Amalan lompat-melompat parti bukan sekadar satu taktik tetapi telah menjadi satu budaya dalam politik negara. Ia seperti digalakkan walau hakikatnya perbuatan itu negatif.

Amalan ini menjadi perkara biasa, hingga ahli politik tidak segan silu melakukannya asalkan mendatangkan keuntungan peribadi.

Budaya 'politik katak' menjangkiti semua parti politik. Umno, PAS, DAP, Gerakan, MCA, MIC, IPF, PBS, dan lain-lain badan siasah tidak terkecuali daripada serangan wabak ini.

Politik katak lebih serius di Sabah hinggakan kerajaan PBS pimpinan Datuk Pairin Joseph Kitingan pernah memperkenalkan undang-undang antilompat parti.

Undang-undang itu dapat dikuatkuasakan selama lima tahun, namun telah terbatal sekarang kerana dikatakan melanggar perlembagaan negara.

Begitulah seriusnya politik katak di 'negeri di bawah bayu' dan terus menjadi duri dalam daging politik di negeri itu.

Di Semenanjung, amalan politik tidak berpendirian ini juga berleluasa hingga seorang tokoh Umno, Datuk Paduka Ibrahim Ali pernah diberi jolokan "putera katak" oleh musuh-musuh politiknya - dan beliau dilaporkan 'berbangga' dengan gelaran itu!

Ibrahim diberi gelaran itu kerana sering lompat-melompat parti. Beliau pernah menyertai PAS, kemudian Berjasa dan akhirnya Umno.

Selepas parti Melayu itu diharamkan, beliau menyertai Parti Melayu Semangat 46. Selepas Semangat 46 dibubarkan, Ibrahim kembali ke pangkuan Umno.

Budaya katak semakin ketara menjelang sesuatu pilihan raya, umum atau kecil. Ia dijadikan satu senjata untuk menikam parti lawan, contohnya dalam pilihan raya kecil Telok Kemang baru-baru ini.

Umno telah menjadikan politik katak sebagai senjata ampuh untuk menyerang Parti KeADILan Nasional.

Seramai mungkin ahli KeADILan cuba dipancing supaya melompat menyertai Umno sepanjang tempoh kempen itu.

Matlamatnya hanya satu - untuk menjatuhkan moral ahli-ahli parti, terutamanya jentera pilihan raya, selain mengelirukan pengundi kononnya parti berkenaan berada di ambang perpecahan.

Umno cukup berjaya mengeksploitasi taktik ini kerana ia mendapat sokongan media arus perdana.

Bekas ahli KeADILan seperti Zuraidi Rahim, Wan Indera Putera, Zul Azhar Cah dan Baharuddin Ali Masron telah dieksploitasi sepenuhnya untuk memburuk-burukkan parti Dr. Wan Azizah Ismail, isteri bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini terpenjara.

Namun, bagaimanakah agaknya nasib bekas pemimpin kecil KeADILan ini selepas episod Telok Kemang?

Adakah Umno akan terus menghargai mereka. Mungkinkah mereka diberikan tempat dalam saf kepimpinan Umno di bahagian masing-masing?

Sukar untuk meramalkan nasib mereka.

Mungkin ada yang akan terus tenggelam dan yang bernasib baik akan timbul sambil berpaut pada dahan rendang yang baru. Bagaimanapun mengenali budaya politik Umno, sukar untuk pembelot-pembelot ini mendaki politik Umno.

Sejarah membuktikan bahawa ahli Umno yang setia tidak mudah memaafkan pembelot. Lihat sahaja nasib ramai ahli dan pemimpin Semangat 46. Masih ramai yang tersisih walau menyertai semula Umno.

Tidak kurang juga yang tidak diterima untuk menyertai semula parti itu. Pelbagai taktik dan helah diberikan oleh pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan untuk menolak permohonan bekas ahli Semangat 46.

Lihat sahaja Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah. Kini beliau terpinggir, dilupakan dan terus kekal sebagai gurkha. Segala penat lelahnya untuk memenangkan Umno di Kelantan dalam pilihan raya umum lalu tidak dikenang.

Malah beliau menjadi sasaran kritikan pemimpin Umno apabila berhasrat merebut jawatan tertinggi dalam parti.

Walaupun beliau satu-satunya calon parlimen Umno yang menang di Kelantan, tetapi beliau tidak diangkat ke kabinet atau diberikan kedudukan tinggi dalam agensi kerajaan.

Sebaliknya ahli Umno yang setia seperti Datuk Mustapha Mohamad dilantik sebagai 'penasihat ekonomi' Kementerian Kewangan dan dilantik Ketua Penerangan Umno Malaysia walau tewas di Jeli.

Sebahagian besar penyokong Ku Li diketepikan. Ibrahim tidak diketahui apa nasibnya sekarang dan ramai ahli Semangat 46 yang diterima Umno sekadar melukut di tepi gantang.

Hanya tiga orang bekas penyokong anak raja itu yang bernasib baik - Datuk Dr Rais Yatim yang dilantik menteri dalam urusan undang-undang, Datuk Zainal Abidin Zin sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Tengku Azlan Sultan Abu Bakar sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Khabarnya ketiga-tiga mereka dapat terus bernafas dalam Umno kerana jasa baik Datuk Abdullah Badawi.

Hubungan lama mereka dengan Abdullah dan sokongan yang mereka berikan kepada Timbalan Perdana Menteri itu meletakkan mereka di kedudukan sekarang.

Mereka bukan lagi orang kuat Ku Li tetapi telah bertukar "tuan".

Nasib yang sama dijangka diterima oleh bekas ahli KeADILan yang ingin kembali kepada Umno. Lebih-lebih lagi mereka hanyalah pemimpin kerdil.

Sedang pemimpin besar seperti Ku Li dan Ibrahim diketepikan begitu sahaja, apa lagi tokoh seperti Zuraidi, Wan Indera, Zul Azhar dan Baharuddin!

Penyertaan orang KeADILan, PAS, PRM atau golongan profesional dan cerdik pandai sebenarnya tidak begitu dialu-alukan oleh pemimpin Umno di peringkat akar umbi. Mereka dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan pemimpin setempat.

Sumber ibu pejabat Umno memberitahu, gejala menolak permohonan bekas ahli KeADILan dan profesional yang ingin menyertai Umno sedang meluas sekarang. Keadaan ini telah dibawa ke pengetahuan Setiausaha Agung, Tan Sri Khalil Yaakob.

Ketika mengulas perkara tersebut, Khalil meminta mereka yang menghadapi masalah itu supaya berurusan secara terus ke ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Ahli-ahli Umno seperti ini bersikap talam dua muka. Apabila amalan membeli ahli parti lawan menguntungkan, perbuatan itu dihalalkan. Tetapi jika penyertaan pembelot-pembelot parti lawan merugikan mereka, usaha menolak penyertaan pun dijalankan.

Jelas sekali, ahli dan pemimpin Umno tidak ikhlas. Usaha untuk menerima semua orang Melayu sebagai ahli Umno kononnya "demi perpaduan bangsa" hanya satu retorik murahan.

Politik katak sebenarnya - dan kesan sampingannya - tidak menguntungkan Melayu. Ia memberi laba jangka pendek kepada beberapa ekor "katak" sahaja.

Politik membeli katak yang mencirikan sebahagian budaya Umno tidak mungkin lagi menjadi senjata ampuh dalam pilihan raya-pilihan raya akan datang. Tiba masanya rakyat akan lali dengan taktik ini.

Buktinya di Teluk Kemang - walaupun Zuraidi dan rakan-rakannya dijaja ke sana-sini, namun undi majoriti calon Barisan Nasional merosot teruk.