Nilai dan jati diri Utusan
Minggu lepas tanpa segan silu Utusan Malaysia berbuat sesuatu yang selama ini tidak pernah dilakukan oleh akbar ini - meminta maaf. Bukan kerana akhbar itu setaraf dengan Le Monde , akhbar harian kota Paris yang tidak pernah tersilap laporan, justeru tidak ada konsep meminta maaf baginya.
Jika Utusan Malaysia sedar konsep 'meminta maaf,' maka pasti setiap keluaran akhbar itu ada berita ' Utusan memohon maaf kepada si anu, si anu atau persatuan ini, persatuan itu'.
Meminta maaf, bagi Utusan , bukan kerana dasar prinsip kewartawanan apabila wujud kesilapan dalam laporan berita. Utusan Malaysia 'terpaksa' meminta maaf dan melutut kerana pihak yang difitnah itu adalah seorang rakyat Amerika Syarikat dan bekas duta negara itu ke Malaysia.
Tiba-tiba Utusan terkejut dan tersedar tentang perangai buruknya. Selama ini akhbar itu kerap melakukan kesilapan terhadap rakyat Malaysia tetapi ia berbuat tidak peduli sahaja. Kini, Utusan sedar bahawa perangai buruknya itu tidak mungkin dapat dilakukan sewenang-sewenangnya terhadap rakyat negara lain. Bertemu buku dengan ruas!
Sebenarnya kewibawaan Utusan begitu merosot sekali. Umum pasti teringat kembali dua tahun lalu, semasa sekumpulan penyokong reformasi wanita berkumpul di depan Istana Negara sebagai membantah keganasan dan kezaliman Dr Mahathir Mohamad. Akhbar ini telah menulis 'berita palsu' dengan menuduh kumpulan demonstran itu pelacur yang diupah oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan reformasi.
Dua berita tepat Utusan
Jika hendak dikupas bentuk-bentuk fitnah dan kesilapan laporan akhbar ini, mungkin seluruh hutan tropika di Pulau Borneo terpaksa ditebang untuk dijadikan kertas agar berita-berita putar-belit, fitnah, bohong dan salah lapor dapat didedahkan.
Malah pada hari ini ada sebuah legenda telah direka oleh rakyat. Cerita ini daripada pengalaman terkumpul pembaca akhbar ini. Menurut komedi itu, hanya ada dua berita yang boleh dikatakan tepat dalam Utusan Malaysia . Pertama keputusan angka empat nombor ekor dan kedua jumlah gol keputusan perlawanan bolasepak.
Sayangnya menurut komedi ini, dua berita ini masih boleh disangsikan kesahihannya jika dilaporkan Utusan . Justeru, moralnya adalah jika khaki judi ingin menjadi kaya-raya daripada wang nombor ekor, mereka harus merujuk nombor bertuah mereka di akhbar-akhbar Cina atau Tamil untuk mendapatkan laporan yang sahih.
Bekas duta Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur yang difitnah itu, John R Malott, pernah menulis dalam Malaysiakini . Beliau menceritakan pengalamannya berhubung beberapa laporan Utusan Malaysia mengenai dasar kerajaan negara itu. Melalui pengalamannya, Malott secara tepat dan betul telah menunjukkan kepada umum bahawa akhbar Utusan bukan semuanya tidak baik dan tidak berguna.
Masih ada dua kebaikan yang boleh diberikan oleh akhbar ini. Pertama jika ke pasar, akhbar Utusan amat berguna untuk membungkus ikan yang dibeli. Kedua, menurut kata bekas duta ini, apabila kita memiliki anak-anak kucing, maka akhbar Utusan Malaysia boleh dijadikan tempat berak anak kucing.
Pandangan bekas duta itu wajar diberikan perhatian serius, terutama setelah Utusan sendiri melutut dan meminta maaf kepada Malott. Kementerian Penerangan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan perlu menyambut dengan 'kreatif' idea bekas duta ini.
Kegunaan-kegunaan Utusan boleh ditambah lagi - cara terbaik untuk memanfaatkan lagi kegunaan kreatif akhbar ini adalah dengan mengadakan pertandingan 'Seratus Kegunaan Utusan Malaysia .' Pertandingan ini boleh menyelamatkan kekalutan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, dan pertandingan ini juga dijangkakan meninggikan lagi prestij Utusan Malaysia .
Kegunaan kucing mati
Pertandingan ini pula boleh dilakukan secara global - Malott sendiri menulis dan mengeluarkan pandangan dari Los Angeles, California (bukan dari Shah Motel, Petaling Jaya). Pertandingan seperti ini pasti dapat mengharumkan nama Utusan dalam buku Guinness Book of Records dan akan meningkatkan lagi murtabak (maaf, martabat) ketuanan Melayu - garis perjuangan akhbar ini.
Pada waktu yang sama, nama Malaysia pasti menjulang tinggi (klise harian Utusan Malaysia ). Pertandingan yang unik ini dipercayai boleh 'menggamit' pelancong-pelancong asing agar berbondong-bondong ke Malaysia.
Sebenarnya pertandingan 'Seratus Kegunaan Utusan Malaysia ' bukan mustahil. Pada tahun 1990-an dahulu, seorang pelukis komik di Amerika Syarikat telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Seratus Kegunaan Kucing Mati (100 Ways of Using Dead Cats). Komik ini telah diselar hebat oleh persatuan pencinta-pencinta kucing dan persatuan sahabat binatang. Ada pihak menuduh buku ini tidak bermoral. Apapun tuduhan yang dilemparkan terhadap penulisnya, buku ini terus laris dan menjadi best-seller .
Pertandingan 'Seratus Kegunaan Utusan Malaysia' mungkin akan mendapat bantahan. Persatuan Cekik Leher, Kesatuan Ketuanan Melayu dan Parti Penyokong Sebaran Fitnah pasti akan mengeluarkan kritikan kerana menurut jalur pandangan mereka, idea pertandingan 'Seratus Kegunaan Utusan Malaysia' adalah cetusan idea daripada budaya Barat.
Hujah kumpulan-kumpulan yang menentang itu barangkali ada kebenarannya kerana cadangan ini bermula daripada pandangan Malott, seorang Amerika (mungkin juga seorang Yahudi?). Tetapi hujah seperti ini amat senang dipatahkan; apabila diterangkan bahawa tulisan rumi yang digunakan oleh Utusan Malaysia itu sendiri berasal daripada tulisan orang Rom - juga budaya Barat.
Akhirnya untuk memastikan kejayaan pertandingan 'Seratus Kegunaan Utusan Malaysia ,' satu syarat ketat wajib dikenakan kepada mereka yang bakal bertanding. Sesiapa saja yang mencadangkan Utusan Malaysia boleh digunakan di tandas sebagai menggantikan air boleh dibatalkan penyertaan mereka secara automatik! Kenapa?
Kerana idea ini bukanlah asli, tabiat ini telah lama dipratikkan oleh orang ramai.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.