Dunia hari ini amat jauh berbeza daripada konsep dunia yang difahami oleh ibu dan ayah kita. Pencapaian teknologi hasil pemikiran manusia telah menjadikan dunia ini sebuah perkampungan yang besar.

Perjalanan panjang oleh Ibnu Batuta' atau Marco Polo yang kita baca suatu ketika dulu sebagai pengembaraan epik, kini boleh kita lakukan sendiri dalam masa beberapa jam sahaja.

Konsep sempadan kenegaraan walau pun masih relevan tetapi mungkin hanya boleh diguna pakai untuk sementara waktu sahaja lagi. Makna daulah dan kenegaraan mungkin akan beralih dalam masa yang tidak begitu lama. Semua perubahan ini dibawa oleh teknologi moden yang terus beralih dan berubah setiap detik.

Perubahan teknologi ini sedang memaksa berbagai-bagai pihak dan daulah untuk menilai kembali konsep keselamatan negara. Dari sinilah tercetusnya agenda perpaduan Melayu, menurut laporan Harakah , akhbar rasmi PAS, keluaran 1-15 Februari tahun ini.

Di halaman 2 akhbar itu, terdapat satu berita kecil yang memuatkan ucapan Presiden PAS Datuk Fadzil Noor semasa program ceramah perdana di Pendang, Kedah. Menurut ucapannya itu, beliau telah terpanggil untuk menghantar satu nota kepada Presiden Umno Dr Mahathir Mohamad pada bulan Julai tahun lalu, bagi meminta Perdana Menteri 'duduk bersama berbincang' tentang isu keselamatan negara.

Presiden PAS mengambil langkah ini atas sikap prihatin dan kesedaran beliau bahawa "keselamatan negara kita sedang diancam."

Ancaman ini bukan daripada seekor garuda dan bukan pula akibat si penjual durian dari Sauk, Perak tetapi daripada berita yang melaporkan persetujuan kerajaan Singapura dan Israel untuk membina alat pengintip termoden di dunia. Israel sendiri tidak memiliki alat ini. Apakah alat ini berbentuk seperti sebuah mesin faksimili atau sebiji telur tidak pula dilaporkan oleh Harakah . Tetapi mengikut laporan akhbar tabloid itu, persetujuan dua kerajaan ini telah pun direstui oleh kuasa besar Amerika Syarikat.

Ucapan dan tindakan Presiden PAS ini telah menimbulkan beberapa persoalan yang wajib kita, sebagai rakyat jelata, sedari bersama. Persoalan ini amat penting kerana ia menjurus kepada agenda keselamatan negara. Keselamatan negara ini bermakna keselamatan kita - 22 juta orang - yang menjadi rakyat Malaysia. Ancaman terhadap negara kita bermakna ancaman terhadap diri kita sebagai rakyat.

Seni risikan zaman Nabi

Persoalannya, apakah wujud satu ancaman terhadap keselamatan negara kita pada hari ini? Jawapannya, ya dan tidak. 'Ya' kerana memang benar dan sahih pada ketika ini keselamatan negara kita sedang diancam. Ancaman ini datang daripada dasar Umno yang memimpin kerajaan Barisan Nasional. Dasar politik, ekonomi dan dasar sosial Umno kini sedang 'mengharu-birukan' kestabilan negara kita.

Rompakan demi rompakan telah dilakukan terhadap dana dan harta wang ringgit rakyat - ada yang dilakukan secara terbuka tanpa malu-malu dan ada pula rompakan yang berselindung dengan licik bertopengkan bahasa 'untuk kepentingan negara'.

Penggunaan wang Petronas untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni seperti Perwaja atau memaksa sekolah-sekolah melanggan stesen televisyen Astro atau membeli saham syarikat penerbangan MAS dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran di bursa saham BSKL adalah bangkai-bangkai gajah yang tidak mungkin dapat ditutup dengan nyiru.

Pembolotan harta kekayaan di kalangan elit ekonomi-politik ini melalui agihan yang tidak adil, telus dan seimbang telah menjadi rashia umum dan semakin menjadi-jadi semenjak Umno dipimpin oleh Dr Mahathir.

Lembaga-lembaga daulah seperti badan kehakiman pula menjadi mangsa utama. Hal ini diakui sendiri oleh Ketua Hakim Negara yang baru saja dilantik. Sistem perundangan yang berselerak dengan pelbagai akta sedang mengancam hak kebebasan individu dan kumpulan. Undang-undang yang zalim terus dipakai dan perkukuhkan oleh kerajaan pimpinan Umno.

Suasana akademia yang semakin merosot nilai pencapaian ilmu dan intelektualisme adalah hasil penjajahan undang-undang dan akta yang diluluskan oleh Umno. Akta, undang-undang dan birokrasi digunakan untuk menyekat pencernaan minda di gedung-gedung ilmu. Keadaan ini akan mengancam keselamatan negara kerana gedung-gedung ilmu tidak lagi menjadi medan dan wacana perdebatan pelbagai pandangan.

'Tidak', adalah tidak benar kenyataan bahawa negara kita sedang diancam oleh Singapura atau Israel atau daripada kuasa luar.

Sebuah mesin faksimili atau stesen pengintip buatan Israel dan Singapura bukanlah baru. Pengintipan dan risikan telah menjadi satu seni semenjak konsep daulah muncul. Malah Nabi Muhammad sendiri sebelum melakukan serangan menghantar pasukan pengintip untuk melihat kekuatan dan muatan yang dibawa oleh kabilah yang bakal diserang. Mendengar perbincangan atau rancangan musuh adalah sebahagian dari strategi pertahanan.

Era Perang Dingin - pertempuran Amerika Syarikat dengan Kesatuan Sosialis Republik Russia (USSR) - memperlihatkan berkembangnya teknologi risikan. Mengintip melalui teknologi dengan bantuan agen perisik, penyamar dan double agent adalah perkara lumrah dan sering didengar.

Bukan menggodam musuh

Kita harus menerima hakikat bahawa dunia kita hari ini telah diselirat dengan dawai dan wayar untuk tujuan intipan. Cahaya dan gelombang udara dengan penggunaan teknologi satelit akan dapat memastikan jenis pin baju yang dipakai oleh Fadzil atau Dr Mahathir semasa di meja perundingan nanti.

Pine Gap di tengah-tengah benua Australia dan GCHQ di Utara England adalah dua pusat intipan tercanggih yang berupaya memintas panggilan telefon, hubungan radio, komunikasi faksimili dan apa saja bentuk komunikasi termasuk isu-isu dalam rumah tangga Putera Charles sendiri! Di Amerika Syarikat wujud pula puluhan stesen intipan; bukan hanya mengintip musuh luar negara tetapi mengintip rakyat Amerika sendiri.

Keselamatan negara memang wajib dipertahankan. Tetapi bukan dengan falsafah yang wujud hari ini. Senjata dan teknologi tercanggih dan terbaru tidak akan memastikan keselamatan mana-mana negara. Kebanyakan persenjataaan yang dimiliki oleh negara-negara Dunia Ketiga, termasuk Malaysia, bukan untuk menggodam musuh tetapi untuk menindas rakyat sendiri.

Data dan kajian ilmiah telah menunjukkan bahawa regim-regim ganas dan zalim sering menggunakan isu 'keselamtan dalam negara' untuk memenjara, menindas, merompak dan membunuh rakyat mereka sendiri.

Justeru, keselamatan negara ini ialah keselamatan untuk siapa sebenarnya?

Di Malaysia jawapan itu amat jelas - sejelas ikan di pasar. Keselamatan yang sedang digugat oleh rakyat ialah keselamatan Dr Mahathir dan kroni-kroninya. Kepentingan merekalah yang pada ketika ini sedang diancam oleh ombak kesedaran rakyat.

Mengalihkan isu keselamatan negara ini kepada Singapura dan Israel bererti bersekongkol dan merancang untuk membantu menyelamatkan regim yang sedang menjadi musuh kepada 22 juta rakyat Malaysia. Rakyat telah sedar dan dapat melihat siapa musuh terdekat dan siapa musuh terjauh.

Meneruskan Perjanjian Pertahanan Lima Negara, menghantar tentera-polis Malaysia berlatih di Britain, Australia atau Amerika Syarikat, atau mengadakan perjanjian sulit persenjataan dengan Amerika Syarikat - ini semua samalah seperti makam Abu Nawas. Tembok hadapannya dikunci rapi tetapi makam ini tidak mempunyai tembok belakang!

Isu keselamatan negara memerlukan anjakan falsafah. Keselamatan yang hakiki ialah apabila rakyat diberikan hak dan mereka berasa yakin bahawa mereka juga sedang mendapat hak dan agihan peluang untuk hidup selesa di negara ini. Kubu pertahanan yang kuat ialah rakyat yang menyokong kerajaan yang adil dan dipilih oleh mereka sendiri.

Sejarah telah membuktikan di Vietnam bagaimana senjata tercanggih dengan teknologi termoden telah tidak dapat mematahkan kepercayaan dan kekuataan rakyat yang menyokong kerajaan mereka sendiri.

Percaya pada dan menghormati rakyat terbanyak ialah kunci keselamatan negara kita.