Elit pemodal hasut sentimen kaum
Hari ini sekali lagi agenda perkauman (racism) ditimbulkan. Bahang api perkauman ini sengaja dirancang dan ditiupkan kepada umum. Akhbar-akhbar berbahasa Melayu arus perdana terutama Utusan Malaysia menjadi saluran utama yang sedang membakar agenda ini.
Di Malaysia semenjak zaman penjajahan Inggeris lagi, agenda perkauman melalui strategi pecah dan perintah telah dijadikan senjata politik oleh kelas yang memerintah. Penjajah Inggeris sengaja membawa orang Cina dan India masuk ke negara ini untuk kepentingan kaum pemodal bangsa Eropah itu.
Strategi ini diteruskan hingga ke era perjuangan menuntut kemerdekaan. Inggeris menyokong parti-parti politik yang berlandaskan perkauman. Manakala parti atau pertubuhan yang berbilang bangsa diganggu-gugat atau diharamkan sama sekali.
Dasar adu domba antara bangsa-bangsa (pecah dan perintah) inilah yang melahirkan superstructure negara kita hari ini.
Hasil awal yang amat ketara dari dasar ini tetapi cuba "dilupakan" ialah apabila terpisah Pulau Temasik, nama asal Singapura, dari Semenajung Tanah Melayu. Umno yang mengambil dasar orang Melayu melawan orang Cina telah menyebabkan bumi Singapura terpisah. Proses melupakan Singapura sebagai sebahagian dari Tanah Melayu berjalan hingga ke hari ini.
Dasar mengadu domba satu bangsa dengan bangsa yang lain ini bukan sesuatu yang baru atau hanya berlaku di Malaysia. Taktik ini adalah senjata elit politik untuk mempertahankan kuasa mereka.
Mempertahankan kuasa politik bermakna mempertahankan kekuasaan terhadap kepentingan ekonomi. Di sebalik retorika suku kaum, bangsa, bahasa atau agama yang menjadi asas perbalahan ialah agihan dan perebutan punca-punca ekonomi.
Di peringkat awal sejarah, manusia merebut tanah, bahan galian, hasil bumi termasuk hamba abdi yang akan dijadikan tenaga kerja. Pada zaman pascamoden, apa yang menjadi rebutan ialah perlaburan modal, teknologi moden, tenaga fikir dan pasaran.
Dari zaman kuno hingga ke hari ini sejarah manusia ialah sejarah perjuangan merebut punca-punca ekonomi. Perjuangan ini ialah perjuangan satu kelas yang tidak mempunyai kekuasaan ekonomi untuk menjatuhkan satu kelas lain yang memiliki atau memonopoli punca-punca ekonomi.
Bangsa, bahasa, warna kulit, agama termasuk kawasan kenegaraan hanya kain hamparan latar untuk mendapatkan sokongan orang ramai (baca: rakyat) agar punca-punca dan dana ekonomi dapat dikuasai.
Bangsa sendiri ganas
Pada zaman penjajahan, parti-parti politik di negara jajahan, seperti Umno telah melaungkan slogan 'bangsa' untuk merebut kembali apa yang dipanggil kemerdekaan. Asas hakiki kemerdekaan ialah untuk merampas kembali punca-punca ekonomi yang telah diambil oleh pemodal dan kuasa penjajah.
Kalau di Tanah Melayu, perkara rebutan ialah ladang getah, lombong bijih dan tanah pertanian.
Apabila kuasa penjajah berundur maka elit-elit politik yang melaungkan slogan 'bangsa' menjadi tuan yang baru. Sayangnya punca-punca ekonomi tidak pula diagihkan dan dirakyatkan secara adil.
Ia terjadi di banyak negara di Asia dan Afrika. Elit-elit politik bangsa sendiri yang menjadi tuan baru sering bertindak lebih ganas dan zalim daripada penjajah.
Elit politik baru ini telah mencanangkan agenda satu bangsa dan satu bahasa semasa menuntut kemerdekaan. Tetapi teori satu bangsa dan satu bahasa kelihatan bolos dan semakin tidak boleh dipakai. Contohnya negara Arab, dari Mahribi hingga ke Teluk Parsi, penduduknya mengakui diri mereka sebagai satu bangsa dan bertutur satu bahasa tetapi bangsa Arab ini tidak pernah dan kelihatan tidak mungkin akan bersatu hingga ke hari kiamat.
Agama yang juga diwar-warkan sebagai pembetung penyatuan umat manusia juga telah terbukti gagal. Sekali lagi negara-negara Arab sebagai contoh terbaik; ini kerana majoriti bangsa Arab menganut agama yang sama.
Bagitu juga negara-negara di Eropah, semua mereka beragama Kristian. Tetapi sejarah membuktikan mereka telah mendirikan pelbagai negara bangsa yang bertelagah sama sendiri dan mengakibatkan dua perang dunia.
Teori agama sebagai alat penyatuan ummah menerima pukulan hebat apabila Pakistan Timur menjadi Bangladesh pada tahun 1974. Bangladesh yang majoriti rakyatnya beragama Islam telah menolak republik Pakistan yang menjadikan Islam sebagai raison d'etre.
Dari contoh-contoh sejarah ini terbukti bahawa wujud asas yang lebih penting dari bangsa, bahasa atau agama. Asas ini ialah ekonomi. Justeru, Singapura dipisahkan dari Semenanjung pada mata kasar kerana perbalahan Cina-Melayu tetapi asasnya ialah perebutan punca-punca ekonomi, pasaran dan perniagaan oleh dua kumpulan elit politik - Cina yang diwakili oleh PAP dan Melayu diwakili oleh Umno.
Justeru, secara mikronya api perkauman yang ditiupkan oleh elit politik Umno hari ini mempunyai asas ekonomi. Umno kelihatan semakin hilang pengaruh hasil daripada pilihanraya umum 1999.
Kapitalis Cina dan Umno
Hilang pengaruh politik bermakna akan hilang kekuasaan terhadap punca-punca ekonomi. Hilang punca-punca ekonomi bermakna hilang kuasa.
Ini terbukti kerana sejak awal kemerdekaan lagi kumpulan elit politik Umno tidak mempunyai masalah dengan cukong-cukong kapitalis Cina hingga pilihanraya 1969, di mana elit Umno kehilangan sokongan pengundi Melayu.
Episod 13 Mei 1969 wajib dibaca sebagai asakan dan taktik elit politik Melayu yang menggunakan orang Melayu miskin untuk 'memberikan amaran' kepada cukung-cukung Cina agar elit politik Umno juga mendapat habuan ekonomi inilah yang menjadi falsafah Dasar Ekonomi Baru.
Dalam perebutan punca-punca ekonomi, tidak wujud bangsa atau agama. Yang penting ialah kekayaan dan keuntungan maksima yang akan dapat mempertahankan kuasa. Lim Goh Tong, Eric Chia, Ananda Krishanan atau Tan Pek King bukan orang Melayu.
Tetapi mereka dibantu oleh elit politik Umno untuk membolot harta kekayaan negara ini. Malah penjarah seperti Eric Chia dan Tan Pek King dipertahankan kepentingan mereka oleh elit politik Umno sendiri.
Di sini jelas ada kerjasama yang baik dan persefahaman untuk agihan perniagaan antara cukong-cukong ini dengan elit politik Umno.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa rakyat termiskin dari kelas terendah akan dijadikan alat dan mangsa pembataian atau pembunuhan bangsa-bangsa. Contohnya kapitalis dan pemodal Yahudi bersekongkol dan bekerjasama dengan Nazi Hitler untuk menyelamatkan harta kekayaan mereka semasa Perang Dunia Kedua.
Pembunuhan yang berterusan di Ambon atau Meluku sedang didalangi oleh kepentingan tentera dan kroni Suharto yang berselindung di sebalik hamparan agama.
Rakyat termiskin akan terus dijadikan mangsa adu-domba oleh elit-elit politik Melayu-Cina dan India. Selagi mereka yang miskin tidak dapat disedarkan, maka selagi itulah agenda perkauman akan berterusan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.