Apakah dengan keruntuhan Tembok Berlin pada 1989, maka dengan rasmi berakhirlah Perang Dingin? Persoalan ini sebenarnya bersifat akademik, yang wajib kita longgokkan kepada parasit-parasit akademia di universiti-universiti agar mereka terus dapat bertelagah sesama sendiri sebagai cara menyara hidup mereka.

Untuk penggerak badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial dan intelektual masyarakat, masih ada pekara induk, bersangkutan dengan Perang Dingin, masih terbengkalai dan wajib diselesaikan.

Apabila dilantik presiden, Jimmy Carter daripada Parti Demokrat pada 1976 telah mengeluarkan Doktrin Carter yang mempengaruhi suasana politik dunia pada masa itu hingga ke hari ini.

Doktrin ini berasaskan agenda hak asasi manusia. Seperti Revolusi Perancis 200 tahun dahulu - yang mengaju dan menyebarkan tiga tuntutan falsafah yakni kesamaan darjat, kesaksamaan hak dan persaudaran sejagat - Doktrin Carter ini juga menyebar, mengembang dan menuntut diwujudkan hak asasi, demokrasi dan kebebasan manusia sejagat.

Falsafah dan cita-cita hak asasi manusia ini bukanlah agenda baru. Sesudah Perang Dunia Kedua dan pembentukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), agenda hak asasi telah dimaktubkan dalam Artikel ke-19 Piagam PPB. Hingga hari ini, umur Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB telah melintasi usia lebih setengah abad.

Presiden Jimmy Carter menggubal doktrinnya berdasarkan perisytiharan PPB. Tetapi doktrin ini mempunyai akidah yang agak berbeza kerana latar belakang agenda hak asasi yang dicanangkan oleh presiden Amerika Syarikat ini adalah suasana Perang Dingin di Eropah. Ia bersalut pula dengan pejuangan bersenjata oleh pelbagai gerakan pembebasan di Dunia Ketiga.

Justeru, hak asasi yang digembar-gemburkan oleh kerajaan Amerika pada 1970-an wajib dibaca sebagai satu strategi politik.

Karl Marx terbukti benar

Tujuan asal ialah untuk meminggirkan Kesatuan Russia dan sekutunya di Eropah Timur. Agenda hak asasi manusia telah digunakan sebagai dasar luar negara Amerika untuk memenangi hati dan sanubari rakyat dunia. Doktrin ini cuba mempropagandakan bahawa sistem demokrasi Amerika (baca: sistem ekonomi kapitalis) lebih unggul dan lebih adil dari sistem ekonomi sosialis yang diterajui oleh Kesatuan Russian dan Republik China Merah.

Ketika doktrin ini diwar-warkan, kuasa ketenteraan Amerika telah dipukul teruk dan baru sahaja menerima kekalahan di tangan Gerakan Pembebasan Rakyat Vietnam.

Ketika ini, kuasa imperialis Amerika dan kaum pemodal antarabangsa berasa terancam, justeru diperlukan satu falsafah 'segar' untuk terus dapat membentengi diri mereka daripada dihanyutkan oleh arus kebangkitan rakyat Asia, Afrika dan Amerika Latin. Dalam era Perang Dingin - pertempuran ideologi kapitalis dengan sosialis - Amerika Syarikat telah mengangkat bendera hak asasi manusia sebagai obor dan lambang demokrasi.

Dengan niat untuk menyelamatkan kaum pemodal antarabangsa, agenda hak asasi digunakan untuk memperlekehkan sistem sosialis yang diperkatakan tidak menghormati hak asasi dan kebebasan manusia. Rakyat di negara-negara blok Timur (komunis atau sosialis) dikatakan tidak mempunyai kebebasan jika dibandingkan dengan rakyat di Eropah Barat.

Pada waktu ini nama-nama seperti Shakarov, Solynizen, Les Walensa dan berpuluh-puluh lagi nama tahanan politik di Blok Timur menjadi mainan media antarabangsa sebagai tanda dan bukti betapa tidak wujud hak asasi dan kebebasan di blok sosialis. Nama-nama itu hari ini tidak lagi mempunyai erti tetapi waktu itu ia telah menjadi simbol hak asasi yang diperjuangkan oleh Amerika.

Rakyat Asia, Afrika dan Amerika Latin, untuk seketika, terpukau melihat 'keunggulan' sisem demokrasi yang dikepalai oleh Amerika Syarikat. Mereka juga mula bersedia untuk menghayati konsep, falsafah dan doktrin hak asasi manusia. Di sini terbukti kebenaran yang telah ditunjukkan oleh Karl Marx kira-kira 100 tahun lalu, bahawa sistem ekonomi kapitalisme ini akan menggali kubur mereka sendiri.

Kumpulan NGO, kumpulan hak asasi, aktvis sosial dan intelektual masyarakat dan rakyat telah berjaya meruntuh-bina (deconstruct) Doktrin Carter. Konsep dan falsafah hak asasi ini untuk pertama kalinya telah dipopularkan dan diberikan penilaian baru. Rakyat dunia mula menghayati dan sedar akan hak-hak mereka sebagai insan.

Paku buah keras

Akhirnya, rakyat Asia, Afrika dan Amerika Latin pun memulangkan paku buah keras kepada Amerika Syarikat.

Kerana ketika itu dapat dilihat dengan jelas regim-regim junta tentera seperti Jeneral Augusto Pinochet di Chile, Ahmad Reza Pahlavi (Shah) di Iran, Jeneral (Presiden) Suharto di Indonesia, Jeneral Samoza di Nicaragua, Jeneral Park Chung Hee di Korea Selatan, Mobuto Seko Seko di Congo dan Ferdinand Marcos di Filipina - adalah contoh-contoh kerajaan kuku besi yang didukung dan disusui oleh Amerika Syarikat sendiri.

Semua regim ini adalah pemerintah kuku besi yang ganas lagi zalim. Mewujudkan hak asasi dalam regim ini samalah seperti meminta along (ceti) melupuskan hutangnya. Tingkah laku anak didik Amerika membuktikan bahawa agenda hak asasi yang dilaung-laungkan oleh pendukung mereka - Amerika Syarikat - adalah omong-omong kosong.

Doktrin hak asasi Carter ini telah diubah suai oleh para aktivis sosial di negara-negara Dunia Ketiga untuk dijadikan mekanisma politik bagi menjatuhkan regim-regim zalim. Doktrin Carter akhirnya membawa laknat kepada Reza Pahlevi, Park Chung Hee dan Samoza. Hanya Suharto, Marcos dan Pinochet yang dapat bertahan tetapi akhirnya berjaya ditumpaskan juga oleh gerakan rakyat.

Hari ini agenda hak asasi semakin diterima umum sebagai satu falsafah kehidupan moden. Konsep menghormati hak asasi manusia; menghormati hak individu untuk bersuara, berkumpul dan berpersatuan telah diterima sebagai satu jalur falsafah kehidupan.

Di mana-mana saja di pelusuk dunia ini, akan ditemui individu atau kumpulan NGO yang memperjuangkan agenda hak asasi. Hak kebebasan individu bukan lagi satu dongeng kosong atau dakyah dari Barat.

Justeru Doktrin Carter yang diwujudkan sebagai strategi politik era Perang Dingin kini telah berjaya diubah suai. Agenda asal yang diwar-warkan oleh Amerika Syarikat untuk memberikan hak kepada kaum pemodal antarabangsa - agar bebas menjalankan perniagaan dan membolot kekayaan - kini memukul diri sendiri.

Hari ini, walaupun ramai 'anak-anak angkat' Amerika yang telah dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah hasil gerakan rakyat, tetapi masih wujud lagi pemimpin negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin yang terus mengamalkan sistem pemerintahan zalim lagi ganas.

Regim-regim ini tidak mengamalkan demokrasi, gagal menghormati hak asasi individu dan terus menginjak-injak hak rakyat.

Justeru Doktrin Carter yang telah diubah suai ini masih lagi relevan untuk terus dikembangkan oleh parti politik, aktivis sosial, kumpulan NGO dan intelektual masyarakat. Hari ini hak asasi bukan agenda Perang Dingin Amerika Syarikat atau rancangan licik George Soros atau konspirasi Zionis untuk menakluki dunia.

Kebebasan individu bukan budaya Barat atau budaya Timur. Kebebasan ialah hak mutlak manusia untuk melayari hidupnya dan menguji potensi dirinya sebagai seorang insan.