Tidak dapat dinafikan bahawa menghancurkan sebuah keluarga dengan memisahkan ibu daripada anak-anak, dan isteri daripada suaminya, adalah sesuatu yang zalim dan amat dikesali, dan tidak mungkin disetujui oleh ahli-ahli keluarga yang terbabit, baik suami isteri atau anak-anak mereka!

Namun, ia telah berlaku terhadap Raimah Bibi Noordin ibu kepada tujuh orang anak yang belum dewasa dan isteri selama 21 tahun kepada seorang penoreh getah, P Marimuthu akibat apa yang dinamakan 'kompromi' antara Hakim Mahkamah Shah Alam, Su Geok Yiam; Penasihat Undang-undang Selangor (bagi pihak Jabatan Agama Islam Selangor) Datuk Zauyeh Be T Loth Khan, Karpal Singh (peguam P Marimuthu), P Marimuthu dan Raimah Bibi.

Menurut 'kompromi' terbabit, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersetuju memberi P Marimuthu hak penjagaan tujuh orang anaknya dan membesarkan mereka mengikut agama Hindu, sedangkan Raimah Bibi yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak dibenarkan tinggal bersama suaminya yang beragama Hindu. Dia akan terus ditempatkan di pusat pemulihan akidah Jais dan hanya dibenarkan bertemu dengan anak-anaknya.

'Kompromi' tersebut tercapai selepas P Marimuthu, 44, menarik balik permohonan habeas corpus untuk membebaskan isteri dan enam orang anaknya daripada pusat pemulihan akidah Jais, ekoran afidavit Raimah Bibi yang mengaku dirinya sebagai seorang Islam, dan bersetuju anak-anaknya diserahkan kepada bapa mereka dan dibesarkan mengikut agama Hindu.

Dalam kenyataan akhbar, pengarah eksekutif Women's Aid Organisation Ivy Josiah telah berharap penyelesaian terbabit tidak dibuat di bawah paksaan, kerana katanya, pada paras manusia, seorang wanita sewajarnya senantiasa berhak hidup bersama suami pilihannya dan anak-anaknya.

Saya tidak faham kenapa Karpal Singh pada mulanya begitu puas hati dengan penyelesaian yang padahal telah menghancurkan sebuah keluarga yang sebelum ini hidup dengan aman meskipun miskin, sehingga pada 2 April 2007 lalu, Raimah Bibi dan 6 orang anaknya dibawa oleh 7 orang pegawai Jais dan ditempatkan di pusat pemulihan akidah Jais di Kampung Melayu Liga Emas.

Kandungan afidavit

Kebimbangan Ivy Josiah terbukti berasas, kerana Raimah Bibi (foto) telah mengadu kepada wartawan malaysiakini bahawa dia telah diperdaya oleh Karpal Singh dan suaminya agar memberi hak penjagaan anak-anaknya kepada suaminya, kerana mereka tidak menerangkan isi kandungan afidavit terbabit dengan jelas, dia yang buta huruf pun menandatangani afidavit terbabit seperti yang diaturkan. Raimah Bibi, malah mengatakan dia akan membawa Karpal Singh ke mahkamah.

Rasanya, Karpal Singh kemudiannya telah memahami dilema Raimah Bibi, kerana ketika ditemui wartawan di kongres khas DAP pada 6 Mei lalu, beliau telah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, campurtangan dalam isu keluarga Raimah Bibi.

Katanya: "Ini adalah satu dilema yang besar bagi Raimah Bibi jika balik semula ke rumah Marimuthu dia akan didakwa melakukan kesalahan khalwat.

"Dia tidak tahu mana hendak pergi. Perkara ini perlu diambil serius kerana sebuah keluarga tidak sepatutnya dipecahkan. Malah, semua agama menekankan penyatuan keluarga."

Beliau menggesa Perdana Menteri supaya mencari penyelesaian yang dapat mengatasi dilema terbabit.

Nyata sekali, soal sekarang bukan perebutan hak penjagaan antara suami dengan isteri, tetapi bagaimana dapat memulihkan keutuhan sebuah keluarga yang telah didirikan 21 tahun dahulu di kuil mengikut upacara Hindu dan selama ini mengamalkan agama Hindu tanpa masalah. Perkhawinan ini telah menghasilkan tujuh orang anak.

Penderitaan ibubapa, anak-anak

Seriusnya masalah terbabit telah ditekankan oleh hujah Malik Imtiaz, peguam perlembagaan dan aktivis hak asasi seperti berikut:

"Undang-undang menghendaki kebajikan kanak-kanak diberi pertimbangan utama. Undang-undang juga menghendaki semua dilayan dengan sama rata. Namun, mereka yang ditugas dengan kebajikan negara dan warganya seolah-olah memikir sebaliknya.

"Bagaimana dapat dijustifikasikan keluarga dipecah-pecahkan, kanak-kanak dipisahkan daripada ibubapa mereka? Islam tidak benarkan, undang-undang juga tidak benarkan.

"Mustahil kita tidak memahami penderitaan ibubapa dan kanak-kanak terbabit? Sukar juga difahami bagaimana masih ada yang mempercayai undang-undang memperkenan dan mewajarkan kezaliman terbabit?

"Perlu ada yang dipertanggungjawabkan atas (kezaliman) ini."

Mencari penyelesaian bagi memulihkan keutuhan dan kesejahteraan keluarga Marimuthu-Raimah Bibi amatlah penting kerana hak berkeluarga tidak patut diganggu oleh mana-mana agama, terutama agama yang dianggap sebagai adil, pemurah dan pengasih.