Kongres nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keempat baru berakhir pada hujung minggu lalu. Kongres kali ini dilihat sebagai yang "terpanas" dalam sejarah politik PKR. Datuk S Nallakaruppan, teman lama Anwar Ibrahim, keluar dari parti beberapa hari sebelum kongres berlangsung.

SD Johari, Sharifah Syahidah dan beberapa orang lagi "sekutu" Ezam Mohd Noor (bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang telah melepaskan jawatannya itu untuk menumpukan perhatian kepada GERAK) telah menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan kali ini.

Kongres PKR kali ini juga menarik kerana dihadiri oleh bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid yang lebih terkenal dengan panggilan "Gus Dur".

Semuanya telah selesai. Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang tanpa bertanding dan akan kembali mengepalai PKR selepas Anwar yang mendapat 120 pencalonan menarik diri, dengan diikuti oleh Abdul Rahman Othman sejurus kemudian. Syed Husin Ali turut mengekalkan jawatan timbalan presiden, juga tanpa bertanding.

Manakala Azmin Ali, Lee Boon Chye dan Mustaffa Kamil Ayub mendapat kepercayaan perwakilan untuk menjadi naib presiden. Tan Sri Khalid Ibrahim pula dilantik sebagai setiausaha agung PKR yang baru.

Shamsul Iskandar Md Akin yang sebelum ini memangku jawatan ketua AMK selepas Ezam melepaskan jawatan tersebut mendapat mandat untuk mengepalai AMK. Beliau mendapat 243 undi untuk menewaskan Hasmi Hashim yang mendapat 51 undi.

Fariz Musa pula berjaya menewaskan Zamakhsari Ibrahim untuk jawatan timbalan ketua AMK. Manakala jawatan naib ketua AMK diisi oleh Khairul Annuar Ahmad Zainuddin, Amiruddin Saari dan Tan Seng Toh.

Mandat perwakilan

Anwar menarik diri daripada bertanding jawatan presiden PKR demi untuk menyelamatkan parti. Beliau terpaksa melupakan hasratnya itu demi untuk memastikan PKR tidak dikenakan tindakan oleh ROS, termasuk kemungkinan dibubarkan.

Ekoran penyabitan hukuman bagi kesalahan salahguna kuasa, Anwar tidak boleh memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan sehingga April 2008. Keputusan Anwar itu turut mendorong Abdul Rahman bekas timbalan presiden Parti Keadilan Nasional yang mendapat tujuh pencalonan untuk jawatan presiden turut menarik diri.

Apakah pasukan baru yang telah mendapat mandat dari perwakilan ini mampu mengembalikan kepercayaan masyarakat umum yang melihat pemimpin PKR yang sering bertelagah apabila berkongres? Lebih rumit lagi apabila mereka yang dikatakan dari kelompok progresif juga telah meninggalkan PKR, contohnya Ezam Mohd Noor.

Politik adalah persepsi. Walaupun Anwar menjelaskan bahawa tindakan Datuk Nalla meninggalkan parti keluar parti, langsung tidak akan menjejaskan PKR, namun apakah ia dapat meyakinkan masyarakat umum? Terutamanya di kalangan masyarakat India selepas Datuk Nalla mendakwa tiada tempat bagi mereka dalam PKR.

Sivarasa Rasiah, Dr Xavier Jayakumar dan N Gobalakrishnan telah lama berada dalam PKR tetapi tidak berjaya untuk membawa kemasukan ramai ahli dari kalangan masyarakat.

Di atas kertas, PKR adalah antara parti politik yang mempunyai dasar-dasar yang baik, seperti dasar berbilang kaum. Walaupun masih belum sampai k etahap yang benar-benar boleh dilihat sebagai parti berbilang kaum, tetapi sekurang-kurangnya PKR lebih baik berbanding dengan DAP dan Gerakan yang didominasi oleh kaum Cina.

PKR telah mengumumkan dasar yang baik pada kongres kali ini, iaitu pendidikan percuma untuk semua rakyat, gaji minimum sebanyak RM1,000 dan rawatan kesihatan percuma, jika mereka dipilih memerintah Malaysia.

Tidak cukup korum

Dasar PKR dilihat sebagai "pro" rakyat, tetapi bagaimanakah PKR mahu menerangkannya kepada rakyat bawahan, terutama masyarakat luar bandar? Sehingga hari ini, PKR masih lagi belum popular di kalangan masyarakat luar bandar. Ini ditambah pula dengan sikap ramai pemimpin PKR yang hanya menumpukan perhatian di peringkat nasional.

Pernah satu ketika dahulu, bahagian kepada salah seorang pemimpin besar PKR di Lembah Klang, tidak mempunyai cukup korum untuk mengadakan mesyuarat bahagian. Jadi, bayangkanlah bagaimana keadaan PKR di seluruh negara, terutamanya di kawasan luar bandar yang sering diabaikan.

Pemimpin PKR tidak boleh hanya turun padang dua minggu sebelum pilihanraya. Pemimpin PKR tidak boleh mengikut rentak pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana Umno dan BN disokong oleh seluruh jentera kerajaan, media arus perdana dan wang ringgit

PKR adalah parti pembangkang yang masih lagi tidak mendapat permit untuk menerbitkan surat khabarnya sendiri. Ertinya, PKR tidak mempunyai jentera, media dan wang ringgit yang meyokongnya.

Ini menyebabkan pemimpin PKR terpaksa bekerja dua tiga kali ganda berbanding dengan pemimpin Umno dan BN jika mereka mahu menang dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen. Rakyat harus diyakinkan bahawa PKR mampu membela nasib mereka.

PAS lebih baik dari segi jentera dan persiapan untuk menghadapi pilihanraya berbanding dengan PKR. Sebab itu, PKR tidak boleh berpisah dengan PAS. Pilihanraya kecil di Ijok yang lalu telah membuktikan yang PKR bergantung kepada jentera dan sokongan PAS.

Para pemimpin PKR jika mahu menjadikan PKR sebagai parti pemerintah harus mencontohi PAS dari segi semangat perjuangan dan komitmen. Pemimpin PKR harus membebaskan diri mereka daripada mentaliti yang bergantung kepada "magik" Anwar Ibrahim.

'Magik' Anwar

Pemimpin PKR harus ingat bahawa Anwar dahulu naik dengan begitu cepat dalam Umno dan kerajaan kerana beliau disokong oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan jentera kerajaan dan bukannya seratus peratus daripada karisma dan pidato politiknya. Tanpa bantuan media arus perdana dan sokongan Dr Mahathir, tidak mungkin Anwar akan mempunyai kekuatan seperti yang beliau punyai hari ini.

Cuba lihat satu contoh yang berlaku hari ini dalam politik Umno. Khairy Jamaluddin, kalau bukan kerana menantu Pak Lah, tidak mungkin dengan begitu cepat dapat menjadi naib ketua Pemuda Umno.

Bezanya Khairy dengan Anwar hanya satu Anwar dahulunya mempunyai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di belakangnya manakala Khairy tidak punya apa-apa organisasi atau gerakan yang menyokongnya.

Ijok juga harus dijadikan satu pengajaran kepada PKR bahawa Anwar adalah orang biasa dan tidak mempunyai "magik". Mungkin ini yang menyebabkan Datuk Nalla berubah fikiran dan meninggalkan parti.

Mungkin juga sebelum ini Datuk Nalla juga, seperti ramai pemimpin PKR yang lain, merasakan "magik" Anwar akan mampu membawa mereka menerajui negara selepas pilihanraya umum akan datang. Jadi apabila mimpi tersebut tidak benar, maka kecewalah Datuk Nalla dan beberapa orang lagi pemimpin PKR.

Cabaran besar sekarang terletak di bahu barisan kepimpinan baru PKR sama ada mahu terus menumpang dan berpayung di bawah karisma Anwar atau mahu bekerja sebagai sebuah pasukan yang kuat terutama sayap AMK dan Wanita yang menjadi tulang belakang PKR. Jika kedua-dua sayap ini lemah, maka lemahlah PKR. Mereka mesti bekerja kuat untuk memenangi hati pengundi, terutama di luar bandar.

Memang benar, ketelusan dan kebersihan pilihanraya di Malaysia masih lagi boleh dipertikaikan. Tetapi itu bukanlah satu-satunya faktor yang boleh dijadikan alasan untuk malas bekerja.

Sebuah parti politik, terutamanya parti pembangkang, harus bekerja keras untuk meyakinkan rakyat tentang ideologi perjuangan mereka dan apa yang mereka tawarkan. Lagipun, untuk menang 60 kerusi parlimen dan 120 kerusi DUN bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dilaksanakan dengan hanya kata-kata!

Amin Iskandar adalah bekas aktivis mahasiswa sekitar tahun 1998-2003. Beliau juga merupakan penulis bebas yang terlibat secara aktif dengan pemantauan pilihanraya antarabangsa di Asia. Pernah terlibat dengan pemantauan pilihanraya antarabangsa di Afghanistan, Thailand, Indonesia, Sri Lanka, Filipina dan Pakistan. Beliau akan menulis mengenai isu-isu politik semasa, seni budaya dan gerakan sivil di Asia.