Ada sesuatu yang sangat berharga patut dipelajari oleh orang Melayu dalam krisis pengambilalihan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press oleh MCA. Mereka sepatutnya mencontohi sikap orang Cina yang tegas mempertahankan kepentingan bersama mereka.

Seluruh masyarakat Cina sama ada ahli akademik, ahli perniagaan, peruncit, pelajar dan pertubuhan-pertubuhan sukarela sepakat menentang cadangan mengambil alih akhbar itu tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

Malah sebahagian besar ahli dan pemimpin besar MCA menentang pengambilalihan itu yang didakwa melenyapkan kebebasan akhbar berbahasa Cina.

Begitu juga kakitangan syarikat akhbar berkenaan, wartawan-wartawannya berpiket menentang usaha itu yang lebih bermotifkan politik sehingga Setiausaha Kementerian Penerangan, Senator Datuk Zainuddin Maidin mengingatkan mereka supaya "memikirkan soal perut", jika tidak mahu menyesal.

Itulah sikap orang Cina - mereka masih menghargai kebebasan akhbar dan sanggup mempertahankannya. Tanpa rasa takut dan 'memikirkan soal perut,' mereka bersatu menentang apa yang dianggap tidak betul.

Sikap berani orang Cina ini tidak kedapatan di kalangan orang Melayu sekarang walau sekali-sekala kedengaran teriakan menuntut reformasi. Orang Melayu masih dibelenggu rasa takut dan 'memikirkan soal perut' hingga sanggup membiarkan kebebasan bersuara dihakis satu persatu oleh pihak berwajib.

Pelbagai penerbitan berbahasa Melayu ditekan, tidak diperbaharui permitnya dan diharamkan penerbitannya. Namun tiada siapa yang ambil peduli. Orang Melayu seolah-olah merestui media arus perdana terus-menerus menjadi alat propaganda kerajaan dan Umno.

Mengapa orang Melayu bersikap begini? Mungkinkah kerana budaya bertolak-ansur atau sikap 'tidak apa' menyebabkan mereka menutup mata dan membiarkan minda mereka diperbodohkan?

Adakah kerana Melayu terlalu bergantung kepada subsidi atau makan gaji dengan kerajaan menyebabkan kita terpaksa menutup mata, telinga dan mulut? Mungkin juga itu sebab utamanya. Berbeza dengan orang Cina yang berdikari, mereka tidak memerlukan MCA atau Gerakan atau DAP untuk menyuap mulut mereka, lantas menjadi lebih berani.

Lupakan nasihat Zainuddin

Apa yang jelas ialah orang Cina lebih kritis. Walau terus menyokong MCA dan kerajaan yang ada kerana mementingkan kestabilan ekonomi, mereka masih mahu pendirian mereka dihormati.

Masyarakat Cina menunjukkan kepada pemimpin mereka supaya tidak mengambil mudah sikap mereka yang terus menyokong kerajaan kini. Mereka sentiasa memantau dan memeriksa pemimpin dan parti mereka bagi memastikan kepentingan akar umbi diutamakan.

Dalam kes Nanyang, Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik nampaknya terpaksa menunjukkan sikap berlembut. Beliau hari ini dilaporkan bersedia menjual kepentingan parti itu dalam Kumpulan Nanyang kepada pihak-pihak yang berminat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melahirkan rasa bimbang kemungkinan wujud perpecahan dalam MCA dan menjejaskan Barisan Nasional - jelas menunjukkan kerajaan mula mendengar suara akar umbi masyarakat Cina.

Oleh itu ada kemungkinan urusniaga pengambilalihan Nanyang akan dibatalkan kerana dibimbangi dieksploitasi sebagai isu politik yang boleh menjejaskan sokongan orang Cina kepada Barisan Nasional seperti juga isu Sekolah Wawasan yang menyebabkan pengundi kaum itu di Lunas, Kedah memilih calon Parti Keadilan Nasional.

Mengapa pengambilalihan akhbar ini dibantah keras oleh Cina? Jawapannya amat mudah, selama ini hanya akhbar berbahasa Cina yang melaporkan dengan berani, lantang dan adil (secara relatif). Mereka sedar akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris tidak boleh diharapkan untuk membela nasib mereka kerana telah lama dikongkong kepentingan politik.

Satu-satunya media yang masih boleh diharapkan adalah akhbar berbahasa Cina dan kemudahan yang ada serta kebebasan yang diamalkan oleh pengamal-pengamal media mereka mesti terus dipertahankan.

Begitulah orang Cina menggunakan suara, undi dan perpaduan mereka untuk mempertahankan hak. Orang Melayu sepatutnya berasa malu melihat keadaan ini. Orang Melayu patut mencontohi sikap terbuka dan kritis masyarakat Cina mempertahankan pendidikan, budaya, kebebasan media dan kepentingan ekonomi mereka.

Orang Melayu tanpa mengira fahaman politiknya patut bersatu-padu mempertahankan kepentingan bersama.

Peringatan Zainuddin itu perlu dilemparkan jauh-jauh jika orang Melayu mahu dihormati oleh bangsa lain.