Akhbar Umno tutup kedai'
Umno mungkin merupakan satu-satunya parti di dunia ini yang begitu benci kebebasan akhbar dan bersuara. Parti yang sudah berusia lebih 40 tahun ini hanya menyenangi akhbar atau media massa yang menyebelahi, berkempen atau membodeknya.
Pendek kata, dalam kamus Umno hanya media yang tunduk padanya sahaja patut diberikan permit. Inilah yang berlaku sekarang.
Kerajaan atau lebih tepat Umno semakin menghakis kebebasan media. Satu demi satu akhbar dan majalah yang tidak sehaluan dengannya dikekang. Majalah Detik sudah lama ditalkinkan. Harakah kini cuma terbit dua kali sebulan berbanding lapan kali sebulan sebelum ini. Mangsa terbaru ketakutan Umno terhadap kebebasan akhbar ialah tabloid mingguan Eksklusif .
Bagi pemimpin Umno dan kerajaan, sebarang penerbitan yang berani menegur, mengkritik atau menghentamnya mesti dikuburkan. Kalau dulu cara mematikan sesebuah akhbar itu dibuat secara kasar - dengan mengharamkan atau menarik balik permit serta-merta.
Akhbar The Star dan tabloid politik Watan pernah ditarik balik permitnya apabila berlaku Operasi lalang pada tahun 1987.
Namun kini sekatan dibuat secara halus. Caranya mudah, kerajaan tidak memperbaharui permit sesuatu penerbitan itu apabila tiba tarikh tamat tempoh sesuatu permit penerbitan. Permit tidak diperbaharui tanpa sebarang alasan! Dan, keputusan itu tidak boleh dicabar di mahkamah!!!
Inilah yang dilakukan ke atas Detik dan Eksklusif . Apabila permit kedua-duanya tamat, permohonan untuk memperbaharuinya ditolak.
Menurut pegawai di Kementerian Dalam Negeri, keputusan tidak memperbaharui permit itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Badawi, sendiri!
Menurut sumber Umno, keputusan menteri berkenaan, khususnya Eksklusif , adalah ekoran desakan daripada pemimpin Umno.
"Menteri Dalam Negeri terpaksa akur pada desakan para pemimpin Umno. Kami difahamkan ada memorandum khas dari kalangan pemimpin Umno yang meminta Eksklusif dikenakan tindakan kerana mereka tidak senang dengan tulisan-tulisan dalam tabloid berkenaan yang berani dan lantang menegur kepincangan dalam Umno," jelas sumber tersebut.
Inilah akibat apabila "kerajaan itu Umno dan Umno itu kerajaan." Dasar dan keputusan parti menjadi ikutan menteri dan pegawai-pegawainya walau rakyat jelata rata-rata menyenangi kewujudan media massa yang lebih bebas, terbuka dan berani.
Bagi kerajaan dan Umno, media massa yang perlu wujud di negara ini hanya Utusan Malaysia , Mingguan Malaysia , Berita Harian , Berita Minggu , The Star , The Sun , Malay Mail dan Harian Metro di samping akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Tamil yang semuanya dikuasai oleh MCA dan MIC.
Akhbar-akhbar arus perdana ini cukup diragui kredibiliti sehingga rakyat sanggup memboikotnya tanpa berasa kehilangan berita. Namun, bagi kerajaan, akhbar ini terus dianggap "sumber ilmu dan maklumat" utama yang mesti ditatap oleh rakyat setiap hari.
Tidak cukup dengan menguasai akhbar-akhbar arus perdana ini, Umno dan sekutu-sekutunya mengawal pula akhbar-akhbar tabloid yang baru muncul serta menerbitkan akhbar parti Wawasan Merdeka . Lidah rasmi Umno ini diterbitkan pada Mei lalu dan diterajui oleh bekas wartawan-wartawan akhbar arus perdana.
Wawasan Merdeka diharapkan dapat menjadi penghubung antara parti dengan ahli-ahli dan rakyat. Akhbar Umno ini tidak mempunyai permit tetapi diedar secara percuma kepada orang ramai.
Malangnya respons yang diterima oleh akhbar ini sangat menyedihkan. Rakyat lebih rela menjadikannya kertas pembungkus nasi lemak daripada membaca propaganda murahan yang ada di dalamnya.
Malah, ramai ahli Umno sendiri tidak tertarik untuk membaca akhbar ini. Seorang wartawan kanan di sebuah media arus perdana memberitahu, di kalangan Menteri Besar-Menteri Besar dan menteri-menteri kabinet sendiripun tidak ramai yang membaca akhbar tersebut.
Kalau beginilah nasib Wawasan Merdeka , ia tidak lebih daripada satu projek untuk membazirkan wang parti.
Akibatnya, walau diterbitkan enam kali, penerbitann Wawasan Merdeka terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Kononnya hendak dirombak isi, reka letak dan persembahannya untuk menjadi lebih menarik. Mungkinkah Wawasan Merdeka akan menerima nasib seperti lidah rasmi Umno yang dulu - akhbar Merdeka dan Nusantara yang akhirnya mati tanpa nisan apabila tiada sesiapa sudi membacanya?
Sambutan dingin yang diterima oleh Wawasan Merdeka ini jelas menunjukkan bahawa rakyat sudah muak dengan propaganda Umno. Rakyat menuntut hak mereka untuk mendapatkan media massa yang bebas dan berani.
Kerajaan dan Umno perlu lebih rasional dalam soal kebebasan akhbar. Janganlah takut pada bayang-bayang sendiri.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.