WAWANCARA | Sentimen xenofobia (kebencian atau ketakutan melampau terhadap orang asing) yang disemarakkan oleh sesetengah pihak di Malaysia tidak boleh dipandang ringan, kata Mohamad Sabu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu mengingatkan sentimen tersebut boleh menjadi bom jangka yang bukan saja menjejaskan ekonomi malah negara secara keseluruhan.

Ketika ini, katanya, kegiatan ekonomi negara semakin banyak bergantung kepada tenaga kerja asing dan rasa kurang senang dan bimbang itu bukan saja dirasai oleh orang Melayu, bahkan kaum-kaum lain.

Pada masa sama, dia mengingatkan, langkah mengatasinya perlu dilakukan secara berhati-hati dan dalam kerangka undang-undang.

"Tengok (pekerjaan) tukang jahit… kita pergi Kompleks Pertama, (pekerja) Cina tak ada, Melayu pun tak ada, semua orang luar.

"Membaiki paip semua, membaiki kereta, (orang) Pakistan. Dan sekarang, (industri makanan) kekurangan 15,000 pekerja restoran sebab orang kita tak mahu kerja seperti itu.

"Jadi ni masalah yang kita hadapi. Benda ni kalau kita bincang, rakyat kita marah.

“Tapi tetap terpaksa kena cakap sebab kalau tidak, kita membayar (harganya nanti)," katanya dalam audio siar Explain Sikit, Kini! yang disiarkan semalam.

Program terbitan KiniTV itu dikendalikan oleh Ketua Pemberita Malaysiakini, Hariz Mohd, dan dibantu Editor Malaysiakini BM, Al-Abror Mohd Yusuf.

Mohamad merujuk kempen berterusan oleh beberapa kumpulan yang menyasarkan perniagaan yang dikendalikan warga asing atau yang sangat bergantung kepada pekerja migran.

Membandingkan situasi itu dengan pendirian tegas Presiden AS, Donald Trump, terhadap migran sehingga membawa kepada pengusiran beramai-ramai, Mohamad berkata, langkah berkenaan menyebabkan beberapa sektor industri di negara tersebut berdepan kekurangan tenaga buruh yang kritikal.

"Kita sedang menuju ke arah itu. Ini yang membimbangkan saya," tegasnya.

Tangani masalah dengan tangan

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut mengkritik sikap pengusaha pertanian tempatan yang menurutnya kurang menunjukkan kegigihan seperti saingan mereka yang datang dari luar negara.

Kata Mohamad, beberapa sektor termasuk akuakultur dan penanaman padi mula dikuasai warga asing, dengan pengusaha asing mampu meraih keuntungan sedangkan pesawah tempatan terus mengadu mengalami kerugian.

Kegiatan warga asing tersebut, katanya, turut tidak disenangi oleh pesawah atau penggiat bidang akuakultur dalam kalangan bukan Melayu.

Dia turut memetik sesi dialog antara kementeriannya dengan pesawah tempatan, yang menyaksikan ramai membangkitkan masalah serangan 'keladi agas' serta mengkritik kerajaan berhubung bekalan racun perosak.

Bagaimanapun, ahli politik senior yang lebih dikenali dengan panggila Mat Sabu itu menjelaskan perbezaa sikap dalam kalangan sesetengah pesawah sendiri.

Di tempat tertentu, katanya, mereka membangkitkan isu cabaran yang perlu dihadapi seperti tumbuhan perosak yang gagal dikawal dengan racun yang dibekalkan kerajaan.

Program Smart Sawah Berskala Besar di Perlis.

Semasa melawat kawasan penanaman padi di Sekinchan, kata Mohamad, petani di situ juga berdepan dengan masalah sama namun ia dapat diatasi.

"Mereka kata, 'kami cabutlah’ (keladi agas itu)," katanya.

Dia berkata rumpai berkenaan boleh dibuang secara manual, sama ada oleh pesawah sendiri atau dengan mengupah pekerja untuk mencabutnya ketika pokok padi berusia kira-kira dua minggu.

"Jadi bila padi tu membesar keladi agas tak boleh naik, jadi (pendapatan pertani bertambah) daripada 5 tan dapat boleh dapat 10 tan.

"Macam zaman ayah saya, kami buat bendang dulu lepas Subuh, cerah tanah tu dah pergi; balik pukul 11 atau 11.30 pagi. Jam 3 petang turun (ke bendang) semula.

"Sekarang kita tak nampak turun begitu.

“Tidaklah perlu turun begitu, (tetapi memadai) sehari tiga ke empat jam pun turun, (kesannya) jadi lain. (Sekarang) semuanya kita nak main upah," kata menteri itu. 

Tambah Mohamad lagi, ramai petani tempatan yang lebih memilih untuk mengupah pekerja asing berbanding mengerjakan sendiri sawah dan ladang mereka.

Katanya, ramai pekerja asing yang diupah pula rajin mencari peluang untuk menyewa tanah dan kemudiannya mengusahakan sendiri pertanian, sekali gus mula mengambil alih aktiviti perniagaan berasaskan tani di negara ini.