PM-Daim retak isu ketua hakim?
Kononnya hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tegang. Kononnya lagi, kedua-duanya sudah tidak boleh duduk semeja hingga Daim mahu meletakkan jawatan dari kabinet.
Sukar sekali untuk mempercayai khabar-khabar angin itu. Spekulasi keretakan hubungan Mahathir-Daim ini bukan perkara baru. Sepanjang kariernya sebagai Menteri Kewangan, sudah banyak kali khabar angin ini dihebahkan, terutamanya di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Bagaimanapun semua spekulasi itu ditepis melalui hubungan mesra dua sahabat itu.
Di kalangan orang Umno, spekulasi itu dilihat sebagai tidak lebih daripada satu percubaan untuk menfitnah dua pemimpin tersebut. Penyokong Mahathir dan Daim menyimpulkan tidak mungkin hubungan mereka bermasalah hingga membawa Daim keluar dari kabinet.
Tidak kurang juga mereka yang percaya bahawa spekulasi itu ada kebenarannya. Kalau tiada angin, tidak mungkin pohon bergoyang!
Seorang pemimpin Umno Kedah berkata, Mahathir-Daim ibarat isi dengan kuku, tidak boleh dipisahkan.
"Mereka berdua saling perlu memerlukan. Daim adalah perancang segala program ekonomi Mahathir. Spekulasi ini adalah fitnah," kata tokoh Umno itu, yang juga bergiat cergas dalam sektor korporat.
Bagaimanapun, tambahnya, sukar untuk menafikan dua pemimpin itu tidak mempunyai masalah seratus peratus.
"Mungkin ada sedikit kebenaran dalam spekulasi itu. Sedangkan lidah lagi tergigit," katanya.
Tanda tanya mengenai keserasian antara kedua-dua tokoh ini tidak mudah untuk dijawab.
Beberapa perbezaan pendapat antara dua pemimpin ini makin ketara kebelakangan ini - bermula cadangan penggabungan bank, isu melanjutkan tempoh kawalan modal dan juga perlantikan Gabenor Bank Negara dan terbaru, perbezaan mereka dapat dilihat dalam langkah menyelamatkan syarikat telekomunikasi Time.com Sdn Berhad.
Baru-baru ini Mahathir dan Daim juga dilihat memberikan isyarat berbeza terhadap institusi kehakiman. Daim berpendapat institusi kehakiman dan hakim wajar dikritik jika berlaku salah laku.
Sambil merujuk kes Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin yang melancong bersama peguam V. K. Lingam, menteri itu berkata, rakyat berhak menegur badan kehakiman jika hakim telah melakukan kesilapan.
Bagaimanapun, Mahathir pula mempertahankan Eusoff dengan menegaskan ketua kakim itu tidak perlu ditribunalkan atau dilucutkan jawatan. Agak sukar untuk menyembunyikan perbezaan pendapat antara kedua-dua mereka sekarang.
Jika hubungan dua pentadbir utama negara itu masih seperti dulu - intim dan saling bergantung antara satu sama lain - mengapa pula timbul spekulasi tersebut?
Kalau benar ia hanya spekulasi, mungkinkah ada agenda besar yang tersembunyi di sebaliknya? Tidak mustahil spekulasi ini sengaja dicipta sendiri oleh kedua-dua tokoh ini dengan harapan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu lain.
Ada pemerhati berpendapat perbezaan antara mereka sekadar satu permainan untuk mengganggu proses pemulihan di BSKL atau strategi untuk menguji pengaruh Daim terhadap Mahathir selepas Datuk Seri Abdullah Badawi dilantik menjadi timbalannya yang baru.
Strategi untuk menjejaskan harga-harga saham tempatan ternyata sedikit sebanyak telah berjaya. Indeks komposit BSKL merudum lebih 100 mata sejak spekulasi ini ditiup pada pertengahan bulan lalu. Daripada 950 sebelum 11 Mei lalu, indeks tersebut telah mencecah 804 mata pada 20 Jun.
Walaupun punca kejatuhan pasaran itu tidak tertakluk seratus peratus pada spekulasi Mahathir-Daim, namun ia mempengaruhi sentimen pasaran, terutamanya di kalangan pelabur asing.
Pelabur melihat pemulihan ekonomi Malaysia sinonim dengan kehadiran Daim. Jika beliau berundur, penggantinya dikhuatiri tidak mampu meneruskan program pemulihan tersebut.
Sumber yang rapat dengan ibu pejabat Umno berpendapat, spekulasi itu sengaja ditimbulkan sekarang bagi menyiapkan minda rakyat untuk satu "agenda yang lebih besar."
"Mungkin Perdana Menteri merancang untuk merombak kabinetnya dan Daim mungkin terlibat dalam rombakan tersebut. Mungkin benar Daim mahu mengundurkan diri. Oleh itu, psikologi pelabur dan BSKL khususnya perlu dipersiapkan untuk menerima berita ini," jelas sumber itu.
"Kalau berita pengunduran Daim diumumkan secara mengejut, ia dibimbangkan memberikan kesan lebih buruk kepada pasaran saham. Jika ia digembar-gemburkan terlebih dahulu sebelum fakta sebenarnya diumumkan, kesannya tidaklah begitu teruk."
Sekurang-kurangnya sekarang, rakyat dan pelabur sudah bersedia untuk menerima satu lagi kejutan - pengganti Daim mungkin bukan seorang ahli politik.
Satu sumber lain pula menambah, spekulasi ini adalah satu taktik penyokong Daim menguji populariti Menteri Kewangan itu setelah pilihan raya umum dan perhimpunan agung Umno lalu.
"Dengan adanya reaksi terhadap spekulasi ini, dapatlah diukur sejauh mana pengaruh Daim terhadap Perdana Menteri berbanding Abdullah Badawi," katanya.
Katanya, jika Perdana Menteri enggan melepaskan Daim dari kabinet, jelaslah Menteri Kewangan merangkap Menteri Tugas-tugas Khas itu lebih dipercayai dan lebih diperlukan daripada timbalannya sendiri.
Sejauh mana kebenaran spekulasi ini masih cuba disembunyikan Mahathir dan Daim. Rakyat akan mendapat jawapannya dengan memerhatikan turun naik harga saham di BSKL.
Namun di negara ini, sejarah membuktikan spekulasi lebih sering bertukar menjadi fakta.

