Perpaduan Melayu: Tangguhkan selama-lamanya
Umno menghulur tangan kanan untuk berbaik dengan PAS - kononnya demi perpaduan Melayu - tetapi pada masa yang sama tangan kirinya memulas tangan musuh politiknya itu.
Itulah Umno - bermuka-muka untuk mendapatkan sokongan orang Melayu bagi memanjangkan usia politiknya. Pemimpin Umno termasuk Presidennya sangat berharap perjumpaan perpaduan Melayu dengan PAS akan dapat diadakan segera - walau sekali sahaja bagi membuktikan keikhlasannya untuk menyatupadukan kaum itu yang kononnya telah 'berpecah empat.'
PAS pula berlagak seperti merpati - boleh didekat tetapi terbang tinggi bila hendak ditangkap. PAS bermain tarik tali, sekejap mahu bertemu, kemudian menangguhkannya. Hingga kini sudah dua kali mesyuarat jawatankuasa teknikal kedua-dua parti ditangguhkan. Apa muslihat PAS?
Presiden parti Islam mahu suasana yang selesa sebelum beliau berangkat bertemu Dr Mahathir Mohamad. Bagi Datuk Fadzil Noor, suasana selesa itu akan wujud apabila wang royalti minyak diserahkan kembali kepada kerajaan PAS Terengganu dan permit penerbitan Harakah dikembalikan kepada status asal, lapan kali seminggu.
Bagaimanapun tidak nampak Umno akan berlembut bagi memenuhi kedua-dua syarat itu. Sebaliknya Umno mengajak PAS berunding mengenai empat perkara: hak dan keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan Raja-raja Melayu.
Pada masa yang sama Umno semakin keras menghentam pemimpin PAS, terutama Timbalan Presiden Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Media massa arus perdana dan pemimpin Umno membangkitkan semula 'Amanat Haji Hadi' dengan agenda untuk mensabitkan Menteri Besar Terengganu itu atas kesalahan 'mengkafirkan orang-orang Umno.'
Nik Aziz pula cuba digambarkan sebagai seorang yang tergila-gila sokongan Cina hingga sanggup mengunjungi kawasan wabak JE di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
Umno sengaja tekan PAS
Dr. Mahathir pula tidak henti-henti menghentam PAS dan parti-parti pembangkang dengan menuduh mereka sebagai tukang fitnah, merancang huru-hara dan bekerjasama dengan wakil negara asing kerana terus berkempen walau pilihan raya umum telah berakhir.
Tindak-tanduk para pemimpin Umno ini jelas sekali bertentangan dengan matlamat untuk menyatupadukan orang Melayu yang sedang dicanangkan oleh mereka sendiri sekarang. Iklim politik yang tidak selesa ini tidak memungkinkan perjumpaan perpaduan Melayu menjadi kenyataan.
Mengapa suasana tidak selesa ini terus diwujudkan? Adakah ia disengajakan sebagai satu taktik untuk menekan PAS agar membuat keputusan untuk membatalkan perjumpaan yang sedang diusahakan itu?
Jika PAS membatalkannya, maka mudahlah Umno menyalahkan parti Islam itu sebagai pihak yang tidak mementingkan perpaduan dan kepentingan Melayu.
PAS telah menangguhkan mesyuarat jawatankuasa teknikal dua parti itu yang sepatutnya berlangsung pada 27 Mac lalu - dipercayai sebagai tanda protes terhadap tindak-tanduk para pemimpin Umno yang terus-menerus menyelar parti itu sehingga akhir-akhir ini.
Sebenarnya inilah yang ingin dilihat oleh pemimpin Umno - mereka tidak mahu perjumpaan itu menjadi kenyataan kerana perjumpaan itu lebih menguntungkan PAS. Umno terpaksa memenuhi dua syarat PAS jika mahu perjumpaan itu terlaksana.
Tidak mungkin syarat-syarat itu dipenuhi kerana jika ditunaikan, Umno ibarat menggali kuburnya sendiri. Memenuhi dua syarat itu bukan sahaja akan memberikan kemenangan moral, malahan kekuatan kewangan, kepada PAS.
Umno telah menolak syarat- syarat PAS itu tetapi tidak sanggup untuk menyatakan dengan berterus-terang bahawa perjumpaan itu telah dibatalkan kerana tidak mahu dicop sebagai pemecah perpaduan Melayu.
Lalu Umno berdolak-dalik dengan mengemukakan empat perkara asas berhubung kepentingan Melayu dan negara - yang sedia tercatat dalam Perlembagaan - yang memang mereka fikirkan tidak akan diterima oleh PAS.
Amanat Hadi
Dr Mahathir juga bermain tarik tali, beliau tidak mahu dianggap sebagai 'hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.' Beliau tidak mahu dilihat sebagai desperado yang sanggup tunduk kepada permintaan PAS semata-mata demi managih undi orang Melayu. Itu sebabnya beliau menunjukkan sikap yang keras terhadap PAS walau pada masa beliau menghulurkan salam muhibah kepada parti Islam itu.
Kalau Umno benar-benar ikhlas ingin merealisasikan perjumpaan perpaduan Melayu, para pemimpinnya tidak akan membangkitkan isu 'Amanat Haji Hadi' yang sudah berusia 20 tahun.
Memutar-belitkan ucapan Hadi dengan mengatakan ia 'mengkafirkan orang Umno' hanya akan menegangkan hubungan antara penyokong kedua-dua parti. Menghentam Nik Aziz yang melawat Bukit Pelanduk bukan sahaja tidak menyumbang sebarang usaha perpaduan Melayu, malah bersifat antiperpaduan nasional.
Tindakan Dr Mahathir menuduh Nik Aziz mahu memancing undi Cina jelas sekali menonjolkan ketakutan beliau dan Umno terhadap perkembangan pengaruh PAS di kalangan pengundi bukan Melayu.
PAS menyedari usaha tidak ikhlas dan tidak serius Umno bagi merintis perjumpaan perpaduan Melayu tetapi ia terus melayan kerenah parti kerajaan itu demi meraih keuntungan maksimum daripada sandiwara yang sedang dipentaskan itu.
Sejak awal lagi, PAS tahu pertemuan itu tidak mungkin dapat dilaksanakan. Pemimpin parti itu sekadar menari mengikut rentak Dr Mahathir kerana mahu memerangkap pemimpin Melayu yang sedang membilang hari-hari terakhirnya sebagai Wira Dunia Ketiga.
PAS telahpun mendapat keuntungan politik daripada persetujuannya untuk berjumpa dengan Umno bagi membincangkan isu-isu negara. Parti Islam kini tidak lagi dilihat sebagai parti perkauman Melayu dan taksub agama, sebaliknya sebagi alternatif kepada Barisan Nasional.
Apabila berlaku pergaduhan di Jalan Kelang Lama, PAS mempunyai alasan kuat untuk mengumumkan keputusannya agar menangguhkan buat selama-lamanya perjumpaan perpaduan Melayu itu.
Kejadian yang meragut enam nyawa itu telah menyedarkan semua kaum betapa pentingannya perpaduan nasional - inilah masanya untuk menguburkan apa sahaja yang sensitif dan negatif, termasuk politik perkauman.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.