Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Barang siapa dalam DAP yang berpijak pada alam nyata, akan akur dengan realiti bahawa mustahil DAP boleh menawan Putrajaya secara bersendirian. Dengan saf pimpinan pusat yang didominasi bukan Melayu, DAP terpaksa mencari rakan sekutu, khususnya parti yang bertunjangkan Melayu untuk membentuk kerajaan, jikalau diberikan mandat oleh rakyat.

Pengalaman memerintah di peringkat persekutuan menjadikan DAP lebih “pragmatik” dalam percaturan strategi seterusnya. Dengan kata lain, suara seperti “sanggup mempertahankan prinsip biarpun terpaksa menjadi pembangkang” semakin kurang kedengaran. Sebaliknya, hujah seperti “dengan kuasa pemerintahan, idealisme kita dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan” semakin diarus-perdanakan dalam parti.

Persoalannya, siapa sekutu pilihan DAP? Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim?

Mahahir ketika hadir dalam Kongres DAP pada 2016

Sekali imbas, DAP memiliki sejarah kerjasama yang paling lama dengan Anwar, sejak mantan timbalan perdana menteri ini dipecat pada tahun 1998, lalu tercetusnya gelombang Reformasi. Malah, jalur politik yang ditelusuri PKR paling dekat dengan DAP, andainya dibandingkan dengan parti dominasi Melayu lain, sama ada Amanah mahupun Bersatu, jauh lagi PAS dan Umno. Dan jikalau kita masih ingat, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat memposisikan diri mereka sebagai “parti untuk semua”, bertekad untuk memecah formula BN– gabungan parti yang mewakili etnik masing-masing.

Sebaliknya, Pakatan Harapan yang dikepalai Mahathir, cenderung untuk mengulangi formula BN, dengan Bersatu mewakili kepentingan Melayu, DAP mewakili kepentingan bukan Melayu, Amanah mewakili kepentingan Muslim dan PKR kekal sebagai parti berbilang kaum. Ia jelas bercanggahan dengan cita-cita DAP untuk menjadi sebuah parti yang memperjuangkan nasib semua rakyat Malaysia. Jadi, mengapa masih ada dalam kalangan DAP yang lebih cenderung kepada Mahathir berbanding Anwar? Jawapan mudahnya, kerana Mahathirlah yang membawa DAP ke Putrajaya.

Barangkali ia lebih jelas jikalau ditelaah dalam konteks politik pasca Langkah Sheraton. Suka atau tidak, PH yang sedia ada berdepan dengan kesukaran untuk menawan Putrajaya. DAP tidak yakin bahawa Anwar mampu mengolah restu pengundi Melayu yang secukupnya untuk melayakkan PH sebagai kerajaan persekutuan. Ia menjelaskan mengapa sesetengah pemimpin DAP mendesak agar PH membuka khemah besarnya untuk merangkumi seberapa banyak pihak yang mungkin, supaya memberi tentangan padu terhadap kerajaan Muhyiddin Yassin.

Anwar Ibrahim

Cuma, cadangan untuk meraih semula Mahathir berdepan dengan tekanan yang besar, kerana rata-rata masyarakat Cina menuding jari ke arah PM ketujuh ini sebagai punca kejatuhan kerajaan PH. Malah, sepanjang pemerintahan PH, Mahathir digambarkan sebagai penghalang terbesar apabila janji DAP gagal ditunaikan.

Namun pada masa yang sama, populariti Anwar dalam kalangan masyarakat Cina pun semakin merudum, setelah berkali-kali mengecewakan penyokongnya dengan dakwaan bahawa “dirinya memiliki angka yang kukuh (untuk membentuk kerajaan)”, namun gagal dibuktikan. Di celah-celah ini, sesetengah pemimpin DAP cuba mengangkat sosok bernama Shafie Apdal, menampilkan tokoh politik Sabah ini sebagai calon alternatif untuk jawatan perdana menteri.

Perebutan kuasa antara kabilah

Secara tradisinya, setiausaha agung dianggap sebagai jawatan tertinggi dalam DAP. Jawatan ini disandang oleh Lim Kit Siang untuk 30 tahun, sehingga namanya disinonimkan dengan DAP. Kit Siang meletakkan jawatan setiausaha agung pada tahun 1999, sebagai tanggungjawab ke atas kekalahan dirinya dan DAP dalam PRU10.

Namun demikian, Kit Siang beralih untuk menyandang jawatan pengerusi DAP, dan pengaruhnya terus membayangi setiausaha agung yang mengambil alih ketika itu, iaitu mendiang Kerk Kim Hock. Kit Siang masih menonjol, dengan kenyataan medianya yang berlambak saban hari, seolah-olah jurucakap DAP. Maka ditularkan satu jenaka dalam DAP berbunyi sebegini, “Jawatan mana yang paling tinggi dalam DAP? Jawatan apa yang dipegang Lim Kit Siang, maka itulah jawatan tertinggi DAP.”

Kit Siang dalam karya-karya seni

Berbalik kepada konteks terkini, ramai yang tertanya-tanya, siapakah setiausaha agung DAP selepas Lim Guan Eng? Perlu dingatkan, bahawa DAP mengamalkan sistem pemilihan di mana 30 ahli jawatankuasa pusat akan dipilih oleh perwakilan, dan kemudian 30 AJK ini akan memilih calon untuk mengisi jawatan-jawatan dalam pimpinan pusat daripada kalangan mereka.

Secara teorinya, mana-mana puak yang menguasai 16 daripada 30 AJK terpilih, akan menentukan penyandang jawatan, tanpa mengira berapa undi yang diperoleh dalam pemilihan pusingan pertama. Jikalau dilihat senario terkini, sama ada Kit Siang mahupun Guan Eng, kedua-duanya masih berpengaruh, dan agak mustahil mereka kecundang dalam pemilihan 30 AJK.

Maka timbul ura-ura bahawa seandainya kabilah Lim masih mendominasi AJK pusat, maka kemungkinan besar Lim Guan Eng akan beralih untuk menyandang jawatan pengerusi, sementara Gobind Singh mengambil alih jawatan setiausaha agung. Ramalan ini berasaskan andaian bahawa sama ada Anthony Loke mahupun Nga Kor Ming yang mengambil alih jawatan setiausaha agung, mereka tidak mahu dibayangi pengaruh Lim Guan Eng. Realitinya, selagi Lim Guan Eng berada dalam AJK Pusat, beliau tetap menonjol, atau ditonjolkan, mengulangi jenaka di mana Kit Siang berada, di situlah jawatan tertinggi DAP.

Anthony Loke

Perlu ditambah, bahawa Kit Siang masih berwibawa dalam DAP, barangkali lebih disanjung berbanding Guan Eng dalam kalangan veteran DAP. Pergelutan yang terpampang di depan mata, sama ada melibatkan Ronnie Liu, Tony Pua, Hannah Yeoh, Liew Chin Tong, Nga Kor Ming atau sebagainya, sebenarnya adalah perebutan untuk menempah kerusi zaman pasca kerabat Lim. Apa yang tidak disenangi puak “cauvinis Cina” sekarang adalah, Kit Siang dan Guan Eng kelihatan lebih memihak kepada puak “mesra Melayu”.

Kesimpulan

Saya telah cuba menggambarkan pergolakan yang berlaku dalam DAP sebaik mungkin di atas, agar kita tidak dikaburi “label-label” yang simplistik. Apa yang bahayanya dengan label? Misalnya, Ronnie Liu yang kini dilabel sebagai “cauvinis Cina”, cuba mempertahankan diri dengan menunjukkan gambar beliau memakai baju Melayu, sebagai bukti beliau tidak rasis. Bukankah ini hujah yang cetek?

Begitu juga dengan sebaliknya. Menganjurkan jalur politik meraih kepelbagaian, pada masa yang sama meraih Mahathir yang jelas mahukan formula “parti Melayu”, “parti Cina” dan sebagainya, semata-mata kerana Mahathir mampu meraih undi Melayu, bukankah ia juga bersifat oportunis?

Seperti PKR, Umno, Bersatu, PAS dan sebagainya, DAP adalah parti politik yang mengejar kuasa. Sudah tentu ada yang beridealisme, ada juga yang oportunis, dan ada yang memiliki sifat kedua-duanya. Persoalannya, bagaimana perubahan politik boleh terjana sepanjang proses perebutan kuasa sesama kabilah dalam parti, dan antara parti?

Ramalan saya buat setakat ini, tiada perubahan mendadak selepas pemilihan DAP pada Jun 2021. Jika pun puak “cauvinis Cina” menguasai DAP, mereka tetap menyedari kepentingan untuk meraih kepelbagaian. Cuma, mungkin mereka kurang peka terhadap sensitiviti masyarakat muslim-Melayu, dan kelemahan itu akan diambil kesempatan oleh musuh politik mereka untuk mengasak agar DAP terus tersepit dalam kepompong “parti Cina”.

Antara pemimpin muda DAP daripada kalangan orang Melayu

Sebaliknya, jikalau puak “mesra Melayu” mendominasi, barangkali DAP berdepan dengan kesukaran untuk mengolah restu masyarakat Cina, sebagaimana susahnya pemimpin Amanah meyakinkan masyarakat muslim. Suka atau tidak, wacana masyarakat Cina masih berarus-perdanakan hujah populis, yang orang Cina dianggap mangsa ketidakadilan sistem negara. Spektrumnya luas, ada yang didorong sentimen perkauman, tetapi ada juga keresahan dan ketidakpuasan yang rasional. Ia memerlukan masa untuk dirungkaikan.

Bagaimana pula dengan pemilihan sekutu gandingan politik? Bab ini tidak sukar dijawab. Pemimpin DAP boleh cenderung untuk menyokong tokoh atau sekutu parti yang disenanginya, tetapi secara prinsipnya, sesiapa yang mampu membawa DAP ke Putrajaya, maka tokoh atau parti itulah yang akan disokong.

Akhir kata, barangkali ia bukan senario terburuk jikalau Lim Guan Eng masih mendominasi DAP, tetapi sudah tentu DAP tidak akan diberi nafas baru jikalau mengekalkan status quo. Setiausaha agung ini telah memimpin DAP sejak tahun 2004, dan berjaya mencipta zaman kegemilangan DAP dengan kemenangan pada 9 Mei 2018. Apakah beliau masih mampu melonjakkan DAP ke puncak yang lebih tinggi? Atau, apakah DAP mampu melonjak lebih tinggi, dengan mengekalkan Lim Guan Eng sebagai pemimpin utama parti? (tamat)


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Berkaitan:
Bahagian 1: KOLUM | Kecinaan dilunturkan dalam pemilihan DAP?

Lihat Komen
ADS