Paling Popular
Terkini

Pengumuman kerajaan untuk membawa masuk satu juta pekerja asing, ditambah dengan 1.2juta pelancong Cina yang hilang dari radar dan jutaan pekerja asing tidak berdaftar meletakkan Malaysia dalam situasi berbahaya. 

Jumlah yang terlalu ramai ini boleh menjadi masalah, umpama barah yang semakin merebak dan jika tidak dibendung bakal membawa malapetaka kepada negara. 

Jumlah mereka yang terlalu besar ini diumpamakan ‘parasit’ yang menghisap darah dan akhirnya akan mematikan yang empunya badan. 

Parasit ini jika tidak dibendung akhirnya akan menyusahkan dan menyebabkan negara menanggung kerugian yang dahsyat dari segi ekonomi, sosial dan juga politik.

Risiko kemasukan pekerja asing yang besar dan ditambah dengan jumlah 1.2 juta pelancong China yang hilang di negara ini disifatkan amat tidak logik, jelas membuktikan kegagalan pihak-pihak berkaitan, agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imegrisen, Kementerian Dalam Negeri (KDN), JTM dan kerajaan amnya. 

Bagaimana perkara ini boleh terlepas dengan mudah, ini bukan perkara yang berlaku satu dua bulan, tetapi sudah dikesan sejak beberapa tahun yang lalu sebagaimana dilaporkan oleh audit negara. Akan tetapi tindakkan drastik mengatasinya masih belum kelihatan.

Sebagai pengakaji bidang keselamatan dan strategik, saya melihat keadaan ini amat tidak boleh diterima, ini amat jelas membuktikan kegagalan membangunkan satu ekosistem yang selamat kepada negara, warga dan juga golongan pekerja asing tersebut. Semua pihak terkesan.

Polisi tanpa kajian?

  • Gesaan membawa masuk lebih ramai pekerja asing ke Malaysia disifatkan boleh membawa kemudaratan dan memberikan implikasi keselamatan. Tanpa kawalan yang sempurna dan sistem yang tepat dipercayai akan ada segelintir yang mempunyai niat jahat termasuk pengintipan, penyuluhan mahupun terrorisme menyusup masuk ke dalam negara ini. Kedudukan mereka yang yang tidak dapat dikesan akan menjadikan lokasi-lokasi strategik pertahanan dan keselamatan negara berada diambang bahaya.

  • Negara amat bergantung kepada pekerja asing tetapi dalam masa yang sama kelemahan sistem pemantauan dan dokumentasi menjadi negara berada dalam risiko yang cukup besar. Kegagalan mendapatkan maklumat terperinci dari segi kedudukan mereka, majikan berdaftar, perumahan dan lain-lainnya menjadikan mereka bertebaran dalam negara dan bersekongkol dengan diaspora sedia ada. Asimilasi mereka ke dalam masyarakat tempatan menjadikan Malaysia sebagai ‘syurga’ buat golongan ini.

  • Malaysia perlu memperketatkan syarat kemasukan pekerja asing dan mengenakan syarat-syarat yang perlu kepada para majikan. Tanpa kompromi perkara ini adalah satu kewajipan, mana-mana majikan yang mengingkari arahan dan menyalahi undang-undang perlu dikenakan tindakan tegas termasuk menutup premis mereka dan diharamkan sama sekali dari terlibat dalam apa sahaja bentuk perniagaan atau pekerjaan. Apa yang berlaku sehingga kini, majikan yang ‘jahat’ ini akan menukar perniagaan mereka, membuat pendaftaran baru, menggunakan proksi dan sebagainya untuk melepaskan diri dan meneruskan kegiatan tidak sihat ini.

Risiko lain:

  • Memberi ancaman ke atas kesihatan negara, jika golongan ini terlalu ramai, masuk tanpa dikesan, tidak mengambil suntikan perubatan seperti polio, rubella dan lain-lain suntikkan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, maka mereka boleh menjadi agen yang menyebarkan penyakit berjangkit, mewujudkan semula penyakit yang telah berjaya dikawal malah kemungkinan membawa penyakit-penyakit baru ke dalam negara ini. 

Covid-19 yang lalu jelas membuktikan bagaimana golongan ini ‘lari’ tidak dapat dikesan dan gagal untuk diberikan vaksin bagi mengawal penularan virus tersebut. Mereka juga menggunakan kemudahan perubatan yang dikhususkan untuk rakyat negara secara meluas hingga menyebabkan perbelanjaan perubatan menjadi semakin besar.

  • Kemasukan mereka secara ramai ditambah jumlah yang tidak keluar akan menyebabkan kadar jenayah meningkat dengan drastik. Mereka yang tidak mempunyai dokumen ini, ditambah pula oleh jaringan luas yang dimiliki di negara ini, maka amatlah mudah untuk mereka melakukan pelbagai jenayah. Tangkapan 680 warga China yang terlibat dalam ‘judi online’ hanya dalam satu serbuan pada Disember 2019 yang lalu jelas membuktikan bagaimana golongan ini terlibat dalam jenayah terancang. Tanpa prejudis, golongan Rohingya, Bangladesh, Indonesia juga kerap melakukan jenayah peras ugut, gangsterisme, culik, ragut, rompakan, rogol, pembunuhan dan lain-lain sebagaimana dilaporkan dimedia-media sebelum ini. Malah pemilikan kad pengenalan secara haram melalui sindiket juga akan menjadikan mereka bebas memasuki apa sahaja sektor dalam negara ini hingga ada yang menjadi pengawal keselamatan bersenjata api.

  • Risiko ekonomi juga adalah merupakan kesan jangka panjang. Golongan ini bukan sahaja menikmati pelbagai kemudahan dan subsidi yang sepatutnya disalurkan untuk rakyat negara ini, tetapi ianya mengalir kepada golongan yang tidak layak ini. Golongan majikan yang tidak jujur pula mengambil mereka ini untuk bekerja dalam sektor-sektor yang tidak sepatutnya hingga mencetuskan masalah penggangguran dan isu sosial antara mereka dan penduduk tempatan. Malah yang lebih teruk lagi golongan ini juga menguasai pelbagai sektor ekonomi termasuk ada yang memiliki kedai-kedai secara ‘Alibaba’ dan menguasai sektor pemborongan seperti di Selayang, Kelang dan Cyberjaya.

  • Risiko seterusnya yang tidak boleh dipandang sepi adalah apabila golongan ini juga mampu menguasai politik negara. Permintaan sekelompok warga Rohingya untuk memasuki arena politik negara baru-baru ini amat mengejutkan kita semua. Malah apa yang menggusarkan adalah apabila ada kelompok gila kuasa yang akan mempergunakan golongan pekerja asing ini untuk memenangkan mereka dalam pilihan raya. Dalam jangka masa panjang, dengan pemilikan pengenalan diri Malaysia, mereka boleh mencorakkan politik negara ini jika tidak dikawal sebaiknya. 

Jalan penyelesaian masalah ini adalah dengan mengubah sistem sedia ada, membuat penguatkuasaan yang tidak kompromi, membangunkan sistem digital dalam banyak urusan, membenarkan tentera yang terlatih khusus untuk melakukan pembersihan dan mengenakan hukuman keras kepada yang melindungi pekerja asing yang tidak berdaftar ini. 

Sosma perlu dikenakan kepada golongan pengkhianat yang memperjudikan keselamatan dan kedaulatan negara ini untuk kepentingan peribadi.


MOHD MIZAN ASLAM ialah pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MyRISS).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS