Nampaknya sandiwara politik Malaysia menyiarkan ulang tayang 'peletakan jawatan' Presiden MCA Datuk Seri Ling Liong Sik dan Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Cuma pelakon utamanya kali ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Sejak awal lagi drama 'Gertak Fauzi' ini dijangka berakhir dengan ' happy ending ' seperti juga drama Ling dan Aziz pada hujung tahun lalu. Walau Fauzi belum mengumumkan secara rasmi penarikan surat itu, namun beliau telah memberikan isyarat jelas akan berbuat demikian.

"Saya akan menghantar salinan surat peletakan jawatan saya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang selepas Menteri Besar, Datuk Adnan Yaakob menerima peletakan jawatan saya," katanya Isnin lalu.

Fauzi juga menyatakan: "Saya menghormati pandangan Sultan, Perdana Menteri, Menteri Besar, Datuk Najib Razak, Datuk Hishamuddin Hussein dan Tan Sri Muhyiddin Yassin."

Semua personaliti yang disebut oleh Fauzi itu meminta beliau mengkaji semula keputusan melepaskan jawatannya. Apabila Adun itu menyatakan beliau menghormati pandangan-pandangan tersebut, beliau memberikan isyarat bersedia mematuhinya.

Begitu juga dengan Adnan. Menteri Besar itu tentunya akan menolak hasrat peletakan jawatan Fauzi. Apabila beliau menolaknya, Fauzi akur dan terus kekal sebagai Adun Beserah.

Inilah yang paling baik bagi Fauzi dan Umno. Beliau telah menyatakan dari awal lagi bahawa peletakan jawatannya akan ditarik balik jika Umno menyiasat dakwaan politik wang yang berlaku di bahagian Kuantan.

Majlis Tertinggi pula bersetuju untuk menyiasat dakwaannya itu. Satu jawatankuasa bertindak telah ditubuhkan dan siasatan segera akan dilakukan. Permintaannya dipenuhi dan beliau nampaknya sudah menang!

Jawatan bukan isu pokok

Jangan mimpi Adnan akan menerima peletakan jawatan Fauzi itu kerana Umno dan Barisan Nasional tidak mampu menghadapi satu lagi pilihanraya kecil selepas kekalahan yang memalukan di Lunas tahun lalu.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan kerajaan terus-terusan dipersoal kewibawaannya dan Umno yang kelam-kabut sekarang, satu lagi pilihanraya kecil bakal menjadi tragedi bagi parti Melayu yang semakin terpinggir itu.

Fauzi dijangka akan membuat pengumuman rasmi penarikan surat peletakan jawatannya bila-bila masa sahaja. Apabila ia berlaku, bukan sahaja pengundi Beserah, malah seluruh negara akan hilang kesempatan untuk 'berpesta politik.'

Sejak pilihanraya kecil kecil Sanggang, Pahang pada April tahun lalu dan kemudian diikuti pilihanraya kecil Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan disusuli pula Lunas, pilihanraya kecil diberi penuh perhatian oleh rakyat seolah-olah pilihanraya umum.

Namun begitu para pemerhati politik berpendapat, soal sama ada Fauzi meletakkan jawatan atau menarik balik keputusannya bukanlah perkara pokok sekarang. Perkara yang dianggap lebih penting daripada jawatan Adun Beserah itu ialah laporan polis terhadap Setiausaha Agung Umno merangkap Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob.

Sama ada Fauzi kekal atau tidak dalam politik Pahang sudah tidak penting lagi. Laporan polis berhubung penyelewengan kuota tanah balak terhadap bekas Menteri Besar Pahang itu lebih besar dampaknya. Tindakan Fauzi mendedahkan perkara itu menunjukkan gejala rasuah dan politik wang kuat bersarang dalam Umno dan di kalangan para pemimpinnya.

Arang sudah diconteng pada muka Umno walau Fauzi membatalkan hasrat untuk meletakkan jawatannya dan menarik balik laporan polisnya terhadap Khalil selepas ini. Seluruh rakyat sudah tahu apa yang berlaku dalam politik balak di Pahang.

Walau ia sekadar satu laporan dan belum dibuktikan kesahihannya, ia tetap menjadi isu dan modal politik yang baru dan segar untuk musuh-musuh politik Umno. Laporan polis terhadap Khalil itu akan terus disebut oleh parti-parti pembangkang sebagai bukti Umno dan para pemimpinnya bergelumang dengan rasuah dan penyelewengan.

Kini bertambah sukar tugas Umno untuk menepis dakwaan-dakwaan rasuah dan penyelewengan terhadap parti itu dan para pemimpinnya kerana laporan terhadap Khalil itu dibuat sendiri oleh seorang wakil kerajaan dan pemimpin parti.

Mengundang risiko besar

Laporan itu dibuat oleh Fauzi. Selain Adun Beserah, beliau juga bekas ahli Parlimen dan bekas Timbalan Menteri. Tambahan, beliau seorang tokoh yang dihormati di Pahang dan juga peringkat nasional.

Fauzi tidak akan membuat laporan polis jika tidak mempunyai bukti-bukti kukuh. Beliau sedar tindakannya itu mengundang risiko besar - bukan sahaja kepada dirinya dan Khalil, malah kepada Umno dan kerajaan.

Khalil bukannya sebarangan orang. Beliau seorang menteri kanan dalam kabinet dan Setiausaha Agung Umno. Seorang ahli politik tidak akan bertindak seberani Fauzi jika ilmu tidak penuh di dada.

Tentunya Fauzi telah berfikir panjang, mengkaji tatacara pentadbiran Pahang dan bidang kuasa Menteri Besar serta mendapatkan nasihat para peguam sebelum membuat laporan polis itu.

"Saya bersedia dikenakan tindakan jika laporan dan dakwaan saya tidak betul," demikian tegas beliau semasa mempertahankan tindakannya itu.

Kalau laporan itu dibuat oleh Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Noor atau Pengerusi DAP Lim Kit Siang, tentunya mudah kerajaan dan Umno menepisnya dengan menuduhnya sebagai usaha jahat parti pembangkang untuk merosakkan nama baik pemimpin Umno.

Tetapi laporan polis itu datang daripada Fauzi, pemimpin Umno sendiri! Apa lagi yang dihendak diperkatakan oleh Umno dan pemimpinnya?

Presiden Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hanya mampu berkata: "Khalil tidak dianggap bersalah selagi dia tidak terbukti bersalah oleh mahkamah."

Benar, itulah kata mahkamah negara tetapi makamah rakyat telah membuat keputusannya.