuah a.k.a politik wang. Si Mamat ini telah terbukti terang-terang kesnya dalam pembelian kertas undi. Tetapi lihat apa yang dilakukan oleh si Mamat ini. Dia bukan main liat untuk melepaskan jawatan.

Orang ramai mengharapkan dia akan meletakkan jawatan. Suara-suara kedengaran di sana-sini menuntut agar dia meletakkan jawatan. Tetapi manusia yang gian kuasa tidak akan melakukan sedemikian. Si Mamat ini berdolak-dalih ke hulu ke hilir kerana ingin terus mempertahankan kedudukan. Dia menyembah dan merayu. Ini adalah satu lagi tanda bahawa si Mamat ini ketagih kuasa.

Wabak ketagih kuasa ini telah menjangkiti banyak badan dan pertubuhan. Ketagih kuasa yang disebarkan oleh Umno ini telah menjangkiti gerombolan parti sekutunya. Baru-baru ini kita lihat bagaimana seorang pemimpin sebuah organisasi parti sekutu Umno telah bermati-matian cuba mempertahan kerusi yang didudukinya.

Ketagih kuasa

Jika dia botak maka dia akan memakai rambut palsu untuk membuktikan dia masih boleh duduk di kerusi yang sama. Jika dia telah menjalani operasi jantung, dia akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa dia masih boleh memanjat pokok kelapa. Jika dia diserang angin ahmar dan menjadi tepok, dia akan berkata dia sihat walafiat walaupun apabila bercakap air liurnya menjejeh-jejeh. Ini adalah tanda-tanda ketagih kuasa.

Pada ketika ini, sayangnya, masih belum ramai warga yang dapat menilai betapa bahayanya ketagih kuasa berbanding dengan ketagih dadah. Memang betul, orang yang ketagih kuasa dilihat bertali leher, berkot dan menaiki kereta yang mewah. Mat Gian kuasa ini selalunya duduk di kawasan yang lumayan dan sempurna. Mereka pula cukup bijak dalam menyembunyikan tabiat ketagihanan mereka.

Justeru, saya hanya ingin memberi peringatan. Jika ternampak Mat Gian atau Mat Fit terhuyung-hayang, jangan risau kerana mereka ini tidak merbahaya. Mereka sedang 'berdengong', jika ditolak dengan satu jari pun mereka akan terjatuh.

Tetapi waspada terhadap mereka yang ketagih kuasa. Mereka sentiasa berpakain kemas, teratur dan membawa dompet yang penuh dengan kad kredit. Tidak mungkin mereka akan jatuh dengan sekali tolak. Disepak dan diterajang pun belum tentu mereka akan jatuh.

Ketagihan kuasa inilah yang sentiasa menggangu dan menyusahkan perjalanan hidup kita. Pergi tersepak pulang terlanggar. Petang menjadi nyamuk, senja menjadi agas. Malam menjadi pijat. Ke bukit menjadi pacat, ke air menjadi lintah. Di warong menjadi lipas, dalam komputer menjadi virus.

Mereka sentiasa menunjukkan muka seperti tahi terapung yang tidak dapat ditelan air.

Contoh 'withdrawl symptom' seorang Mamat Gian kuasa kini sedang berlaku di hadapan mata kita. Saya tidak perlu berselindung di belakang tembok untuk menyatakan nama Mamat ini. Dia ialah Mahathir Mohamad.