Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Kegagalan Melayu berpolitik (Siri akhir)

Mengkaji sejarah politik dan antropologi Melayu kampung sangat menarik terutama dalam memahami orang Melayu kampung berpolitik. Sebagai Melayu, saya berusaha mencari rahsia yang terpendam dalam tangis duka orang Melayu semasa bertengkar merebut takhta dan kuasa.

Ini adalah bahagian terakhir daripada tiga siri tentang peristiwa yang disebut sebagai ‘kebangkitan’ rakyat di Terengganu.

Pengertian istilah kebangkitan itu terlalu luas untuk dibahaskan. Apakah sejarah penentangan Abdul Rahman Limbong serta rakan-rakannya benar-benar kebangkitan atau suatu kekhilafan dalam strategi berpolitik? Di manakah penghujung kebangkitan itu?

Persoalan-persoalan ini tidak mungkin dapat dijawab secara tuntas.  Justeru biarkan ia menjadi perbahasan semasa. Jangan dibawa ke kandang mahkamah sebagaimana kes Mat Indera beberapa tahun lalu. Mahkamah hanya ada hitam putih keputusan.

Kita sebagai rakyat mempunyai kebebasan untuk memikirkan perkara berkaitan sejarah. Ia tidak sekadar di pentas ceramah, atau di kandang mahkamah, atau di dewan kuliah universiti sebaliknya juga dalam lubuk nurani yang suci murni.

MB keluarkan surat

Kembali kepada peristiwa 100 tahun hijrah lalu di Terengganu. Selepas 11 orang mati ditembak di Padang Kachung, Terengganu, kerajaan negeri mengambil langkah berjaga-jaga di seluruh daerah. Kekuatan anggota polis dan logistik ditambah.

Kerajaan mengeluarkan pengistiharan untuk melarang rakyat berjalan di bandar Kuala Terengganu di antara 9 malam hingga 5 pagi kecuali membawa api (suluh) daripada damar. Ia kira-kira semacam lockdown jugalah.

Mungkin turut ada sekatan jalan raya di merata-rata tempat ketika itu. Jika ada keingkaran, orang itu akan ditangkap, dan jika melawan dia akan ditembak oleh mata-mata yang berkawal.

Pasukan polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu dihantar ke Terengganu dan Sultan Terengganu memberi surat kuasa kepada pesuruhjaya polis menjalankan tindakan dengan apa cara yang difikirkan patut bagi mengatasi masalah tersebut.

Dato’ Seri Amar Diraja Menteri Besar mengeluarkan surat pengistiharan untuk menangkap beberapa individu yang dikenal pasti sebagai ketua kumpulan yang menentang dasar baru kerajaan.

Wang ganjaran antara RM100 hingga RM200 ringgit diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Che Ismail Kuala Por, Haji Tahir Kampung Gunung dan lain-lain lagi. Termasuk dalam senarai dikehendaki itu ialah Abdul Rahman Limbong.

Operasi besar-besaran dijalankan oleh kerajaan negeri dan semua yang ditangkap menjalani proses perundangan hingga sebahagiannya dijatuhi hukuman. Abdul Rahman Limbong dihukum buang negeri ke Mekah dan beliau meninggal dunia di sana setahun kemudian.

Berjaya padam kebangkitan rakyat

Sementara yang lain dihukum penjara dan melakukan kerja berat di antara lima hingga 15 tahun penjara. Bagaimanapun ada antara mereka diberikan pengampunan dan dibebaskan awal.

Kerajaan Terengganu juga memberikan hadiah kepada pihak keselamatan yang berjaya meredakan kebangkitan rakyat. Ada yang dinaikkan pangkat, ada yang diberikan bonus, menerika kenaikan gaji dan sebagainya.

Sesetengannya dianugerahkan bonus sebanyak tiga bulan gaji. Semua perbelanjaan insentif kepada pasukan keselamatan itu berjumlah RM1,213. Ia adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM9,200 yang disediakan untuk mengatasi kebangkitan tersebut.

Pendekatan yang diambil kerajaan Terengganu memang berjaya memadamkan kebangkitan rakyat Terengganu.

