Malaysia adalah antara negara yang unik di dunia. Di Malaysia ada kaum Melayu, Cina, India, Iban, Bajau, kadazan dan banyak lagi suku kaum. Di mata dunia, Malaysia kelihatan berjaya mewujudkan suasana harmoni walaupun terdapat pelbagai kaum dan agama.

Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad antara sasarannya ialah untuk mewujudkan Bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia meliputi Melayu, Cina, India, Iban, Bajau, Kadazan dan lain-lain suku kaum. Bangsa Malaysia tidak memberi keistimewaan kepada mana-mana kaum.

Persolannya sekarang ialah apakah ianya mampu dicapai? Apakah strategi untuk mencapai gagasan ini? Jika kita melihat realiti masyarakat pada hari ini, tidak mungkin untuk mengatakan gagasan bagi mewujudkan Bangsa Malaysia boleh dicapai. Mengapa saya berkata begitu?

Cuba kita perhatikan institusi pengajian tinggi awam pada hari ini. Perpecahan antara mahasiswa Melayu, Cina, India dan lain-lain, begitu ketara sekali. Pengalaman saya menjadi mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi awam pada akhir tahun 90-an mengesahkan lagi tesis tentang polarisasi yang serius berlaku di universiti.

Di universiti, para mahasiswa bercampur sesama sendiri Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina dan India dengan India. Manakala mahasiswa dari Sabah dan Sarawak pula, sebagai minoriti, akan bergabung dengan mana-mana kaum seperti Melayu, Cina atau India.

Di kolej kediaman, telah diatur mahasiswa Melayu tinggal sebilik bersama mahasiswa Melayu, Cina dengan Cina dan India dengan India. Manakala mereka dari Sabah atau Sarawak, jika Muslim, ditempatkan bersama mahasiswa Melayu. Jika bukan Muslim, mereka ditempatkan tinggal dengan mahasiwa Cina atau India.

'Perkongsian kuasa'

Di kafeteria universiti juga kita boleh melihat polarisasi yang jelas berlaku di kampus. Jarang sekali kita dapat melihat 'meja majmuk' di kafeteria. Rata-rata mahasiswa lebih selesa makan minum dengan rakan-rakan sebangsa. Pergilah ke perpustakaan universiti, perkara yang sama juga berlaku. Jarang sekali kita dapat melihat pelajar Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Bajau dan lain-lain suku kaum "duduk semeja".

Mereka juga lebih berminat menyertai persatuan mahasiswa yang berasaskan kaum atau agama. Amat sedikit sekali, persatuan mahasiswa yang membuka keahlian untuk semua kaum, mendapat tempat di hati mahasiswa. Majlis Perwakilan Mahasiswa pula yang mewakili mahasiswa di universiti pula meniru formula "perkongsian kuasa" yang diamalkan oleh Barisan Nasional di mana Persatuan Mahasiswa Islam atau Persatuan Bahasa Melayu akan bergabung dengan Persatuan Bahasa Tionghua dan Persatuan Bangsa India untuk membentuk "kerajaan mahasiswa" di universiti.

Sewaktu masih lagi mahasiswa, saya masih teringat tentang seorang teman saya berbangsa Cina yang "dpulaukan" oleh rakan-rakan Cinanya yang lain hanya kerana dia bergaul dengan mahasiswa Melayu dan India. Begitu juga dengan rakan pelajar Melayu saya yang "dicap" sebagai "ejen Yahudi" oleh teman-temannya dari Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) hanya kerana dia mahu menubuhkan persatuan mahasiswa yang tidak berasaskan kaum dan agama.

Malahan, pada ketika itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menentang cadangan pentadbir universiti untuk mewajibkan kolej kediaman memastikan setiap bilik dihuni menempatkan mahasiswa pelbagai kaum.Usaha murni yang cuba diperkenalkan oleh pentadbir universiti bagi menyelesaikan masalah polarisasi kaum di kampus, telah ditentang habis-habisan oleh pemimpin mahasiswa dengan alasan sukar bagi mahasiswa melakukan ritual agama masing-masing. Lihatlah bagaimana seriusnya polarisasi kaum berlaku di universiti-universiti tempatan.

Siapakah yang harus dipersalahkan? Mahasiswa atau sistem pendidikan di negara ini? Apakah adil untuk menyalahkan mahasiswa jika semenjak pendidikan rendah lagi, mereka tidak didedahkan dengan budaya kaum lain?

Malahan legasi peninggalan penjajah Inggeris masih lagi berleluasa di negara ini walaupun negara telah hampir 50 tahun merdeka. Penjajah Inggeris yang memperkenalkan dasar pecah dan perintah untuk memudahkan pentadbiran mereka, telah mengasing-asingkan bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain suku kaum.

Pengasingan kaum

Sewaktu zaman penjajahan Inggeris, kaum Melayu diletakkan di kampung bekerja sebagai petani atau nelayan, manakala kaum Cina di bandar untuk melombong bijih timah dan berniaga manakala kaum India di estet-estet menjadi penoreh getah dan membina landasan keretapi. Itu di zaman penjajah. Sekarang sudah hampir 50 tahun merdeka, perkara yang sama masih lagi berlaku. Tidak usah pergi terlalu jauh. Lihat sahaja di Kuala Lumpur. Melayu menguasai Kampung Baru dan Gombak, Cina menguasai Jinjang dan Kepong manakala India menguasai Brickfields.

Di peringkat pendidikan rendah dan menengah, mereka langsung tidak terdedah dengan bangsa-bangsa lain kerana majoriti orang Cina dan India belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil manakala pelajar Melayu pula di sekolah kebangsaan yang mempunyai sedikit sekali pelajar Cina dan India.

Oleh itu, kita boleh katakan ada mahasiswa, sebelum masuk ke universiti, tidak mempunyai latarbelakang mendalam mengenai budaya kaum lain. Dan pada masa yang sama, mereka juga tidak berpeluang mengenali budaya kaum lain di universiti kerana masalah polarisasi kaum di kampus sudah berada di paras yang membimbangkan.

Nasib baik ada pensyarah yang sedar tentang pentingnya integrasi nasional. Maka pensyarah-pensyarah yang sedar ini akan "memaksa" pelajar memastikan kumpulan untuk tugasan bagi sesuatu mata pelajaran terdiri daripada pelbagai bangsa. Kalaulah tidak ada pensyarah seperti ini, saya percaya sudah pasti mahasiswa ini tidak mungkin akan mempunyai pengalaman mengenali bangsa-bangsa lain.

Namun, usaha ini seperto oti belum mencukupi untuk merapatkan hubungan antara kaum di universiti. Dasar mewajibkan mahasiswa pelbagai bangsa tinggal sebilik di kolej kediaman harus diperkenalkan semula.

Sekurang-kurangnya ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa mengenali dan belajar tentang budaya dan agama bangsa lain. Selain itu, aktivis mahasiswa yang sedar dan ingin mengubah perkara ini, harus memulakan program bagi merapatkan hubungan antara kaum.

Jika tidak ada pihak yang mahu mengambil inisiatif ke arah itu, maka jangan terkejut jika 100 tahun lagi pun masalah polarisasi kaum yang berlaku di universiti dan di Malaysia secara umumnya tidak akan dapat diselesaikan. Apalah yang hendak dibanggakan dengan negara yang bakal menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-50 jika rakyatnya masih lagi hidup terpisah-pisah dan tidak saling mengenali antara satu bangsa dengan bangsa yang lain, seperti apa yang berlaku di zaman penjajahan Inggeris...