Puteri Umno yang baru berusia setahun jagung cuba meraih publisiti murahan, selepas kejadian kebakaran yang meranapkan bangunan bersejarah, Dewan Tunku Chanselor (DTC)Universiti Malaya.

Sayap bongsu Umno ini bersikap lebih 'jantan' daripada abangnya, Pemuda Umno apabila ia bertindak cepat untuk mengeksploitasi kejadian kebakaran itu. Puteri Umno mendesak Timbalan Naib Chanselor (TNC), Dr Anuar Zaini supaya meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab ke atas tragedi tersebut.

Alasan mereka ialah sebagai orang nombor satu di UM, Dr Anuar bertanggungjawab ke atas beberapa perkembangan yang tidak diingini yang telah berlaku di kampus universtit tertua di negara ini.

Antara perkara yang dianggap sebagai kegagalan Dr Zaini dalam mentadbir UM ialah penerbitan majalah 'Varsiti 2001', penyebaran risalah anti kerajaan menjelang pembukaan Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa Di Alaf Baru dan kebakaran DTC sehari sebelum berlangsungnya majlis itu.

Varsiti 2001 dikatakan mengandungi bahan-bahan yang mengutuk dan menghentam kerajaan dan para pemimpinnya manakala risalah yang disebarkan pula dikatakan menghasut para pelajar supaya memboikot simposium berkenaan.

Sebagai orang nombor satu, Dr Zaini dipertanggungjawabkan ke atas semua unsur-unsur negatif yang berlaku di kampus UM itu. Beliau dianggap gagal melaksanakan tugasnya terutama sekali dalam mengawal dan membendung aktiviti pelajar yang menentang kerajaan.

Membuka konfrontasi

Pelbagai pihak menyifatkan tindakan Puteri Umno mendesak TNC meletak jawatan sebagai suatu yang emosional dan tidak berfikir panjang. Ternyata Puteri Umno dilihat sebagai satu pihak yang menangguk di air keruh, cuba mencari publisiti di atas kesusahan yang menimpa orang lain.

Menuduh Dr Zaini dan mengesyaki para pelajar bertindak militan membakar DTC sebelum siasatan polis selesai dianggap keterlaluan dan membuka ruang konfrontasi antara Puteri Umno dengan masyarakat kampus khususnya para pelajar.

Antara sasaran keahlian Puteri Umno ialah para pelajar pusat pengajian tinggi tetapi tindakannya berkonfrontasi dengan para pelajar tentunya akan menggelapkan masa depan Puteri Umno sendiri di kampus-kampus.

Tindakan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya berdiri teguh di belakang TNC mereka dalam isu ini membuktikan tindakan gopoh Puteri Umno campur tangan dalam isu kebakaran DTC ini adalah satu kesilapan besar.

Sebaliknya PMUM menggesa Ketua Penaja Puteri Umno, Azalina Othman menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada Dr Zaini.

Puteri Umno juga dianggap sebagai tersilap sasar dalam usahanya mencari 'kambing hitam' dalam isu kebakaran DTC itu. Tindakan meminta Dr Anuar meletak jawatan tidak kena pada tempatnya kerana kalau Puteri Umno berpegang pada prinsip 'orang nomnbor satu', maka Menteri Pendidikanlah sepatutnya yang patut didesak melepaskan jawatannya.

Kalau di negara lain seperti di India atau Jepun, pernah terjadi pelanggaran keretapi yang mengorbankan puluhan nyawa, Menteri Pengangkutan atau Menteri Keretapinya yang meletak jawatan kerana berasa bertanggungjawab dan malu ke atas kejadian tersebut.

Dr Anuar hanya seorang penjawat awam, beban pertanggungjawaban di atas bahunya tidak sebesar beban yang ada di bahu orang politik. Tan Seri Musa Mohammad patut lebih ke depan dalam isu ini.

Puteri Umno juga sepatutnya meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Menteri Besar Selangor apabila berlaku beberapa kebakaran di Taman Medan tidak lama dulu.

Kambing hitam

Jangan bersikap talam dua muka semata-mata kerana Perdana Menteri dijadualkan hadir di DTC pada petang Ahad (22 Julai) untuk menutup symposium tersebut.

Selain itu di samping memikirkan sama ada kebakaran itu disebabkan oleh litar pintas atau tindakan militan para pelajar, Puteri Umno juga sepatutnya turut bertanya mengapa bomba yang balainya cuma beberapa ratus meter dari pagar UM terlewat sampai ke kampus itu.

Kegopohan Puteri Umno dalam isu ini juga disifatkan oleh para pemerhati politik sebagai keghairahan pertubuhan itu untuk mencari pengiktirafan dan kedudukan dalam politik negara ini.

Puteri Umno bertindak lebih cepat dan lebih garang daripada Pemuda Umno. Malangnya, langkahnya tempang. Perbuatan menerjah masuk ke majli sidang akhbar TNC hanya menjejaskan imej dinamik, profesional dan santun yang cuba dipupuk oleh pertubuhan itu.

Kalau Puteri Umno menyangka ia berjaya menjadi juara dalam isu kebakaran DTC ini, jelaslah ia tersilap congak, langkah 'tekwando' pertubuhan ini sebenarnya sumbang.

Untuk membetulkan langkah sumbang itu, mungkin ada baiknya Puteri Umno membantu UM dalam kempen mengumpul dana bagi membaik pulih dewan yang penuh bersejarah itu.