Enam orang pemimpin Umno bahagian akhirnya dijadikan 'kambing korban' untuk menyelamatkan maruah parti dan untuk membuktikan kesungguhan Presidennya Dr Mahathir Mohamad memerangi politik wang.

Kambing korban yang paling besar dan mahal adalah ketua Umno Baling Datuk Zainol Md Isa. Bukan sahaja kehilangan jawatan itu yang baru dimenanginya dan keahliannya digantung selama enam tahun tetapi beliau turut kehilangan jawatan sebagai ahli majlis mesyuarat (exco) Kedah.

Bagaimanapun beliau terus mengekalkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu yang dimenanginya dalam pilihanraya umum lalu walau ada desakan kuat dari rakyat supaya jawatan itu turut dilepaskan.

Zainol menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai exco Ahad lalu. Menteri Besar Kedah, Datuk Syed Razak Syed Zain menerima keputusan Adun Bayu, yang juga penyokong kuatnya, dengan tersenyum lebar.

Syed Razak sebaliknya mengumumkan cadangannya untuk melantik Zainol menganggotai biro tertentu dalam Umno negeri atas alasan parti masih memerlukan khidmat Adun berkenaan.

Tindakannya itu menimbulkan persoalan - mengapa pesalah politik wang masih disimpan dalam struktur kepimpinan Umno negeri walau Majlis Tertinggi telah memutuskan keahlian Zainol digantung dan tidak dibenarkan bergiat aktif dalam parti hingga tamat tempoh hukuman itu?

Pemerhati politik berpendapat, tindakan Menteri Besar itu menunjukkan pemimpin Umno tidak tegas memerangi politik wang. Kata mereka, sepatutnya Zainol terus dipinggirkan - sesuai dengan hasrat membersihkan parti daripada gejala rasuah dan politik wang.

"Langkah Syed Razak terus menyimpan Zainol itu menunjukkan sikap double standard (pilih kasih) pemimpin Umno. Umno menghukum pesalah politik wang tetapi (pemimpin) Umno negeri pula membela pesalah berkenaan.

"Keadaan ini memburukkan lagi imej Umno. Parti Melayu terbesar ini akan terus dilihat sebagai bersekongkol dengan perasuah atau pesalah politik wang," tegas seorang veteran Umno.

Beliau juga mempertikaikan sama ada keputusan Menteri Besar, juga merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno, membenarkan seseorang yang digantung keahliannya memegang jawatan dalam parti itu bertentangan dengan perlembagaan parti.

Mencemarkan lagi Umno

Apakah keistimewaan Zainol hingga Umno Kedah tidak boleh kehilangannya. Mengapa 'kambing korban' ini menjadi aset yang sangat berharga kepada Menteri Besar?

Tindakan Syed Razak melantik bekas exco itu menganggotai satu biro Umno negeri juga membayangkan parti itu ketandusan pemimpin pelapis. Alasannya, tenaga Zainol masih diperlukan untuk membantu merampas semula kerusi Baling daripada PAS tidak boleh diterima.

Sebenarnya tiada perbezaan sama ada beliau bersama Umno negeri atau bahagian, kerana semasa pilihanraya umum lalu kerusi parlimen berkenaan tetap jatuh ke tangan wakil PAS, Datuk Taib Azzamuddin.

Tidakkah Menteri Besar Kedah sedar tindakannya itu boleh mencemarkan lagi Umno - lebih-lebih lagi di negeri itu - di saat-saat pengaruh parti itu semakin terhakis terutamanya seperti ditunjukkan dalam pilihanraya kecil Lunas, Kulim dan beberapa kejadian protes orang ramai.

Nampaknya Syed Razak meletakkan kepentingan 'kawan' melebihi kepentingan parti. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin lain Umno sama ada di peringkat negeri atau pusat, seolah-olah merestui tindakan 'menyimpan' pesalah politik wang itu.

Apabila Zainol dilantik menyertai biro Umno negeri, isu kesalahannya itu akan terus dijadikan modal politik musuh-musuh Umno untuk melebarkan pengaruh di negeri jelapang padi.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin Umno yang bermasalah terus direhatkan sehingga tamat tempoh hukuman. Langkah Umno Johor, Perak dan Selangor tidak 'membela' pesalah-pesalah politik wang wajar dicontohi Syed Razak.

Umno perlu menunjukkan ketegasan memerangi politik wang jika ia tidak mahu segala tindak-tanduknya dipersendakan rakyat. Retorik politik yang diikuti pula dengan tindakan-tindakan lembik dan double standard tidak akan memulihkan imej parti.

Rakyat masih tebal dengan tanggpan bahawa Umno tidak lekang daripada mengamalkan politik wang. Tindakan 'mengkambinghitamkan' enam pemimpin bahagian tidak mampu mencuci arang yang telah lama terconteng di muka Umno dan pemimpinnya.

Rakyat melihat tindakan menggantung enam pemimpin bahagian itu tidak memberikan apa-apa kesan, lebih-lebih lagi apabila laporan siasatan kes politik wang dalam Umno Kuantan - yang dibangkitkan oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman - terus diperap begitu sahaja.

Sungguh menghairankan mengapa kes Fauzi yang mudah itu menjadi begitu sulit. Mungkin kes ini melibatkan 'ikan paus', maka ia perlu ditapis atau mungkin perlu dilenyapkan begitu sahaja.

Mungkin juga Majlis Tertinggi dan Presiden parti mahu menguji sejauh mana kesabaran Fauzi?