Paling Popular
Terkini
story images
story images

Tulisan ini digarap pada Selasa 23 Jun 2020. Saya memungut dan merakamkan statistik serangan Covid-19 dari WHO (World Health Organisation). Setakat hari Selasa ini seramai 8,860,331 warga dunia telah dihinggapi oleh virus korona. Seramai 470,822 anak semua bangsa warga dunia dari pelbagai negara telah tewas gugur.

Statistik WHO ini juga menunjukkan Amerika Syarikat sebagai negara paling teruk diserang virus korona. Seramai 2,241,178 telah dihinggapi. Seramai 122,248 warga Amerika telah mati. Dan paling terkini seramai 32,349 disahkan sebagai pesakit baru. Jumlah kematian di Amerika ialah 30% dari semua kematian global walhal penduduk Amerika hanya 5% dari jumlah penduduk dunia.

Nisbah angka kematian di Greece, Cuba, Vietnam, Austria, Korea Selatan, Mongolia atau Taiwan lebih rendah berbanding dengan Amerika. Negara-negara ini juga memiliki watak-watak yang sama seperti Amerika.

Di Korea Selatan, Cuba, Vietnam atau di Taiwan ramai penduduk menginap dalam kota-kota dan pekan. Ada wilayah yang padat. Pasar raya dan gedung membeli-belah menjadi tempat warga berkumpul. Kafe, restoran dan pub bersepah-sepah tempat warga duduk ramai-ramai bersantai. Tidak ada yang unik untuk menarik virus korona memilih Amerika dan tidak Korea Selatan, Cuba, Vietnam atau Taiwan.

Amerika negara terkaya dalam dunia. Amerika Syarikat memiliki hospital dan klinik tercanggih dalam dunia. Amerika memiliki pakar perubatan yang ulung. Banyak sosok perubatan – bomoh dan tabib – kelas dunia tinggal di Amerika Syarikat. Hospital dan klinik di Amerika lengkap dengan peralatan terbaru yang canggih-manggih. Universiti dan sekolah perubatan Amerika tersohor. Kaji selidik ilmu perubatan dan ilmu bidang sains terunggul dalam dunia berpusat di Amerika.

Fakta menunjukkan seramai 336 warga Amerika adalah pemenang Hadiah Hadiah Nobel semenjak tahun 1901. Dari jumlah ini seramai 94 orang memenangi hadiah dalam bidang fisiologi dan perubatan. Amin.

Tetapi kenapa Amerika Syarikat menjadi negara paling teruk diserang oleh korona. Serangan pandemik kali ini membuktikan Amerika tercorot dalam bidang menyelamatkan warga. Tercorot dalam bidang kesihatan awam. Apakah darah warga Amerika lebih enak untuk dibaham oleh Mat Korona. Tidak. Tidak. Tidak.

Jawabnya ialah sistem.

Terima kasih, korona

Kematian dan statistik yang menonjol ini adalah manifestasi dari satu sistem. Untuk memahami persoalan Covid-19 dan pandemik ini kita wajib memahami apa sistem yang diguna pakai oleh Amerika Syarikat. Kita wajib memahami sistem ekonomi Amerika.

Saya berterima kasih pada korona. Pandemik Covid-19 ini telah memaksa dunia untuk mula berbincang tentang sistem perubatan awam. Berbincang tentang sistem kesihatan untuk rakyat teramai. Melalui perbincangan tentang kesihatan awam maka dengan sendirilah terbuka luas perbincangan tentang sistem ekonomi.

Pada ketika ini seluruh dunia sedang berlebong tentang sistem ekonomi. Kalau dahulu hanya kaum Marxis, kaum Sosialis dan kaum kerabat kiri sahaja yang membincang dan menimbulkan wacana tentang sistem ekonomi. Kali ini perbualan dunia ialah sistem, sistem dan sistem.

Virus korona telah memaksa warga dunia untuk memahami bahawa di belakang kehidupan moden hari ini wujud satu sistem. Kita semua – anak semua bangsa ini adalah manifestasi dari sistem ini. Budaya, gaya hidup, nilai, kepercayaan, moral dan semua ciri kehidupan kita hari ini adalah manifestasi dari satu sistem. Amin.

Sistem ini ialah sistem ekonomi kapitalis. Apakah dia yang dipanggil sistem ekonomi kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis muncul sesudah runtuhnya sistem feudal. Sistem ekonomi feudal menobatkan raja sebagai punca kuasa. Semua kuasa dimiliki dan berpusat kepada istana dan raja. Orang ramai bekerja untuk raja. Tanaman, buah buahan, ternakan ayam, itik, kambing lembu boleh diambil oleh raja bila bila masa sahaja. Malah anak dara dan isteri sendiri pun boleh dirembat oleh raja jika tuanku berkenan.

Tenaga tulang empat kerat rakyat jelata boleh dikerah oleh raja untuk membuat apa sahaja kerja. Jika raja berperang maka rakyat jelata akan dikerah untuk menjadi soldadu mempertahankan raja. Amin.

Sistem feudal ini masih ada. Di Saudi Arabia, di Negara Arab Teluk dan juga di Brunei sistem ini masih diguna pakai. Amat jelas ada kerjasama paling intim dan bersekongkolan yang rapat antara kaum feudal dengan kaum agamawan. Masjid dan istana sepakat.

Raja membunuh jika kamu ingkar. Golongan agamawan akan menandatangani surat untuk menghantar kamu dibakar api neraka jika kamu ingkar. Dua lembaga – istana dan masjid - bekerja rapat menakut-nakutkan dan mengancam orang biasa. Tujuan ancaman hanya satu untuk mengumpul dan memiliki harta kekayaan demi kesenangan dalam hidup.

Jangan silap baca: istana dan masjid dan tulisan ini bukan bangunan. Masjid dan istana ini adalah lembaga daulah.

Sistem ekonomi feudal ini dilawan oleh golongan baru yang merasakan sistem ini tidak adil. Kaum baru ini bangun memberontak dan memenggal kepala raja.

Golongan baru ini membawa sistem ekonomi kapitalis. Kuasa raja dan masjid mula diketepikan. Raja dan masjid bukan lagi punca utama kuasa daulah.

Kini harta kekayaan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Kalau dalam sistem feudal yang dibenarkan mengumpul harta kekayaan hanya raja dan kaum kerabat istana. Kini dalam sistem baru – sistem ekonomi kapitalis individu – orang persendirian dibolehkan mengumpul harta. Mereka dipanggil pemaju, pemodal, tuan tanah, atau tauke. Sesiapa ada modal boleh menjadi kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis ini berpaksikan keuntungan maksimum. Rukun iman kaum kapitalis ialah untung. Apa sahaja yang menguntungkan akan diniagakan oleh kaum kapitalis. Apa boleh beli akan dibeli – apa boleh jual akan dijual – asalkan semua membawa keuntungan.

Kaum kapitalis dan kaum pemodal ini akhirnya akan memiliki punca-punca pengeluaran. Punca pengeluaran bermakna – tanah, kilang dan bank – akan dimiliki oleh kaum pemodal. Orang ramai rakyat biasa akan menjadi pengguna. Orang ramai akan didorong dan dikandang untuk membeli hasil barangan – produk - yang telah dikeluarkan oleh kilang milik kaum kapitalis.

Pengeluaran bahan produk yang dihasilkan oleh kaum kapitalis hanyalah dengan satu tujuan - membawa keuntungan. Jual beli kaum kapitalis hanya berlaku jika ada untung. Untung. Untung dan cari untung. Untung adalah wirid kaum kapitalis. Untung ialah kiblat dan Rukun iman kaum kapitalis. Amin.

Kaum kapitalis akan sedaya upaya tidak mahu diganggu gugat dalam menjalankan perniagaan mencari untung. Dalam masa yang sama saki baki raja dan istana juga boleh bekerjasama dalam usaha mencari untung. Kerabat sultan atau puteri atau putera raja “di-ahlanwasahlan” untuk berniaga atau membuat projek. Begitu juga masjid tidak dilupuskan dari budaya meniaga dan mencari untung. Dari sejarah menjual agama adalah perniagaan kedua tertua dalam dunia.

Masjid masih wujud - kini diambil sebagai rakan baik kaum pemodal. Ini penting untuk mengelurakan nas dan hadis bagi mengharamkan sesuatu yang tidak menguntungkan kaum kapitalis. Atau menghalalkan sesuatu yang membawa keuntungan kepada kaum pemodal. Kepada yang keras kepala dijanjikan api neraka. Jika masih keras kepala ditakrif sebagai penganut ajaran sesat. Seperti di Arab Saudi dituduh murtad untuk dipancung kepala sesudah sembahyang Jumaat di hadapan masjid.

Peranan minimum daulah

Dalam sistem ekonomi kapitalis peranan daulah adalah minimum. Daulah hanya diperlukan untuk mengadili jika berlaku perbalahan – sebagai contoh - antara pemaju perumahan dengan setinggan. Lagi jauh daulah berperanan dari urusan perniagaan lagi molek dan lagi maju jaya kaum kapitalis.

Apa sangkut paut sistem kapitalis ini dengan serangan virus korona keatas Amerika Syarikat?

Jawabnya: Sistem ekonomi kapitalis Amerika telah gagal menangani serangan korona. Amerika walaupun dengan kecanggihan hospital, klinik dan makmal perubatan – telah gagal. Amerika tercorot dalam usaha melawan Covid-19.

Sistem ekonomi kapitalis tidak memiliki keupayaan hakiki untuk melawan pandemik yang berlaku.

Di Amerika yang disembah ialah keuntungan. Maka semua sistem perubatan di Amerika didirikan untuk mencari untung. Jika tidak ada untung maka klinik dan hospital tidak akan didirikan. Kesihatan menjadi bahan perniagaan. Orang sakit diperniagakan. Lagi ramai sakit lagi molek untuk bisnes.

Perubatan menjadi industri. Perubatan bukan lagi untuk memastikan kesihatan orang ramai dijaga baik. Kesihatan warga negara dijadikan komoditi untuk diniagakan seperti jual beli sawit dan getah.

Kesihatan maknanya keuntungan. Orang ramai hanya pengguna. Siapa ada duit akan dapat rawatan. Siapa tak ada duit mati di tangga pintu hospital. Warga Amerika yang tidak memiliki insuran perubatan tidak akan dapat rawatan perubatan. Sebelum mendaftar ke hospital perlu dibuktikan memiliki dana dalam akaun bank, memiliki sijil insuran atau cagaran harta. Inilah namanya sistem ekonomi kapitalis.

Justeru yang banyak mati di Amerika adalah mereka yang miskin. Mereka yang tidak ada modal untuk mendapat rawatan hospital. Mereka yang tidak ada duit kerana hilang pekerjaan. Data menunjukkan majoriti yang mati kerana Covid-19 di Amerika adalah orang hitam, Latin, kaum pendatang yang halal dan yang haram. Ini termasuk warga miskin kota yang tidur di tepi jalan atau di lorong-lorong.

Tangan ghaib

Daulah di Amerika tidak memiliki peranan. Kaum kapitalis di Amerika berjaya menafikan daulah dari mendirikan hospital atau klinik. Menjaga kebajikan rakyat dan kesihatan rakyat bukan tugas kerja daulah. Kapitalisme mengikut teori wujud - tangan ghaib – yang akan menguruskan semua. Daulah hanya jadi saksi.

Dalam sistem ekonomi kapitalis semua orang diwajibkan melepaskan pucuk masing-masing. Aku untuk aku. Kau untuk kau. Semangat kekitaan dan kemasyarakatan bukan akidah ajaran sistem ekonomi kapitalis. Komuniti dan konsep gotong-royong, kerjasama atau berseraya tidak dibenarkan wujud dalam sistem ekonomi kapitalis. Tolong-menolong dan bantu membantu akan membantutkan dan menghalang keuntungan maksimum. Tenaga kerja adalah komoditi untuk dijual beli bukan untuk dihadiah atau disedekahkan.

Apa terjadi dari 18 March 2020 hingga ke 19 Mei 2020?

Ini sesudah WHO mengumumkan pandemik Covid-19. Ini sesudah Wuhan menjadi buah mulut warga dunia. Apa terjadi di Amerika pada tarikh ini?

Dalam masa dua bulan ini berjuta warga Amerika hilang pekerjaan. Berjuta beratur untuk mendapat stem makanan. Hari ini seramai 42 juta warga Amerika telah hilang pekerjaan. Mereka tergelincir jatuh hilang kerja terus menjadi statistik warga miskin dalam negara terkaya dalam dunia.

Apa lagi yang berlaku antara 18 March hingga ke 19 Mei 2020?

Jangan terperanjat. Saya rakamkan data ekonomi Amerika dalam masa dua bulan awal serangan Covid -19. Dalam masa dua bulan ini ditafsirkan harta kekayaan 600 orang billionaire Amerika melonjak naik dari 2.948 trilion dolar ke 3.82 trilion dolar.

Dalam masa yang sama jumlah billionaire di Amerika bertambah dari 630 orang menjadi 614 orang. Mengikut laporan majalah Forbes pada 24 April 2020 diumumkan billionaire terbaru bernama Kanye West. Sosok ini menjadi billionaire termiskin berbanding dengan yang lain.

Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong mengamalkan sistem kapitalis sama seperti di Amerika. Kenapa kematian berkurangan di sana. Di Malaysia juga mengamal sistem kapitalis. Malaysia bukan Cuba yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Kenapa kita di Malaysia berjaya melawan Covid-29. Jawabnya tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS