Anti-climax - itulah gambaran drama memerangi politik wang yang dipentaskan oleh Umno.

Parti yang kononnya menyambut ulang tahunnya ke-55 hari ini terus mengulangi sifat lamanya, melepaskan batuk di tangga dalam soal menangani gejala politik wang yang semakin mereputkannya.

Setelah gempar dengan ketakutan terhadap gejala ini dan mencadangkan pelbagai langkah drastik untuk menanganinya, pucuk pimpinan Umno tidak berani bertindak lebih jauh.

Lembaga disiplin Umno sekadar berani menggantung keahlian enam pemimpin berkenaan dan melarang mereka daripada memegang serta merebut sebarang jawatan dalam parti selama enam tahun.

Enam pemimpin yang dikenakan hukuman kerana didapati mengamalkan politik wang dalam pemilihan bahagian masing-masing adalah Ketua bahagian Gopeng Mustafa Kamal Mohd Nawi, calon timbalan ketua bahagian Zaki Din (Bagan Serai), ketua bahagian Datuk Zainol Md Isa (Baling), Ketua penerangan Mohamad Anuar Baharuddin (Gopeng), ketua penerangan Rahmat Abdullah (Selayang) dan ketua bahagian Datuk Abdullah Omar (Muar).

Ahli-ahli parti dan pemerhati politik berharap tindakan yang lebih tegas diambil seperti yang dikenakan ke atas Datuk Tajuddin Abdul Rahman beberapa tahun lalu. Dalam kes bekas exco Pemuda Umno itu, beliau telah dipecat daripada parti kerana didapati bersalah menggunakan politik wang bagi merebut jawatan di bahagian Pasir Salak.

Bagaimanapun pesalah-pesalah politik wang kali ini mendapat hukuman yang lebih ringan - cuma digantung keahlian mereka. Tindakan ini bermakna mereka boleh aktif semula dalam parti apabila tamat tempoh hukuman sedangkan Tajuddin terpaksa memohon semula untuk menjadi ahli Umno.

Ahli-ahli parti mengharapkan tindakan yang lebih keras, termasuk memaksa pemimpin yang terlibat dengan gejala ini meletakkan jawatan-jawatan lain yang diperolehi menerusi parti seperti kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco), ahli Dewan Rakyat, jawatan dalam kabinet atau apa-apa pelantikan politik.

Hanya urusan parti

Dalam kes baru-baru ini, Datuk Zainol Md Isa yang merupakan Adun Bayu (Kedah) dan juga exco negeri sepatutnya dikenakan tindakan lebih keras - umpamanya beliau didesak supaya melepaskan kedua-dua jawatan yang diperolehinya menerusi parti.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah Datuk Syed Razak Syed Zain telah menegaskan, Datuk Zainol tidak perlu melepaskan kedua-dua jawatannya itu kerana apa yang berlaku hanya urusan dalaman parti dan tidak melibatkan jawatan awam.

Reaksi daripada pemimpin-pemimpin utama Umno ini amat mengecewakan rakyat. Memang benar ia isu dalaman parti tetapi ia tetap melibatkan kedua-dua jawatan itu kerana Zainol memegang jawatan itu menerusi parti.

Adun Bayu bertanding dalam pilihan raya umum lalu atas tiket Barisan Nasional (Umno), bukan sebagai calon bebas. Oleh itu setiap tindak-tanduknya melibatkan parti dan kerajaan negeri. Kalau bukan kerana kedudukannya sebagai ahli parti dan wakil rakyat Umno, tidak mungkin Menteri Besar melantiknya sebagai anggota exco kerajaan negeri.

Oleh itu tidak kena bagi pemimpin-pemimpin utama dan Zainol sendiri 'cuci tangan' dalam kes ini dengan alasan yang tidak dapat diterima oleh akal rakyat.

Memang benar dari segi undang-undang kedudukannya sebagai Adun dan exco tidak terjejas tetapi dari segi moral, bagaimana? Sepatutnya pemimpin Umno dan Zainol merenung keadaan ini dengan rasa penuh tanggungjawab dan keinsafan.

Sudah menjadi budaya pemimpin Umno untuk memisahkan tanggungjawab moral dengan tanggungjawab undang-undang. Setiap kali muncul kes salah laku pemimpinnya, aspek moral diketepikan bagi memelihara kedudukan mereka sebagai pemimpin parti, wakil rakyat atau menteri.

Kemenangan moral

Tidakkah tanggungjawab moral lebih penting daripada hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah? Di negara-negara lain, pemimpin politik meletakkan komitmen moral di tempat teratas. Mereka melepaskan jawatan sebelum kes mereka dirujuk ke mahkamah.

Umno sepatutnya bertindak lebih berani jika benar-benar mahu memulihkan imejnya. Jika ia mendesak Zainol meletakkan jawatan Adun dan exco kerana faktor moral, parti ini akan dipandang tinggi oleh ahli dan masyarakat.

Mengapa Umno tidak berani bertindak lebih jauh terhadap Zainol - takut untuk menghadapi satu lagi pilihan raya kecil? Umno dan beliau sepatutnya berani berkorban demi memelihara maruah dan nama baik parti.

Setidak-tidaknya Umno hendaklah mendesak Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kedah menggantungkan jawatan wakil rakyat dan exco yang disandang oleh Zainol sekarang untuk membuktikan ketegasan parti dalam memerangi gejala ini.

Tidak rugi kehilangan seorang wakil rakyat yang disahkan mengamalkan politik rasuah dan kehilangan satu kerusi dewan undangan negeri jika kehilangan dan kekalahan itu memberikan kemenangan moral yang lebih besar kepada parti dan memberi pengajaran kepada ahli-ahli supaya jangan mendekati politik wang.

Apabila Umno berkompromi dalam soal kerendahan moral, rakyat akan berasa semakin jijik terhadapnya. Langkah 'melepaskan' Zainol ini akan menyebabkan wakil-wakil rakyat Umno yang lain tidak berasa takut untuk mengamalkan politik wang pada masa depan kerana ia tidak akan menjejaskan jawatan mereka dalam kerajaan.

Tindakan menyimpan pemimpin-pemimpin yang mengamalkan politik wang bukan sahaja akan merosakkan parti tetapi memberikan peluru baru kepada parti lawan untuk terus memburuk-burukkan Umno.

Kegagalannya untuk bertindak tegas terhadap pengamal-pengamal politik wang membayangkan Umno yang ada sekarang tidak layak untuk menyambut ulang tahun ke-55. Usia Umno (baru) masih mentah - ia lahir pada tahun 1987!