Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Kisah Melah dan Imam Piee

Abdullahjones

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Jun 2021, 2:24 pagi

Salam Bahagia. Semoga semua pembaca budiman telah divaksin. Jika belum tetapi telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, semoga semua kamu tidak percaya dengan cerita karut kononnya sesiapa yang mendapatkan suntikan itu akan meninggal dunia dua tahun kemudian.

Sebagai makluman - jika kamu tidak tahu - bukan sahaja mereka yang divaksin akan mati. Kita semua macam mana pun akhirnya akan meninggalkan dunia ini. Malah dunia ini sendiri akan musnah.

Sementara semua itu belum terjadi, adalah elok jika seluruh penduduk bumi datar ini divaksin bagi tujuan kelangsungan hidup yang sementara ini.

Patuhi semua cadangan kerajaan bagi membendung wabak berbahaya ini. Jangan terlalu sibuk mahu pulang ke kampung walaupun kamu berasal dari Kelantan.

Dalam artikel sebelum ini, kami memulakannya dengan semacam penerangan kepada pembaca bagi tujuan memahamkan apa yang akan mereka baca. Lalu kami dapati sebahagian besar daripada mereka mulai faham apa yang ingin kami sampaikan.

Bagaimanapun kami tidak pasti sama ada editor portal ini bersetuju dengan kami.

Namun demikian masih ramai yang menganggap apa saja yang kami tulis adalah berbentuk provokasi. Bagi mereka, kami adalah keldai tunggangan DAP.

Tak pernah panggil walaun

Untuk makluman sekali lagi, semasa portal ini TIDAK mengadakan mesyuarat dengan semua penulis bagi menerangan agenda politiknya, kami tidak hadir. Jadi tidaklah kami ketahui kalau ada agenda portal ini mengagungkan DAP dan menghentam Melayu.

Melayu ini suatu bangsa yang amat benci kepada Yahudi namun pada masa sama dengan bangga ada yang mengaku mereka berasal dari bani Israel yang dikatakan hilang itu.

Mereka percaya apabila keluarnya Imam Mahadi nanti, bangsa merekalah yang pertama-tama disapa dan diajak berarak di bawah panji-panji hitam. Mereka memang gemar berangan-angan.

Bangsa Melayu ini apabila bercakap seolah-olah mereka tidak ada tulang punggung. Kentut saja yang lebih, beraknya tidak juga. Kerana itu kali ini kami juga akan menerangankan mengenai apa yang ingin kami tulis.

Pertamanya kami akan bercerita sedikit kisah silam mengenai siri pengorbanan yang dilakukan orang terdahulu demi masa depan keturunan akan datang. Setelah itu kami akan mengutuk PAS.

Mungkin kamu tidak percaya apabila kami katakan bahawa walapun dituduh sebagai DAPig, tidak pernah sekali pun di mana-mana kami mengelar pendukung PAS sebagai walaun. Begitulah sucinya hati kami dalam menghormati mereka.

Malah setiap kali berpeluang ke Terengganu, kami akan ke Masjid Rusila bagi melihat sama ada ianya telah disiapkan atau pun tidak.

Diharap semua pembaca faham apa yang ingin kami sampaikan.

Haji Ismail pada zaman gagahnya banyak membuka tanah untuk dijadikan sawah ladang. Hasil daripada itu beliau menjadi orang kaya dan menghantar kesemua tujuh orang anaknya bersekolah ketika zaman itu sekolah adalah semacam penanda aras kekayaan terutama untuk anak-anak perempuan.

Haji ismail hanya mempunyai seorang anak lelaki daripada tujuh anaknya itu.

Melah ialah anak sulung Haji Ismail. Mungkin kerana melihat ketokohan yang ada pada Melah, Haji Ismail memberikan satu pot (satu tin susu) barangan kemas kepada Melah.

Tak pernah menang kerusi

Ini tentu saja menjadi punca kecemburuaan adik-adik beliau namun kerana taat akan ibu bapa, anak-anak Haji Ismail bersetuju. Sementelah pula semua daripada mereka mendapat habuan beratus relong sawah setelah orang tua itu meninggal dunia.

Berkat kegigihan berkerja, anak cucu Haji ismail masih menikmati hasil daripada sawah ladangnya itu sehingga hari ini, yakni setelah lebih 40 tahun beliau meninggal dunia.

Melah kemudiannya berkahwin dengan Imam Piee. Imam Piee dan Melah menyerahkan seluruh jiwa raga mereka untuk menyampaikan syiar agama. Lalu seperti siapa pun yang mahukan kegemilangan agama pada masa itu, jalan politik merupakan pilihan yang tidak dapat dielakkan.

Imam Piee ialah seorang lelaki yang agak pendiam, lalu beliau beruntung kerana memperisterikan Melah. Seperti yang kami katakan, Melah memang telah dilihat ketokohannya sejak kecil. Lantaran itu semasa Imam Piee mahu menjadi calon mewakili partai PAS, Melah adalah orang yang bertanggungjawab memberikan pidato berapi-api bagi pihak Imam Piee.

Bukan itu saja, Melah malah menghabis semua satu pot barangan kemas warisan Haji Ismail itu sebagai perbelanjaan suaminya demi kebajikan agama.

Setelah dua kali pilihan raya, Imam Piee tidak berjaya memenangi sebarang kerusi. Namun beliau dan isteri puas kerana berusaha sehabisnya melakukan sesuatu untuk agama.

Antara mantera berapi yang sering diratibkan oleh peminat PAS ialah bagaimana Mahathir Mohamad itu dipanjangkan usianya hanya untuk melihat sendiri kebinasaan atas apa juga kejahatan yang beliau lakukan semasa menjadi perdana menteri pusingan pertama dulu.

Kepada orang PAS, balasan kejahatan adalah milik sesiapa saja yang tidak menyokong mereka. Orang PAS juga gemar membawa cerita yang belum tentu ada asasnya seperti betapa Mustafa Kemal Ataturk itu tidak diterima bumi akibat kejahatannya.

Sama-sama jalan seiringan

Walhal bukan menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menghakimi beliau. Yang boleh disebut kejahatanya ialah mereka yang disebut di dalam al-Quran. Firaun, misalnya.

Tetapi jika mana-mana ahli PAS ditakdirkan ditimpa kecelakaan - dipanah petir hingga terpelanting keluar masjid misalnya - maka ianya adalah suatu bentuk pengiktirafan tentang betapa keramat dan benarnya mereka.

Hari ini mereka yang masih melihat PAS sebagai sebuah partai politik yang memperjuangkan agama ditutup matanya atas apa yang mereka katakan dulu.

Mahathir mungkin sedang melihat hasil daripada apa yang beliau kerjakan namun hal yang sama juga berlaku kepada pentaasub partai PAS. Lihat saja bagaimana setelah diberikan sedikit tempias kuasa mereka kini masuk ke 'lubang biawak' yang mereka sendiri korek sejak lama dahulu.

Kekuasaan memang memabukkan namun yang paling mabuk antara mereka ialah pemimpin yang kini seolah-olah kehilangan punca.

Mungkin benar kata sebahagian daripada pencinta PAS bahawa ada portal atau akhbar yang giat menceritakan keburukan mereka. Namun jika sebenarnya pencinta PAS berada di jalan yang benar, tidak mungkin ada berita mengenai bagaimana sedikit demi sedikit pemimpin mereka sedang berjalan seiringan dengan kumpulan manusia yang mereka label sebagai pengamal kronisme, rasuah dan juga gila selebriti itu.

Tidak ada lagi ucapan yang beragama daripada pemimpin PAS hari ini selain menafikan apa juga berita mengenai kebobrokan mereka sebelum kembali dengan alasan yang hanya mereka dan kumpulan mereka saja fikir munasabah.

Sewaktu PAS masih lagi berada dalam kumpulan frinjan, penyokong mereka menyerahkah seluruh jiwa raga kepada partai. Seperti Melah yang menghabiskan semua harta peninggalan keluarganya demi untuk melihat pemimpin mereka membela negara.

Malah khabarnya ada penyokong yang mati kerana jatuh pohon ketika mengantung bendera partai. Ia kemudian diisytiharkan sebagai si syahid yang akan dilayan oleh sejuta bidadari.

Lalu segala wang ringgit serta tenaga yang dihabiskan oleh penyokong mereka hanya tinggal kumuhan setelah semuanya dihabiskan sebagai perbelanjaan memajukan partai.

Tidak ada antara mereka yang mahu membina sesuatu yang lebih kukuh sebagai sokongan kepada generasi akan datang. Segalanya dihabiskan dan kemudian mereka tanpa rasa malu meminta-minta sumbangan lagi sehingga ke hari ini.

Koperasi yang mereka bina - yang sepatutnya hari ini bernilai berbillion ringgit - entah ke mana hanyutnya bersama perbagai persoalan.

Hari ini juga mereka kelihatan mahu kepada apa yang ada pada ahli politik yang pernah mereka musuhi dulu, kerana mereka yakin dengan kekayaan maka akan majulah agama yang mereka perjuangkan.

Jika suka boleh saja kamu katakan bahawa bukan saja Mahathir yang sedang menikmati hasil tuaian daripada apa yang ditanamnya dulu. PAS pun bolehlah dianggap sama.

Seluruh pimpanan PAS seharusnya melihat jauh ke dalam diri dan bangun sambil membetulkan segara kebusukan yang semakin dihidu orang ramai sekarang ini.

Hentikan berpolitik yang bermatlamatkan keseronokan dan pemilikan harta benda yang bertimbun. Penyokong mereka juga seharusnya membuka mata dan bersuara mengenai apa juga kepincangan yang sedang melanda partai berkenaan.

Jangan asyik melihat mereka yang mengkritik sebagai musuh yang kamu rasa pasti akan dihumban ke dalam neraka. PAS harus faham bahawa musuh mereka kini bukan DAP tetapi pemimpin mereka sendiri.

Mak Cik Melah dan Imam Piee telah dilindungi daripada melihat seribu satu macam kekalutan yang dilakukan oleh pimpinan PAS hari ini. Mereka meninggal dunia sebelum semua ini berlaku.

Al-Fatihah untuk mereka berdua dan juga kepada semua penyokong PAS yang telah meninggal dunia sebelum daripada apa yang dilakukan oleh pemimpin mereka atas nama agama hari ini.

Sepatah kata sahabat kami yang masih menyokong partai berkenaan: "Dulu PAS alhamdulillah, sekarang PAS astaghfirullah."


ABDULLAHJONES ialah seorang penulis, pelukis dan pemerhati partai politik luar negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.