Beberapa hari lalu penulis diimbau oleh kenangan semasa kecil di daerah kelahiran, Raub, Pahang. Sering kali orang tua-tua bercerita tentang Sang Kelembai. Mereka mengaitkan nama beberapa kampung di daerah Raub dengan "sumpahan" makhluk itu.

Antaranya kampung Batu Buaya yang hanya tiga kilometer dari pekan Benta, pusat transit bagi penduduk yang hendak ke Jerantut, Kuala Lipis dan Raub. Kononnya di tepi Sungai Lipis yang mengalir di pinggir kampung itu ada batu berbentuk buaya.

Sebuah lagi ialah Kampung Batu Talam, kira-kira 16 kilometer dari bandar Raub, dalam laluan ke Felda Sungai Koyan. Nama Dewan Undangan Negeri Batu Talam pernah menjadi sebutan ramai selepas pembunuhan wakil rakyatnya, Datuk Mazlan Idris oleh bomoh Mona Fandey satu ketika dulu.

Menurut orang kampung berkenaan ada batu berbentuk talam dan pinggan mangkuk di kampung tersebut. Dari situlah nama Kampung Batu Talam tercipta. Selain itu, di dalam sebuah gua di Kampung Ulu Gali, berdekatan pekan Sungai Ruan, juga dikatakan terdapat batu-batu berbentuk kerusi meja dan pelamin.

Menurut ceritanya, semua batu bentuk binatang, perabot dan peralatan dapur itu terbentuk angkara sumpahan atau teguran Sang Kelembai. Kononnya, makhluk bermuka hodoh ini tidak boleh membuka mulutnya kerana apa sahaja yang ditegurnya akan bertukar menjadi batu.

Kerana itu, makhluk ini amat ditakuti dan dibenci. Bagaimanapun, kesalahan atau kesilapan Sang Kelembai tidak dihukum oleh sesiapa. Begitulah "power" lidah Sang Kelembai menurut dogeng orang tua-tua di kampung.

Tapi itu kisah Sang Kelembai zaman batu. Sang Kelembai zaman moden, zaman Islam Hadhari ini lain pula rupa dan kisahnya. Makhluk ganjil di era alaf baru ini bukan sahaja menegur dengan mulutnya, tetapi mengeksploitasi kecanggihan komputer dan internet.

'Ahli terkejut'

Sang Kelembai moden atau Mohd Zarin Yassin, ahli Umno yang dipecat minggu lalu telah dihukum kerana mempunyai hobi yang sama dengan Sang Kelembai zaman batu iaitu menegur.

Akibat menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) di dalam blognya yang bernama "Sang Kelembai", Zarin dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti dan dipecat oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Kalangan pemerhati Umno berpendapat Zarin dipecat kerana keberaniannya mendedahkan keburukan dan kelemahan Pak Lah. Sang Kelembai ini dikatakan menyokong kuat Dr Mahathir. Walaupun teguran Zarin itu tidak menyebabkan Pak Lah menjadi batu, tetapi ia tetap dibimbangi akan meracuni pemikiran para pembacanya.

Tindakan MT Umno itu amat memeranjatkan. Ahli-ahli terkejut bukan kerana sayang atau simpati pada Zarin tetapi tersentak dan tertanya-tanya mengapa tindakan yang begitu keras hanya dikenakan ke atas bekas Setiausaha Umno bahagian Cheras itu.

Menurut mereka, Zarin hanya "pencacai Umno" yang tidak punya apa-apa pengaruh dan kuasa. Malah blognya juga tidak pernah dipedulikan orang. Sebelum ini terlalu sedikit ahli Umno dan rakyat Malaysia yang tahu tentang "blog Sang Kelembai" itu.

Ramai pemerhati menganggap tindakan MT atau Pak Lah itu keterlaluan dan akan menikam diri sendiri kelak. Akibatnya, kini pelayar-pelayar internet mencari blog Sang Kelembai. Mereka mahu tahu apa yang ditulis oleh Zarin hingga dihukum demikian keras.

Zarin hanya seorang pemimpin kerdil tetapi menurut orang-orang Umno, beliau merupakan antara "pencacai Umno" yang paling popular. Namanya dikatakan mengatasi populariti beberapa orang Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen atau ahli MT Umno.

'Misi sulit'

Sang Kelembai ini dikenali di peringkar akar umbi kerana sering mengekori bekas-bekas pemimpin dan pemimpin Umno yang berada dalam kabinet, MT dan Dewan Rakyat ke seluruh negara. Dia juga dikatakan pernah terbabit dalam pelbagai "misi sulit" membabitkan politik dalaman dan luaran Umno.

Nampaknya, Sang Kelembai ini berpengalaman luas dan mempunyai rangkaian hubungan yang agak besar juga. Namun begitu, hilangnya Zarin dari Umno tidak akan diratapi kerana masih terdapat ratusan "pencacai Umno" yang berkeliaran dan bersedia melakukan pelbagai misi besar untuk "bos atau tuan" masing-masing, asalkan mendapat habuan lumayan.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, hukuman berat dikenakan ke atas Zarin kerana "mahu menghantar mesej" kepada ahli-ahli lain supaya mendisiplinkan diri, jangan menongkah arus.

Bagaimanapun ramai pemerhati mempersoalkan mengapa Zarin seorang dihukum? Tidakkah ramai lagi turut menyanggah kepimpinan Pak Lah sekarang? Bagaimana dengan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Bekas Perdana Menteri itu lebih celupar dari Zarin. Beliau mengecam Pak Lah dan mendesaknya meletakkan jawatan di forum terbuka sedangkan Zarin hanya menulis di laman blognya sahaja. Audien Zarin amat kecil sedangkan khalayak yang mendengar ucapan Dr Mahathir begitu besar, hingga mendapat liputan media antarabangsa.

Bila Dr Mahathir hendak dihukum? Adakah beliau akan dibiarkan bebas begitu sahaja semata-mata kerana beliau orang besar dan Zarin orang kerdil? Atau Pak Lah sebenarnya takut pada pengaruh bekas bosnya itu, bimbang pada kesan atau reaksi ahli-ahli Umno dan rakyat andainya Wira Dunia Ketiga itu digantung atau dipecat dari Umno.

Rasanya "dosa" Dr Mahathir pada Pak Lah jauh lebih besar berbanding kesalahan Zarin tetapi Sang Kelembai yang tidak punya harga dan pengaruh ini dijadikan korban untuk memberi amaran kepada ahli-ahli Umno lain.

Kekebalan Dr Mahathir?

Rakyat mungkin faham mengapa MT dan Pak Lah tidak boleh bertindak terhadap Datuk Zaid Ibrahim yang mengkritik kepimpinan Pak Lah secara terbuka di Parlimen kerana beliau dilindungi oleh imuniti di Dewan Rakyat, tetapi apa "kekebalan" yang dimiliki oleh Dr Mahathir?

Untuk menjawab soalan ini, kita terpaksa berbalik kepada isu pengaruh. Sebenarnya pengaruh bekas Presiden Umno itu di dalam parti, kerajaan dan negara masih besar. Orang-orangnya masih berada di sana sini. Kedudukan Pak Lah dalam parti dan kerajaan masih dibayangi oleh Dr Mahathir.

Kerana itulah pemilihan pucuk pimpinan Umno yang sepatutnya diadakan pada tahun depan terpaksa ditunda selama 18 bulan lagi. Pak Lah lebih rela menghadapi pilihanraya umum daripada berdepan dengan pemilihan pucuk pimpinan Umno.

Ramai pemerhati berpendapat pilihanraya umum akan dijadikan oleh Pak Lah dan orang-orangnya sebagai "mesin pencuci" untuk membersihkan parti dan kerajaan dari pengaruh Dr Mahathir. Menurut mereka, ramai wakil rakyat dan pemimpin Umno yang dikenalpasti sebagai penyokong atau bersimpati dengan Dr Mahathir akan diketepikan dalam pilihanraya umum ke-12 itu nanti.

Hanya selepas pengaruh Dr Mahathir dikikis, barulah Pak Lah akan berasa selesa untuk berhadapan dengan proses pemilihan pucuk pimpinan Umno pula. Ramai ahli Umno dan pemerhati politik merumuskan tindakan Pak Lah menghukum Sang Kelembai dan menangguhkan pemilihan Umno, sebenarnya makin menyerlahkan kelemahan kepimpinannya.

Kini Pak Lah dilihat semakin tidak demokratik, semakin mementingkan diri sendiri, anak menantu, para kroni serta kedudukan dan kuasa. Sekarang beliau dianggap tidak bersikap terbuka, tidak telus dan bukan lagi Mr Clean.

Politik matlamat menghalalkan cara yang diamalkan oleh Dr Mahathir dulu kini mula diwarisi oleh Pak Lah. Agaknya beliau takut termakan sumpah Sang Kelembai?