MT cari formula dekati Melayu
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Isnin lalu mendedahkan banyak perkara yang tersirat. Walaupun Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tidak mengumumkan perlantikan 10 anggota MT, namun beberapa perkara penting telah didedahkan.
Antaranya ialah soal hubungan beliau dengan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Walaupun soal ini tidak dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut tetapi perlantikan semula Tun Daim sebagai Bendahari menafikan segala spekulasi negatif berhubung mereka berdua.
Beberapa hari sebelum mesyuarat berlangsung, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) telah heboh dengan khabar kononnya hubungan mereka berdua semakin tegang. Tersebar juga cerita bahawa Daim telah menghantar surat perletakan jawatan.
Khabar angin itu meluas di dalam dan luar negara hingga menyebabkan prestasi BSKL terjejas. Daim diminta mengulas khabar angin itu dan beliau menegaskan kedudukannnya dalam kerajaan bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri.
Beliau yang enggan mengulas lanjut, sekadar menjawab: "...kalau Perdana Menteri suruh saya berhenti, saya akan berhenti."
Bagaimanapun mesyuarat MT tempoh hari telah menjawab semua spekulasi tersebut, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini. Perlantikan semula Daim sebagai Bendahari Umno dan orang kuatnya, Datuk Mustapha Mohamad sebagai Ketua Penerangan yang baru menunjukkan hubungan antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu masih kukuh.
Sekurang-kurangnya dari aspek politik dalam parti, mereka masih sahabat karib dan boleh duduk semeja.
Perlantikan semula Daim sebagai bendahari parti itu mematikan spekulasi kononnya wujud ketegangan antara kedua-dua pemimpin itu. Seorang ahli MT yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu, hubungan kedua-dua mereka nampak mesra semasa mesyuarat tersebut.
"Mereka senyum, bercakap dan berbincang macam biasa. Tak tahulah kalau mereka hanya berlakon tapi bagi saya, perlantikan semula Daim itu menunjukkan Presiden terus percaya padanya," jelas sumber itu.
Anggota MT yang berasal dari Perak itu menambah, Presiden tidak mungkin melantik semula Daim kalau hubungan mereka sudah memburuk.
Bagaimanapun seorang lagi anggota MT yang dihubungi tidak menolak kemungkinan ada sedikit masalah antara kedua-dua pemimpin itu. Bagaimanapun sebarang masalah yang ada tidak mungkin membawa kepada perletakan jawatan Daim daripada kerajaan kerana khidmat beliau masih diperlukan.
"Ekonomi negara masih rapuh walaupun telah mengalami pemulihan. Daim sendiri berjanji akan berhenti apabila tugas memulihkan ekonomi selesai. Tapi tugas tersebut belum selesai lagi dan saya percaya beliau akan terus memegang jawatan itu sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini. Secara peribadi, sukar bagi saya untuk percaya kedua-duanya akan bermusuhan kerana mereka saling memerlukan," jelas anggota MT yang berasal dari Pahang itu.
Selain menampilkan apa yang tersirat di sebalik hubungan Dr. Mahathir-Daim, mesyuarat MT itu juga menunjukkan beberapa perubahan terutamanya dari segi komitmen ahli-ahli MT untuk melihat perubahan dalam parti.
Datuk Shahrir Samad yang baru terpilih memberitahu, mesyuarat berkenaan berjalan dnegan baik, penuh keterbukaan dan terus-terang. Katanya, Presiden berterus-terang menyatakan hasratnya untuk melihat ahli-ahli MT turun padang berjumpa rakyat.
Dr. Mahatahir juga katanya menunjukkan sikap terbuka dan bersedia untuk mendengar pandangan ahli-ahli MT.
"Saya tidak dapat memberitahu butir-butir lanjut mesyuarat itu. Suatu yang pasti mesyuarat itu sangat bagus, penuh terus terang dan berdisiplin. Kita membuat teguran dan memberikan pendapat mengikut peraturan dan tata susila," katanya.
Bagaimanapun adalah difahamkan bahawa topik utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut - selain daripada perlantikan tiga eksekutif utama di ibu pejabat parti - ialah formula untuk mendekati kembali orang Melayu.
Mesyuarat tersebut mengakui sokongan orang Melayu terhadap parti masih belum pulih walaupun perhimpunan agung Umno pada 11 Mei lalu berjaya mengembalikan moral ahli-ahli. Ahli-ahli MT juga diingatkan tidak berpuas hati dengan kedudukan yang ada, sebaliknya hendaklah bekerja keras untuk memulihkan imej parti.
Oleh itu mesyuarat tersebut memutuskan salah satu daripada cara untuk mendekati orang Melayu ialah dengan cara mengadakan mesyuarat MT di luar Kuala Lumpur. Mesyuarat di luar Kuala Lumpur itu akan diadakan setiap bulan.
Selain kesedaran terhadap kelemahan Umno, mesyuarat itu juga membincangkan perlantikan 10 anggota tambahan MT. Presiden mengingatkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bahawa mereka tidak semestinya akan terpilih sama ada sebagai ahli MT yang dilantik atau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.
Menurut seorang anggota MT, Presiden telah menegaskan bahawa jumlah kekosongan yang ada amat terhad dan jika semua Menteri Besar atau Ketua Menteri dilantik, orang lain tidak berpeluang menduduki kerusi tersebut.
Jika Dr. Mahathir mengotakan kata-katanya itu, beberapa orang menteri besar dan ketua menteri seperti Datuk Abu Hassan Omar, Datuk Shahidan Kassim, Datuk Panglima Osu Haji Sukam, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kemungkinan besar akan terkeluar daripada senarai MT.
Sewajarnya keputusan Dr. Mahathir itu diterima dengan hati terbuka oleh para menteri besar dan ketua menteri yang sudah ditolak perwakilan Umno. Tidaklah wajar bagi mereka membebankan Presiden dengan mendesak supaya mereka dilantik sekali lagi.
Keputusan Dr. Mahathir untuk mengenepikan menteri besar dan ketua menteri yang tewas dalam pemilihan agung parti juga dilihat sebagai hasrat beliau untuk membawa masuk seberapa ramai muka-muka baru yang segar dan bersih untuk menjana pentadbiran parti.
Semoga Presiden Umno menggunakan peluang yang ada ini untuk membawa masuk mereka yang mampu bekerja dan membuat perubahan, bukan sekadar mengisi kuota MT dengan para pengampu dan penyokong setianya.
Isyarat orang Melayu mahukan melihat perubahan dalam Umno mestilah difahami.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.