Paling Popular
Terkini

Sheikh Jarrah. Kita sudah bosan dengan retorik Islamis seperti Abdul Hadi Awang (duta khas Timur Tengah) yang berkepuk dari kerusi empuk Marang.

Maka apabila babak rampasan tanah, dan kediaman di Sheikh Jarrah (atas) melintas di garis masa media sosial kita, ia adalah satu lagi ulangan; Argh, Palestina diganasi lagi. Kita harus bertakbir dan ikut berteriak. Kemudian kita senyap sampai satu lagi masa Zionis mengerasi.

Kita mungkin tidak lagi memerlukan seruan al-Aqsa sedemikian rupa, kerana ia hanya satu lagi teriak normal dari umat terbanyak.

Yang kita memerlukan ialah cara pandang penuh kemanusiaan. Seperti mana Jacinda Adern memandang dengan penuh kasih dan kasihan terhadap orang Islam yang ditembak mati di Masjid Christchurch. Kepengganasan yang dipadam dengan sorot pandang hak asasi manusia.

Jacinda Adern 

Inilah yang sedang berlaku. Semakin ramai pemimpin liberal di peringkat dunia yang menyedari apa yang terjadi di Sheikh Jarrah. Kemudian semakin ramai yang menyuarakan rasa keji dan jengkel mereka terhadap apa yang menimpa al-Aqsa di hujung Ramadaan. Liberal seperti Jacinda Adern akan terperanjat dengan tahap keganasan terhadap umat Islam yang sedang beribadat tanpa mengganggu orang bila dilontar grenad, gas pemedih mata dan kemudian askar Israel masuk bersepatu mengheret perempuan dan orang tua keluar dengan amat kasar.

Israel akan dikalahkan oleh liberal. Baik liberal dalam negara itu, atau liberal di luar. Iaitu mereka yang memandang Palestina sebagai isu hak asasi manusia secara lebih besar. Ya, dulu mereka kurang menyedari. Mengapa baru ini liberal sedar?

Kerana ada orang seperti Abdul Hadi Awang, yang menggunakan kerangka al-Quds dan Palestina adalah milik umat Islam semata-mata.

Seharusnya yang dilihat ialah Palestina itu bukan milik satu agama. Ia adalah pusat keberanekaragaman, kemajmukan dan kewarnaan yang indah. Palestina adalah simbol semua agama langit. Palestina adalah lambang kebebasan beragama. Palestina adalah tempatnya ketamadunan, maka pencabulan peradaban adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan biadab. Inilah kerangka yang harus digunakan untuk membebaskan Palestina dari penjajahan Zionis.

Jangan lagi menggunakan kerangka al-Aqsa itu milik umat Islam semata-mata. Apa yang umat Islam telah lakukan jika benar ia milik umat Islam semata-mata?

Cukupkah semata Hari al-Quds Sedunia setiap tahun disambut dengan demonstrasi dan protes? Memadaikah pula sekadar qunut nazilah? Itu sahajakah yang dapat umat Islam lakukan dengan berdoa di Kaabah, sedang dalam masa yang sama ada negara umat Islam di Teluk sudah menjalin hubungan intim dengan Zionis. Manakala OIC pula gagal teruk.

Suara dari Amerika

Jadi, Palestina memerlukan liberal untuk memerdekakan mereka. Itulah yang sedang terjadi. Laungan Abdul Hadi misalnya basi.

Sebaliknya dunia membuka mata dengan perhatian dan teriak daripada pimpinan dunia yang liberal seperti ahli Kongres Amerika, Pramila Jayapal yang bersuara begini:

We simply cannot sit by and watch this cruel, continued, illegal, forced displacement of Palestinians in #SheikhJarrah. The @StateDept must weigh in immediately with accountability.

Juga ada suara ahli Kongres lain, Marie Newman;

Palestinian families have every right to live in #SheikhJarrah. I'm calling on the @StateDept to immediately condemn these violations of international law as Palestinians are forcibly being removed from their homes in East Jerusalem.”

Tentu suara lantang lain ialah ahli Kongres dari New York yang masih muda Alexandria Ocasio-Cortez:

We stand in solidarity with the Palestinian residents of Sheikh Jarrah in East Jerusalem. Israeli forces are forcing families from their homes during Ramadan and inflicting violence. It is inhumane and the US must show leadership in safeguarding the human rights of Palestinians.”

Juga perhatian Jagmeet Singh pemimpin parti New Democratic Canada menciap;

The threatened evictions of Palestinians in Sheikh Jarrah of East Jerusalem during the holy month of Ramadan - or any other day - is deeply troubling. Illegal occupation, demolitions, and forced evictions must end. PM Trudeau must take a stand and uphold International law.”

 Beliau mengikuti seruan seorang lagi ahli parlimen Kanada, dari St John’s East yang menulis begini:

Escalating violence in East Jerusalem as a result of the ongoing illegal occupation is deeply troubling. The demolitions, forced removal of Palestinians from their homes, and blocking access to popular gathering spots must end.”

Sengaja saya tidak menerjemahkan seruan mereka di atas, supaya terlihat keprihatinan mereka ini mengatasi agama, kepercayaan dan kebangsaan yang mana mereka sebenarnya menyerukan dengan seruan sebagai satu umat, iaitu umat manusia. Nah, bahasa semua liberal di atas ialah bahasa hak asasi manusia, bahasa tentang penolakan keganasan, seruan kemerdekaan, kritikan terhadap penjajahan dan juga suara kemanusiaan.

Masalah manusia, bukan umat Islam saja

Ia bukan satu suara. Palestina memerlukan suara umat manusia. Masalah Palestina ialah masalah manusia, bukan masalah umat Islam sahaja.

Itu sebab musababnya juga seruan DAP agar Palestina dibantu dan Israel dikecam sangat bermakna. Ini kerana Setiausaha Antarabangsa DAP Teo Nie Ching dilaporkan berkata betapa “insiden ke atas rumah ibadat adalah perbuatan keganasan dan tidak sepatutnya berlaku terutama semasa Ramadan dan Aidilfitri juga bakal tiba.”

Teo Nie Ching 

Atau suara Howard Lee, pemimpin muda DAP yang progresif - beliau menekankan dalam satu kenyataan pada tahun 2019 begini:

Today, we call on your support and solidarity in condemning the Israeli occupation authorities’ policy of mass arbitrary arrest, which aims to intimidate the civilian population. The oppression of the Palestinian people and the denial of their humanitarian right to self-determination must stop immediately. And it is on the International Community to hold it accountable for all the oppression and injustice resulting from the ongoing Israeli occupation I the President of IUSY, Howard Lee is in solidarity with you, #hungry4freedom.”

Harapnya akan ada lebih ramai bangsa Cina di Malaysia (kerana DAP sering dianggap parti bangsa Cina) akan mengerti yang seruan PAS bahawa Palestina harus dibebaskan kerana ia milik umat Islam semata-mata tidak tepat. Malah kesasar.

Palestina menurut saya akan dibantu oleh darah liberal seperti ini. Kita mesti ingat, di kala pemuda Melayu-Islam berkaraoke, minum-minum dan berseronok di Dorsett; darah liberal seperti Rachel Aliene Corrie (meninggal dunia pada 16 Mac 2003) yang tumpah setelah digelek buldozer Israel Defense Forces (IDF) di Semenajung Gaza ketika intifada kedua. Corrie adalah anggota International Solidarity Movement (ISM). Kita mesti ingat Corrie si liberal yang syahid di Palestina dan bukan IR Khairil Nizam yang retis menyanyikan lagu Aku PN.

Itu sebabnya Palestina tidak lagi memerlukan suara Islamis sahaja. Ini kerana liberal memahami isu Palestina bukan isu agama dan keagamaan. Mereka, liberal faham yang Israel adalah penindas dan Palestina adalah yang tertindas. Mereka faham ia bukan isu perbalahan soal pemilikan tanah. Liberal faham sebelum tertubuhnya negara Israel lebih 70 tahun lalu umat Kristian, Yahudi dan Islam telah pun sedia wujud di Palestina. Umat Kristian Palestina, antara yang tertua di dunia sudah menggunakan kalimah Allah lebih awal dari orang Melayu mengenali Allah. Umat Kristian ini menetap di Nablus antara lain dan ikut ditindas oleh Israel. Menjadikan al-Quds dan Palestina satu babak umat Islam sahaja adalah salah dan silap besar. Ia satu kecuaian untuk semua agama langit.

Hanya sang liberal yang faham isu di Palestina ialah isu penjajahan Israel, penghapusan etnik, pendudukan tentera yang ganas, dan satu apartheid. Apabila liberal menyebut Israel ia merujuk sehimpunan peneroka yang menawan dan menjajah Palestina seperti mana mereka lakukan di Sheikh Jarrah.

Maka liberal yang akan memerdekakan Palestina. Penyelamat akhir zaman yang liberal iaitu yang memahami hak-hak asasi manusialah yang akan datang membebaskan Palestina. Wira liberal itu kelak didukung oleh semua bangsa, semua agama dan diraikan oleh semua orang kerana penyelamat akhir zaman itu tidak datang sebagai wira Islam semata-mata. Baginda nanti datang sebagai hero kemanusiaan, kemunculannya adalah untuk seluruh manusia.

Liberal akan membebaskan Palestina.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS