Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Kekalutan politik pasca Langkah Sheraton

“Bukankah kerajaan yang ditubuhkan dengan ‘Langkah Sheraton’ itu berteraskan parti Melayu? Jadi, mengapa kekalutan politik tanah air tidak habis-habis lagi, sungguhpun lebih tujuh bulan kuasa pemerintahan berada dalam genggaman parti Melayu sepenuhnya?”

Saya diajukan soalan seumpama ini oleh rakan-rakan Cina, baru-baru ini. Barangkali saya antara Cina yang paling penyabar ketika berdepan dengan kekusutan politik yang terpampang di depan mata, tatkala ramai yang sudah letih dan jemu, malah meluat dengan apa yang sedang berlaku.

“Bagaimana pengkhianatan terhadap mandat yang diamanahkan pengundi boleh berlaku seolah-olah tanpa halangan? Mereka bertanding atas tiket PKR, mengolah sokongan dengan manifesto yang termaktub dalam ‘Buku Harapan’, tetapi sekarang mereka membelakangkan kesemua ini. Ini namanya pecah amanah. Lebih pelik, mereka tetap meraih populariti yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu?”

Soalan-soalan sedemikian melantun-lantun dalam komuniti Cina, cuba menyelami apa sebenarnya yang difikirkan masyarakat Melayu. Saya hanya sempat menggambarkan kepada mereka bagaimana masyarakat Melayu diselubungi keresahan, lantaran retorik “Islam terancam” yang dihangatkan sepanjang tempoh 22 bulan Pakatan Harapan memerintah di peringkat persekutuan. Kemarahan yang dihasut oleh pembangkang ketika itu, akhirnya memberi laluan mudah kepada “Langkah Sheraton”, tanpa tentangan besar-besaran dalam masyarakat Melayu secara umumnya.

Eksperimen Perikatan Nasional

Nasi sudah menjadi bubur. Saya cuba mentafsirkan “penjajaran semula politik Malaysia” pada akhir Februari 2020 sebagai kegagalan masyarakat Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasca 9 Mei 2018, malah satu cubaan untuk mencari “formula politik” baru dalam kalangan pemimpin parti politik. Sungguhpun ia berakhir sebagai sebuah kerajaan bukan pilihan saya, saya tetap berharap agar “eksperimen politik” ini membuahkan hasil yang positif.

Apa tidaknya, PAS berjaya melonjakkan dirinya di peringkat persekutuan sebagai parti pemerintah, sejak keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1977. Berbeza dengan pengalaman pemerintahan di negeri pantai timur Semenanjung, PAS kini berdepan dengan masyarakat Malaysia yang lebih majmuk, dengan sensitiviti budaya, agama dan bahasa yang berbeza. Malah keterlibatan dalam kabinet mendedahkan pemimpin PAS kepada isu pentadbiran yang lebih rumit, dari segi kepakaran dalam bidang yang khusus, prosedur perundangan, syarat pelaksanaan dan sebagainya.

Lantas proses ini akan mematangkan pemimpin PAS, bahawa mustahil sesuatu masalah diselesaikan hanya dengan retorik yang menumbuk udara. Pemimpin PAS akan diasuh untuk berpijak pada bumi realiti, sedar dan insaf atas desakan mereka yang “berapi-api” seketika dahulu. Pengalaman untuk berada dalam “kerajaan persekutuan” ini diharapkan dapat melengkapkan PAS untuk bersaing dengan kecekapan dan keberkesanan pemimpinnya, dasar dan nilai politik yang didukungnya pada masa depan.

Suka atau tidak, Umno yang kembali ke Putrajaya selepas 22 bulan sejak 9 Mei 2018, bukan lagi Umno sebelum ini. Sudah tentu lebih molek seandainya Umno yang ditolak pengundi dalam PRU14, kembali ke tampuk kuasa melalui pintu PRU15. Rakyat akan diperlihatkan tekad dan keikhlasan pemimpin Umno, bahawa mereka akur ketika dihukum rakyat, dan hanya akan merampas semula kuasa dengan cara yang bermaruah.

Apapun, senario politik terkini mendesak pemimpin Umno untuk menyesuaikan diri dengan normal baru. Tiada lagi kedudukan dominan selama-lamanya dalam politik. Semua parti perlu belajar untuk bekerja dalam satu pasukan, dan saling melengkapi antara satu sama lain. Pemimpin politik terdedah kepada pemantauan media dan rakyat jelata, di samping kuasa eksekutif disemak-imbang oleh tunggak kuasa yang lain, iaitu kehakiman dan perundangan. Seandainya pemimpin Umno bangkit semula, dengan komitmen untuk menghormati hakikat politik ini, tidak mustahil mereka bakal mengolah restu pengundi pada masa depan.

Bersatu yang keluar dari PH lantaran tidak selesa dengan DAP, berbaur dengan kegusaran yang timbul pada zaman pasca Dr Mahathir Mohamad, akan merasai sendiri hubungan kerjasama dengan parti lain. Pengalaman baru ini akan membandingkan DAP dengan Umno – rakan sekutu mana yang lebih agresif dalam tuntutannya? Parti komponen mana yang lebih bersedia untuk kembali ke meja rundingan, ketika pertikaian tercetus? Rakan seperjuangan mana yang boleh dipercayai untuk menggalas dan menyempurnakan misi bersama?

Soalan-soalan sebegini penting kerana Bersatu kini memainkan peranan yang mustahak untuk menentukan lanskap politik tanah air. Hala tuju parti dan keputusan pimpinannya mempengaruhi kestabilan politik negara. Bersatu boleh terus berganding dengan Umno-PAS untuk mempertahankan kerajaan berteraskan parti Melayu/Muslim, ataupun mereka boleh berpaling tadah untuk berdamai dengan PH, dan meneruskan agenda bersama sebagaimana yang termaktub dalam Buku Harapan.

Gandingan yang gagal

Terpulang kepada pemimpin parti masing-masing untuk menentukan rakan sekutu politiknya pada masa depan. Cuma setelah lebih tujuh bulan eksperimen ini dijalankan, gandingan politik yang dinamakan “Perikatan Nasional” pada peringkat awalnya ini, tidak menghasilkan tindak balas yang positif, sebagaimana yang diperhatikan.

PAS terpalit dengan kes ustaz Dr Khairuddin Aman Razali, yang melanggar SOP untuk kuarantin diri sebaik pulang dari Turki; malah menteri PAS ini terlepas peluang untuk menunjukkan teladan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab. Sebaliknya, rakan yang sewaktu dengan Khairuddin mengerah segala tenaga yang ada untuk menegakkan benang basah, termasuk memetik kisah hud-hud dalam kitab untuk menghalalkan kesilapan yang dilakukan Khairuddin.

“Seandainya kesalahan yang terang-terang sebegini pun cuba dikaburkan dengan kisah dalam kitab, bagaimana pula dengan kesalahan yang samar-samar pada masa depan? Bukankah kenyataan pemimpin PAS menampakkan unsur assabiyah, yang bertentangan dengan Islam, malah pernah juga digempur oleh PAS sendiri, pada tahun sekitar 1980-an?” Demikianlah persoalan yang menyusul, setelah menyaksikan gelagat pemimpin PAS untuk membela ahli parlimen Kuala Nerus dalam isu ini, tatkala menteri-menteri di negara asing dilaporkan meletakkan jawatan sejurus didapati melanggar SOP sepanjang musim wabak Covid-19.

Pemimpin Umno, sebagaimana yang diamati, masih bertarung untuk menebus kedudukan dominannya. Mereka mengumumkan “gencatan politik” atas nama Covid-19, tanpa memaklumkan atas nama apa “perang politik” diisytiharkan sebermulanya? Mereka menuntut portfolio yang lebih penting dalam kabinet, tanpa memaklumkan kepada rakyat apakah perbezaan dasar yang mahu dilaksanakan seandainya menyandang jawatan menteri yang lebih kanan?

Muhyiddin Yassin pula seolah-olah mahu menguasai situasi dengan kekuatan yang terbatas. Beliau melantik pemimpin Bersatu sebagai menteri pendidikan, namun kemampuan Radzi Jidin jelas tidak kesampaian untuk dinobatkan sebagai menteri kanan. Akhirnya rakyat pula yang menderita, lantaran tindakan yang lambat, dan pengumuman yang mengelirukan daripada menteri-menteri yang diserahkan misi untuk memerangi wabak Covid-19.

Dengan majoriti yang tipis, hampir mustahil Muhyiddin Yassin mengambil tindakan ke atas menterinya, kerana ia boleh mengundang kejatuhan kerajaannya. Namun, seandainya dibiarkan anggota kerajaannya terus bermaharajarela, ia sememangnya tidak adil kepada rakyat. Bukan sahaja wujud “double-standard” dalam penguatkuasaan undang-undang antara dua darjat, malah ketidakcekapan menteri ketika memberi arahan telah mencetuskan kekeliruan, malah kesulitan sebagaimana yang diperlihatkan di institusi pengajian tinggi, baru-baru ini.

Kekecohan ketika menangani wabak Covid-19

Sementara itu, keingkaran menteri untuk mematuhi peraturan yang sedia ada, seolah-olah penafian terhadap usaha pengamal perubatan dan penguat kuasa yang berhempas-pulas di barisan depan untuk memerangi pandemik Covid-19. Apakah yang harus dijawab oleh pegawai penguat kuasa, seandainya rakyat mempersoalkan mengapa hukuman yang setimpal tidak dikenakan ke atas menteri? Ia berakhir dengan pegawai penguat kuasa dikambinghitamkan, apabila menteri tidak dikenakan hukuman, malah ia menebalkan prejudis rakyat terhadap pegawai penguatkuasa, kerana pelaksanaan yang berat sebelah, dan tidak bersikap adil ketika menjalankan tugas.

Kesemua ini bergolek, dari politikus peringkat atasan, hinggalah rakyat jelata di peringkat akar umbi. Kita yang sepatutnya mampu mencipta ingatan kolektif daripada pengalaman memerangi Covid-19, berakhir dengan tuding-menuding, saling memperkukuhkan imej stereotaip, dan menebalkan prejudis antara satu sama lain.

Saya gagal menilai, sama ada kerajaan PH lebih cekap menangani wabak Covid-19 seandainya masih berkuasa. Cuma beberapa hari yang lalu saya terbaca kenyataan bekas Timbalan Menteri Kesihatan (zaman PH), Dr Lee Boon Chye, yang mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan dikategorikan kepada beberapa tahap yang tetap, misalnya dari satu kepada empat, dengan SOP yang tetap. Seandainya zon A diumumkan PKP tahap 2, maka untuk 14 hari SOP PKP tahap 2 akan dilaksanakan di situ. Ia akan dinilai semula menjelang hari ke-14, untuk ditentukan apakah tahap PKP yang harus dilaksanakan seterusnya. Jikalau ia lebih parah, maka ia dinaikkan kepada PKP tahap 1, dan seandainya situasi semakin reda, boleh jadi ia diturunkan kepada PKP tahap 3 atau PKP tahap 4. Yang penting, jangan dikelirukan PKP dengan nama yang berbeza-beza, dan SOP yang bertukar-tukar setiap hari.

“Melihat apa yang berlaku sekarang, mustahil rakyat jelata, bahkan penguat kuasa mengikuti rentak pengumuman SOP yang berubah-ubah,” kata Dr Lee.

Termenung juga saya sejenak, apakah benar Malaysia akan jahanam seandainya PH dibiarkan terus berkuasa?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS