ISA7 dan martabat gerakan mahasiswa
Tanggal 8 Jun 2001 merupakan satu tarikh keramat bagi gerakan mahasiswa di Malaysia. Pada tarikh ini, mahasiswa yang bergabung di bawah Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) berdemonstrasi di Masjid Negara bagi membantah tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menahan 10 aktivis pro-reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
GMMI merupakan gabungan beberapa persatuan mahasiswa yang disenaraikan oleh kerajaan sebagai pertubuhan haram seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Universiti Bangsar Utama (UBU), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i (JKMI) dan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA).
Demonstrasi itu menyebabkan tujuh mahasiswa dari UiTM, UKM, UTM dan UM ditahan dan dibuang daripada universiti masing-masing tidak beberapa lama selepas itu. Di samping itu, demonstrasi tersebut juga telah menyebabkan Khairul Annuar dan Fuad Ikhwan ditahan di bawah ISA. Sehingga kini, perbicaraan kes mereka yang dikenali sebagai "ISA 7", masih lagi berjalan.
Dalam perbicaraan kes itu baru-baru ini, mahkamah menangguhkannya kepada 17 hingga 19 Disember 2007. Cuba bayangkanlah betapa seksanya aktivis ISA 7 ini menunggu. Seorang daripada mereka yang juga teman saya, Rafzan Ramli yang ketika dibuang kampus pada 2001 masih lagi bujang kini telahpun beristeri dan bakal menimang cahayamata pertama sebelum perbicaraan kesnya bersambung.

Kesemua tahanan ISA terbabit telahpun dibebaskan. Namun "ISA 7" masih turun naik mahkamah. Ini semua kerana bekas pelajar ini mengambil prinsip tidak mahu meminta maaf kepada pihak universiti dan kerajaan Malaysia kerana berdemonstrasi.
Terima kasih harus diucapkan kepada peguam-peguam hak asasi manusia yang telah membela mereka tanpa jemu-jemu, seperti Latheefa Koya, Ameer Hamzah, Zulkifli, Edmund Bond dan Nik. Tanpa bantuan peguam-peguam ini, tidak mungkin "ISA 7" dapat terus bertahan.
Kes "ISA 7" ini ada juga hikmahnya. Kalau tidak kerana ISA 7, tidak mungkin Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan lahir. SMM adalah gabungan pertubuhan mahasiswa yang boleh dikatakan paling progresif di Malaysia dan disertai pelajar pelbagai kaum. Tarikh 8 Jun telah dipilih oleh SMM sebagai "Hari Hak Asasi Mahasiswa" sempena memperingati tujuh mahasiswa yang dibuang kampus hanya kerana mereka berdemonstrasi secara aman.
Gerakan mahasiswa di Malaysia masakini seringkali dikritik sebagai lemah dan lesu. Ia juga sering dibandingkan dengan gerakan mahasiswa tahun 60-an dan 70-an yang dikatakan kuat dan menjadi jurubicara rakyat. Manakala mahasiswa masakini dilihat tidak lagi memperjuangkan isu-isu rakyat. Mereka lebih berminat dengan "Akademi Fantasia" dan banyak lagi program-program realiti TV.
Perjuang isu-isu rakyat
Akta Universiti dan Koleh Universiti (Auku) yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi menteri pelajaran, dikatakan menjadi punca kelesuan mahasiswa kerana menyekat kebebasan mereka untuk aktif dalam memperjuangkan isu-isu rakyat dan menyatakan sokongan kepada parti-parti politik (kecuali parti politik yang bergabung dalam BN) dan kesatuan sekerja.
Tetapi jika hanya menyalahkan Auku sahaja tidak adil rasanya kerana banyak lagi faktor lain yang harus diambilkira. Bukankah pepatah juga ada berbunyi, "kalau nak seribu daya, tak nak seribu dalih".
Ada seorang teman saya dari India oleh kerana kepercayaannya bahawa gerakan mahasiswa mampu merubah negaranya menjadi lebih baik telah "masuk dan keluar" lapan universiti hanya untuk menyusun gerakan mahasiswa.
Teman saya ini telah menjadi aktivis mahasiswa sepenuh masa dan masih lagi belum berjaya menamatkan pengajian ijazahnya walaupun kini telah berumur 30-an. Dia merasakan pengorbanannya akan membuahkan hasil pada masa akan datang. Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa di India, ini adalah perkara biasa dan ramai aktivis mahasiswa yang melakukan perkara ini.
Di Indonesia, sebelum presiden Soeharto dijatuhkan, begitu ramai aktivis mahasiswa yang tidak menamatkan pengajian kerana mahu menjadi aktivis sepenuh masa. Dan hasilnya pada tahun 1998, Soeharto digulingkan oleh aktivis mahasiswa yang bergabung dengan kekuatan rakyat.
Seorang teman saya yang sekarang ini aktif dengan IKOHI (Ikatakan Orang Hilang dan Korban), dalam masa yang sama, sedang berusaha untuk menamatkan pengajian ijazahnya. Dia memberitahu saya, sewaktu zaman sebelum Soeharto tumbang, mereka tidak mempunyai masa untuk belajar kerana harus menjadi aktivis sepenuh masa. Ramai juga aktivis mahasiswa yang dibuang kampus kerana Indonesia, di zaman Soeharto juga, mempunyai undang-undang yang mirip Auku.
Di Korea Selatan, walaupun demokrasinya sudah maju jika dibandingkan dengan Malaysia, tetapi pihak universiti mempunyai kuasa untuk membuang mahasiswa yang dikatakan terlibat dengan gerakan kiri dan bersimpati kepada Korea Utara.
Mahasiswa negara jiran
Semasa berada di Korea Selatan tahun lalu, saya sempat bertemu dengan beberapa mahasiswa yang dibuang universiti kerana menyatakan sokongan secara terbuka kepada kesatuan sekerja. Mereka langsung tidak merasa sedih dibuang kampus, malahan merasa bangga dan berjanji akan terus aktif dengan gerakan mahasiswa sehingga "keadilan sosial" ditegakkan.
Ini adalah beberapa contoh gerakan mahasiswa di negara-negara jiran kita yang jauh dan dekat. Kesungguhan dan keazaman mereka menyebabkan gerakan mahasiswa terus subur. Mereka akan tampil menyatakan pendirian mereka apabila timbul isu-isu yang berkaitan dengan penindasan dan ketidakadilan sosial.
Pada 8 Jun 2007 (Jumaat) yang lalu, saya dan beberapa orang teman menghadiri program yang dianjurkan oleh SMM sempena hari hak asasi mahasiswa, di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Program ini diadakan sempena memperingati perjuangan mahasiswa masa dulu dan kini.
Oleh kerana sekatan daripada pihak universiti, program sebegini terpaksa dilakukan di luar kampus. Ini amat menyedihkan. Walaupun mahasiswa mempunyai hak untuk menjalankan program di dalam universiti, ianya telah dinafikan oleh pihak pentadbirannya, oleh kerana program sebegini tidak disukai oleh pemerintah.
Program ini dihadiri oleh mahasiswa, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti politik pembangkang. Kehadiran amat positif. Tempat program penuh dengan hadirin. Selain ucapan pemimpin mahasiswa, "slide show" mengenai aktiviti SMM dan nyanyian lagu-lagu rakyat juga dipersembahkan kepada hadirin.
Teman yang hadir bersama saya membisikkan kepada saya "macam ceramah politik parti pembangkang saja program ini". Mungkin benar juga dakwaan teman saya kerana ucapan salah seorang pemimpin mahasiswa, tidak ubah gayanya seperti seorang pemimpin pembangkang yang terkenal.
Kembalikan martabat
Inilah persepsi masyarakat umum kepada kumpulan mahasiswa yang melawan arus. Jika kita menghadiri program kumpulan mahasiswa yang "bersama arus" pula, kita akan saksikan program yang tidak ubah seperti yang dianjurkan oleh parti komponen BN.
Tidak salah untuk mempunyai idola. Baik yang 'mengidolakan' pemimpin kerajaan mahupun yang 'mengidolakan' pemimpin pembangkang. Yang paling penting ialah mahasiswa harus mempunyai identiti dan jati diri mereka sendiri.
Inilah cabaran yang paling besar bagi gerakan mahasiswa masakini untuk membina identiti mereka sendiri dan mengembalikan kepercayaan majoriti mahasiswa (yang rata-ratanya tidak berminat dengan gerakan mahasiswa) bahawa gerakan mahasiswa benar-benar memperjuangkan nasib mahasiswa.
Tetapi jika membiarkan gerakan mahasiswa diperalatkan oleh parti-parti pemerintah mahupun parti politik pembangkang, maka ia merupakan pengkhianatan kepada gerakan mahasiswa. Taraf gerakan mahasiswa harus diangkat martabatnya kembali.
Persatuan mahasiswa baik yang bersama pemerintah mahupun yang bersama pembangkang, tidak harus lagi membiarkan diri bekerja di bilik gerakan pilihanraya sebagai tukang tampal poster apabila tiba pilihanraya kecil ataupun pilihanraya umum.
Banyak lagi isu-isu mahasiswa yang harus diperjuangkan seperti masalah hubungan antara kaum di dalam universiti dan masalah pengangguran di kalangan mahasiswa lepasan ijazah.