Sajak PM kritik Pemuda Umno
Melayu mudah lupa - itu kata sajak terbaik tahun ini yang dideklamasikan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Penyajaknya, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyimpulkan orang Melayu sebagai golongan yang mudah lupa diri atau mempunyai ingatan yang singkat.
Ini bukan kali pertama Presiden Umno itu berpendirian demikian. Malah semasa berlaku isu pemecatan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998 dulupun beliau dan ramai pemimpin Umno berpendapat orang Melayu akan melupakan isu itu dalam masa tiga bulan sahaja.
Bagi mereka orang Melayu mempunyai ingatan yang singkat sebagaimana berlaku dalam krisis-krisis kepimpinan Umno yang lain. Bagaimanapun kali ini Dr Mahathir ternyata tersilap congak. Majoriti orang Melayu kali ini ternyata mempunyai memori yang panjang.
Kini sudah masuk tahun ketiga, krisis Dr Mahathir - Anwar berlarutan dan kesannya masih menghantui Presiden Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Orang Melayu menunjukkan protes mereka terhadap Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 1999, kira-kira 60 peratus daripada mereka mengundi Barisan Alternatif.
Siapa kata orang Melayu mudah lupa? Setiap hari nama dan cara Anwar dimalukan terus disebut. Bayangan mata lebam Anwar tidak pernah padam dari ingatan. Orang saban tahun di Perhimpunan Agung Umno namanya disebut oleh Presiden parti.
Bersajak dan menangis
Tiga bulan telah berlarutan ke tiga tahun dan mungkin 30 tahun lagi krisis Dr. Mahathir - Anwar akan terus jadi sebutan. Melayu mempunyai ingatan yang panjang.
Orang Melayu tidak lupa sejarah konflik bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman al-Haj dengan Dr Mahathir. Orang Melayu tidak lupa apa yang berlaku pada 'arwah' Bank Bumiputera Malaysai Berhad . Terpaksa diselamatkan sebanyak tiga kali dan lebih RM3 bilion lebur dalam proses 'bailout' itu.
Selain itu, orang Melayu juga tidak lupa bagaimana Konsortium Perkapalan Berhad diselamatkan oleh Petronas. Dan orang Melayu tidak akan lupa mengenang nasib Tan Seri Tajuddin Ramli yang diselamatkan dengan harga saham MAS RM8 sesaham.
Orang Melayu yang lupa - hilang ingatan, lupa diri dan melupakan sejarah bangsa ialah orang Umno sahaja. Setelah mengecapi pelbagai kejayaan dan kemewahan, setelah menjadi kroni pemimpin tertentu, Melayu ini lupa asal usul mereka.
Khayal dengan kereta mewah, rumah besar, projek berjuta ringgit, isteri-isteri cantik dan menjadi pengunjung tetap kelab dangdut, mereka lupa segala kemewahan itu adalah hasil kerja kuat pemimpin silam.
Itu sebabnya Presiden Umno terpaksa bersajak dan menangis untuk mengembalikan ingatan ahli-ahli Umno kepada sejarah perjuangan bangsa. Memang tepat masanya dan kena tempatnya Dr Mahathir mencipta dan membaca sajak itu.
Sajak beliau itu mendapat sambutan hangat dari para perwakilan Umno. Mereka bukan sahaja terpegun malahan bertepuk tangan dan turut sama mengiring ketua mereka bersorak 'Melayu Mudah Lupa'.
Muhasabah diri
Sedarkah mereka bahawa sajak itu sebenarnya ditujukan khas untuk mereka? Sedarkah mereka bahawa diri mereka yang dikritik? Tahukah ahli-ahli Umno itu bahawa Presiden mereka kecewa dengan sikap mereka yang telah melupakan idelisme perjuangan parti dan bangsa? Berapa kerat agaknya yang mengambil iktibar daripada sajak Dr Mahathir itu?
Dr Mahatahir sedar semangat ahli-ahli dan perwakilan Umno yang menjadi suara latarnya semasa sajak itu dideklamasikan pada 23 Jun itu hanya hangat di dewan perhimpunan itu sahaja. Ahli-ahli Umno sekali lagi akan lupa pada amanat ketua bila perhimpunan itu tamat.
Oleh itu, kini setiap petang RTM menyiarkan video klip sajak 'Melayu Mudah Lupa' untuk terus mengingatkan orang Melayu khususnya ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya muhasabah diri.
Sepatutnya ingatan Dr Mahathir itu menjadi sempadan dan panduan untuk ahli-ahli Umno untuk kembali ke perjuangan asal dan memulihkan parti itu. Jika ia sekadar menjadi satu slogan kosong disamping 'Hidup Melayu' , tidak mungkin Umno dapat diperbetulkan.
Sajak 'Melayu Mudah Lupa' ini menjadi penyelamat dalam perhimpunan Umno kali ini kerana sepanjang perhimpunan empat hari itu, Dewan Merdeka hanya penuh dengan kritikan dan hentaman terhadap parti PAS, gerakan reformasi dan orang asing.
Agenda Umno tidak dibincangkan dengan meluas, soal siapa menjadi bebanan dan masalah dalam parti dilupakan terus dan politik wang yang sebelum ini dijangka akan menjadi agenda utama. Cuma sekadar tempias sahaja.
Memang Dr Mahahthir bijak mengalih perhatian ahli-ahli Umno. 'Melayu Mudah Lupa' adalah sumbangan terbesar beliau bagi memulihkan parti itu.
'Melayu Mudah Lupa' adalah menifestasi sikap, minda dan gaya hidup orang Melayu sekarang. Berubah dan beringatlah bangsa Melayu!