Kebangkitan di Terengganu agak berbeza berbanding kebangkitan di tempat lain seperti di Pasir Salak, Pasir Putih, Naning dan sebagainya. Hal itu kerana kebangkitan mereka dicetuskan - dan dipimpin - oleh ulama dan peranan Islam jelas kelihatan.

Dalam laporan yang dibuat oleh Residen British di Perak, HW Thomson, penghayatan Islam di Terengganu adalah tinggi. Ulama yang memimpin kebangkitan rakyat itu berpendapat bahawa peraturan baru itu adalah undang-undang kafir.

Justeru dia menekankan fahaman bahawa sesiapa yang mematuhi peraturan itu, mereka tergolong sebagai kafir. Oleh itu, menentang mereka adalah jihad. Daripada pandangan tersebutlah berkembangnya perjuangan mencari syahid.

Perlu diingatkan, peraturan baru yang ditentang rakyat itu diisytiharkan oleh sultan dengan persetujuan majlis mesyuarat negeri. Namun sebelum itu ia sebenarnya dicadangan sama ada penasihat British atau pesuruhjaya tanah negeri.

Meski demikian, baginda dan pembesar negeri terus dihormati rakyat jelata. Para pegawai British dan anggota keselamatan serta kakitangan kerajaan sebaliknya menjadi sasaran kemarahan rakyat.

Semasa pertemuan dengan sultan, Haji Abdul Rahman Limbong menjelaskan bahawa beliau tidak tahu menahu apa yang berlaku dan berasa simpati dengan masalah yang ditanggung oleh sultan.

Perkara pokok diabaikan

Bahkan beliau menasihatkan rakyat dan penyokongnya agar memberikan taat setia dan tidak menyusahkan kerajaan Terengganu.  

Begitu juga beberapa pimpinan utama orang hulu Terengganu yang menafikan mereka terlibat dalam gerakan tersebut. Hanya beberapa pimpinan pertengahan yang memang didapati menjalankan kempen dan mengerahkan penduduk kampung berhimpun.

Lalu, dimanakah makna kebangkitan itu?

Persoalan-persoalan ini dibangkitkan mungkin kerana data sejarah yang ada tidak membantu kita memikirkan lebih luas tentang peristiwa tersebut. Hanya bacaan dan sejarah lisan yang turun-temurun menjadi rujukan selama ini.

Menurut Laporan Pesuruhjaya Tanah dan Galian Terengganu, de Moubray, kebangkitan rakyat mungkin disebabkan wujudnya manipulasi oleh pimpinan tempatan terhadap isu semasa.

Namun bagi LS Ameru dari Pejabat Tanah dan Jajahan percaya bahawa orang hulu itu bangkit menentang kuasa Eropah. Pendapat inilah yang dipegang oleh kebanyakan kita termasuk sarjana tempatan hingga kini. Maka disebutkan penentangan itu adalah satu kebangkitan Terengganu.

Idea tersebut diperkembang dengan secara tidak langsung mengabaikan perkara pokok dalam peristiwa yang berlaku hampir seabad lalu. Ini bukan persoalan salah siapa atau siapa yang bertanggungjawab.

Kita harus memberi fokus kepada bagaimana orang Melayu dulu dan kini mengurus politik yang mempunyai kerencaman kepentingan.

Kepercayaan terhadap kuasa sakti seperti si fulan dan si fulan adalah bayangan Tuhan, atau seperti si anu keramat dan kebal yang disebut untuk menambah-nambah karisma pemimpin adalah antara penyumbang kegagalan orang Melayu berpolitik.

Lebih parah, ia membawa rakyat ke medan penderitaan yang berpanjangan. Ibarat menang sabung, ayam tergadai.

Begitu juga ada kelemahan menyusun strategi, masalah perhubungan awam dan kemelut geopolitik semasa serta kekurangan logistik menambah-nambahkan lagi parahnya suatu kebangkitan.

Kebangkitan yang banyak bersandarkan semangat menyala-nyala ibarat nasi belum tanak, perut sudah lapar, dan mentari sudah meninggi hari. Kita terperangkap dengan kerangka sejarah yang beku dan kaku.

Siri 1: KOLUM | Seabad perjuangan orang hulu T'ganu (Siri 1)

Siri 2: KOLUM | Korban yang dilupakan (Siri 2)


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS