Suhakam jaga kontrak rakyat-kerajaan
Minggu lepas, pada Jumaat 4 Ogos, rakyat Malaysia telah berhadapan dengan tarikh penghukuman kes sodomi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tarikh ini telah ditunda kerana hakim masih lagi belum bersedia untuk membuat keputusan. Pada ketika ini, tarikh hukuman kelihatan tidak penting.
Apa yang menjadi penting, urutan daripada penangguhan itu ialah perbincangan mengenai kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Melalui kenyataan rasminya, Suhakam telah mencanangkan kepada umum bahawa orang ramai berhak dan boleh berkumpul secara aman.
Juga, orang ramai berhak pergi ke mahkamah untuk mendengar keputusan hakim. Dua perkara ini adalah asas hak asasi rakyat Malaysia. Dan hak ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun kerana hak ini termaktub di dalam perlembagaan negara kita.
Dari segi sejarahnya isu-isu hak asasi ini bukan baru hari ini ditimbulkan. Parti-parti pembangkang, kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis sosial perseorangan telah menyuarakan isu ini sejak zaman berzaman.
Perbezaannya kali ini ialah kenyataan ini datang dari Suhakam, satu suruhanjaya yang dibentuk melalui akta parlimen yang dipengerusikan oleh Tan Sri Musa Hitam, bekas salah seorang Timbalan Perdana Menteri.
Suhakam dengan kenyataan rasminya telah mula menyedarkan orang ramai tentang agenda hak-hak asasi. Akhbar arus perdana yang bukan berbahasa Melayu telah menyiarkan secara luas kenyataan Suhakam ini.
Tetapi akhbar berbahasa Melayu tidak memberikan keutamaan, malah ada akhbar yang tidak melaporkan hal itu sama sekali. Ada akhbar yang menukar kenyataan rasmi Suhakam ini seolah-olah pandangan peribadi manusia yang bernama Musa Hitam.
Akhirnya peluang untuk membuka perbincangan secara rasional mengenai hak asasi rakyat negara ini telah dilencongkan, terutama oleh media berbahasa Melayu. Media Melayu juga telah mengalihkan agenda hak asasi ini kepada perbincangan mengenai baik-buruk sikap dan sifat manusia yang bernama Musa Hitam.
Sama ada disengaja atau tanpa disedari, media tidak menerangkan bahawa kenyataan Suhakam ini bukanlah pandangan politik peribadi beberapa orang anggota Suhakam. Kenyataan itu adalah pandangan yang dibuat secara kolektif untuk menerangkan tentang hak-hak manusia yang paling asasi kepada orang ramai.
Rakyat Malaysia wajib diingatkan lagi bahawa Suhakam ditubuhkan untuk tujuan menerangkan agenda hak asasi manusia kepada orang ramai. Hak asasi manusia ialah raison d'etre Suhakam.
Darah dan oksigen Suhakam ialah keunggulan menghormati hak asasi manusia. Suhakam akan menjadi suruhanjaya yang sewel jika ia mula membincangkan harga ikan masin atau harga petai jeruk di Pasar Chow Kit.
Justeru tidak berbangkit dan tidak harus ditimbulkan tentang manusia bernama Musa Hitam yang cuba mencari publisiti murah atau ingin menjadi popular. Perkataan publisiti murah adalah satu klise yang tidak mempunyai apa-apa makna.
Hanya mereka yang kurang membaca dan kurang faham tentang konsep dan ilmu media sahaja yang akan mengeluarkan ayat 'publisiti murah'.
Publisiti murah bermakna membeli iklan dua inci pada halaman 'classified'. Suhakam tidak membeli iklan tetapi mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dasar dan prinsip hak asasi manusia.
Sama ada Musa Hitam ini popular atau tidak popular kepada rakyat Malaysia bukan satu isu. Keunggulan hak asasi manusia tidak bergantung kepada populariti pengerusi Suhakam. Menghormati hak asasi rakyat adalah asas utama untuk kita semua mendirikan sebuah masyarakat yang demokratik, adil dan telus.
Adalah salah untuk mengaitkan hak berkumpul dan bersuara secara aman dengan keganasan. Dua perkara ini berbeza dan tidak semestinya jika satu dibenarkan maka yang satu lagi akan muncul.
Keganasan tidak harus dilihat hanya datang dari orang ramai yang berkumpul sahaja. Dari pengalaman dua tahun kebelakangan, kerajaan juga wajib sama-sama bertanggungjawab. Wujud hukum-hukum sosial lain yang boleh mendorong keganasan apabila orang ramai berkumpul secara aman.
Memperlekehkan hak asasi rakyat atau menyamakan rakyat seperti kanak-kanak yang diberikan pisau adalah satu pandangan yang paling bodoh. Sesiapa saja yang mengeluarkan pandangan ini atau berkongsi menyimpan pandangan ini wajib diperiksa ruang di antara dua telinga mereka.
Kenyataan seperti ini hanya boleh dikeluarkan oleh suara dari lubang hidung!
Hak berkumpul secara aman bukan nilai Timur dan bukan juga nilai Barat. Kebaikan bukan hanya dimonopoli oleh masyarakat Timur. Kejahatan pula bukan monopoli masyarakat Barat.
Jangan dilencongkan agenda hak asasi ini sebagai agenda Barat. Memutar-belitkan agenda hak asasi rakyat akan dilihat sebagai niat untuk menipu orang ramai daripada mengetahui dan memahami hak-hak mereka.
Hak asasi manusia sama seperti oksigen, diperlukan oleh semua manusia sama ada di Barat atau di Timur.
Agenda menghormati hak asasi manusia ini tidak seharusnya dimajukan oleh parti pembangkang atau NGO sahaja. Kerajaan juga wajib menjalankan peranan memupuk dan menghormati hak asasi rakyat yang diperintah.
Suhakam sebagai satu suruhanjaya sedang berdiri antara kuasa yang memerintah dengan rakyat yang diperintah.
Justeru Suhakam sama ada dipimpin oleh Musa Hitam atau sesiapa saja wajib dihormati dan diperkukuhkan. Pada masa ini hanya Suhakam yang dapat melihat secara objektif kontrak sosial antara kerajaan dengan rakyat dan meminta kontrak itu terus dihormati.
Benih-benih demokrasi yang ditaburkan oleh Suhakam wajib disirami dan dipupuk untuk menyuburkan ruang demokrasi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.