Umno bersimpang-siur
Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan para pemimpin lain dalam parti itu nampaknya bercakap bahasa yang berbeza. Beliau bercakap mengenai perpaduan dan hubungan baik antara orang Melayu tetapi pemimpin-pemimpin kanannya berbuat sebaliknya.
Dr. Mahathir ingin perpaduan tetapi gelagat Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz akan melebarkan lagi perpecahan dalam pergerakan yang baru diketuainya itu.
Perdana Menteri mahukan pemimpin-pemimpin Umno turun ke bawah berbaik-baik dengan pelajar pusat pengajian tinggi tetapi anggota Majlis Tertinggi merangkap Menteri Perusahaan Awam, Datuk Nazri Aziz mengambil langkah memusuhi pelajar-pelajar yang menyokong parti pembangkang.
Begitu juga seorang lagi ahli MT, Datuk Shahrir Samad. Beliau mahu Umno berhenti mendesak orang Melayu berterima kasih kepada kerajaan sedangkan Dr. Mahathir tidak pernah lekang daripada mengungkit jasa-jasa kerajaan kepada orang Melayu dan menagih terima kasih.
Jelas sekali Presiden Umno ke hulu dan pemimpin sekelilingnya ke hilir.
Para pemimpin sekeliling Dr. Mahathir nampaknya menyanggah amanat Presiden mereka yang mahukan perpaduan dan hubungan baik dengan masyarakat Melayu. Adakah Dr. Mahathir merestui perbuatan para pembantunya yang bertentangan dengan isi ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno itu?
Nampaknya para pemimpin Umno seperti tidak sedar mereka sekarang berada dalam "persekitaran yang memusuhi" mereka. Peringatan Dr. Mahathir bahawa parti itu sekarang mempunyai ramai musuh seperti tidak dipercayai oleh Nazri dan Rafidah. Mereka terus mencari musuh.
Langkah Nazri meletakkan syarat "mesti penyokong kerajaan" sebagai kriteria utama untuk mendapatkan pinjaman daripada Mara adalah satu langkah kurang bijak.
"Pinjaman hanya akan diberikan kepada mereka yang menyokong pembangkang jika terdapat lebihan peruntukan," tegasnya baru-baru ini.
Sepatutnya beliau mengarahkan Mara membuat penilaian berdasarkan merit, bukannya kronisme atau nepotisme. Mungkin beliau belum sedar bahawa ramai daripada pelajar atau golongan muda sekarang menyokong pembangkang.
Nazri perlu menarik balik syarat yang ditetapkan olehnya itu kerana ia mendatangkan lebih banyak kesan buruk. Siapa yang rugi kalau anak-anak Melayu yang cerdik tetapi mempunyai pendirian politik yang berbeza dengan Nazri tercicir semata-mata kerana dendam kesumat? Tentunya orang Melayu dan Umno juga tidak mendapat apa-apa keuntungan!
Tindakan Rafidah pula lebih memeningkan kepala Presidennya. Setelah penat Dr. Mahathir mengajak ahli-ahli Umno melupakan perpecahan hasil daripada perebutan jawatan, tiba-tiba Ketua Wanita itu dengan rakus bertindak ke atas para penyokong Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.
Beliau menggugurkan semua orang Dr. Siti Zaharah daripada jawatan ketua wanita negeri.
Sebaliknya tokoh-tokoh Wanita yang tidak dipilih dilantik menduduki jawatan-jawatan tersebut.
Nama-nama seperti Maznah Hamid, Raja Ropiaah Raja Abdullah, Melati Ali, Zaleha Husin dan Norjan Khan Bahadar tercicir walaupun mereka memenangi jawatan Exco wanita.
Maznah Hamid, seorang tokoh motivasi terkenal umpamanya menang dengan undi terbanyak sebagai Exco wanita tetapi tidak dilantik sebagai Ketua Wanita Kedah. Sebaliknya Rosnah Majid, orang kuat Rafidah yang tercicir dari senarai calon Exco wanita, dilantik menjadi ketua wanita negeri berkenaan.
Rafidah memastikan orang-orangnya memegang semua jawatan penting. Nampaknya dasar "yang menang dapat semua dan yang kalah hilang semua" terus diamalkan oleh Rafidah.
Tindakan beliau ini merumitkan usaha Dr. Mahathir merapatkan jurang dalam Umno, terutama sayap wanitanya.
Sebagai usaha untuk menjaga hati para penyokong Dr. Siti Zaharah, kemungkinan besar bekas ketua wanita itu akan dilantik menjadi salah seorang ahli MT pada bulan depan.
Dr. Mahathir tahu pengaruh Dr. Siti Zaharah masih kuat - beliau hanya kalah dengan 12 undi. Beliau perlu melantik menteri perpaduan negara itu sebagai ahli MT bagi menunjukkan kesungguhannya menyatupadukan orang Umno dan Melayu.
Mungkinkah Dr. Mahathir keseorangan dalam usaha untuk memulihkan semula Umno?
Walaupun ucapan beliau pada hari penutup perhimpunan agung itu mendapat standing ovation sebanyak dua kali daripada para perwakilan, namun para pemimpin sekelilingnya cuba melawan arus.
Kehendak pemimpin nombor satu Umno dan arus akar umbi yang mahukan perpaduan dan muhasabah diri tidak diendahkan oleh "leftenan-leftenan" parti itu. Mereka yang bersifat degil, angkuh dan mementingkan periuk nasi sendiri inilah anasir yang merosakkan Umno.
Parti Melayu itu tidak mungkin berubah jika hanya Presiden dan Timbalan Presidennya yang bersemangat untuk memulihkan parti. Tindakan perwakilan sekadar menukar "alat ganti" dan tidak melakukan "baik pulih" terhadap Umno pada perhimpunan lalu merupakan satu kesilapan besar. Terpaksalah menunggu hingga tahun 2003 untuk membaiki kesilapan itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.