Akta Universiti tempang, ISA mengancam
Pelajar institusi pengajian tinggi dicap militan. Lalu kononnya mereka yang membakar Dewan Tunku Chanselor (DTC) Universiti Malaya sebagai tanda protes terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Sekurang-kurang dua ahli politik berpendapat sedemikian. Ketua Penaja Puteri Umno, Azalina Othman dan bekas ketua Pemuda Umno, Tan Seri Abdul Rahim Thamby Chik berpendapat demikian. Lalu mereka menyalahkan Naib Chanselor, Dr Anuar Zaini.
Bagaimanapun, laporan siasatan daripada pihak berkenaan mendapati kebakaran itu bukannya perbuatan khianat tetapi berpunca oleh litar pintas dan masalah pendawaian di dewan yang berusia 33 tahun itu.
Laporan itu menolak sama sekali segala prasangka kerajaan terhadap sikap aktivis pelajar. Jelas sekali segala gembar-gembur negatif terhadap aktiviti para pelajar itu hanyalah tuduhan tidak berasas.
Kebakaran DTC hanya dijadikan alasan untuk menghalalkan langkah kerajaan untuk menahan pemimpin pelajar di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA). Tragedi yang meranapkan dewan penuh bersejarah itu dijadikan titik tolak kepada pembersihan universiti dan kolej dari pengaruh anti kerajaan.
Patut malu
Ekoran daripada kebakaran itu setakat ini dua aktivis pelajar, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), Mohamad Fuad Mohd Ikhwan ditahan di bawah akta ISA warisan penjajah itu.
Hasil siasatan yang setebal 33 halaman yang telah diserahkan kepada kabinet itu sepatutnya mewajarkan dua orang aktivis pelajar yang kini bergelar tahanan ISA itu dibebaskabn segera.
Selain itu, para pemimpin Umno yang menyalahkan Dr Anuar sepatutnya berasa malu kerana bertindak membabi buta. Sepatutnya Azalina dan Rahim meminta maaf kepada Naib Chanselor UM itu. Kedua-dua mereka sepatutnya berasa bertanggung jawab terhadap kenyataan keras mereka itu.
Kerajaan berharap dengan menggunakan akta ISA ke atas aktivis pelajar itu, kebangkitan kuasa pelajar dapat dibendung. Kerajaan tidak mahu student power yang sangat aktif dan kuat seperti pada tahun 1970-an dulu muncul semula untuk menggegar kerajaan.
Kalau pada tahun 1974 dulu para pemimpin pelajar ditahan atas tuduhan menjadi tali barut komunis, agen sosialis dan pelampau perkauman kini mereka dilabelkan sebagai militan agama. Kerajaan cuba menjadikan label itu sebagai serampang dua mata - membendung kebangkitan pelajar dan menakut-nakutkan rakyat bukan Islam terhadap kebangkitan PAS.
Akan lumpuhkah gerakan dan kebangkitan pelajar pusat pengajian tinggi dengan gertak ISA itu? Dengan pengenalan syarat baru - tidak boleh berpolitik semasa belajar, akan kendurkah semangat juang anak-anak muda yang mahukan keadilan dan kebenaran?
Bakat kepemimpinan
Adakah ini juga bermakna politik kampus yang mirip dengan politik sebenar di luar kampus juga akan dibendung?
Kerajaan sepatutnya sedar universiti dan kolej adalah gelanggang untuk memupuk bakat kepimpinan para pelajar. Mereka bukan kanak-kanak tetapi golongan terpelajar yang boleh berfikir sendiri. Sesuai dengan prinsip demokrasi sepatutnya laha mereka diberi kebebasan untuk berpolitik asalkan kegiatan itu tidak menjejaaskan ketenteraman awam dan pelajaran mereka.
Generasi berilmu yang bagaimanakah mahu kita lahirkan? Ulat buku, jiwa-jiwa yang longlai dan generasi pelapis yang tidak ambil peduli tentang nasib agama, bangsa dan negaranya?
Atau kita hanya mahu universiti dan kolej melahirkan ahli-hali Umno dan penyokong Barisan Nasional.
Hak pelajar untuk berpolitik harus dihormati. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sudah cukup untuk mengawal dan mematikan aktiviti-aktiviti di kampus. Untuk sekian lamanya, selama dua dekad kampus-kampus kita dibisukan dan dipekakkan oleh akta itu, apa pula perlunya ISA digunakan kali ini.
Tidak cukup berkesankah AUKU hingga akta 'istimewa' yang berkuasa untuk menahan seseorang tanpa bicara itu terpaksa digunakan?
Gerakan 'pembersihan' kumpulan anti kerajaan terbaru ini adalah menifestasi ketakutan kerajaan terhadap kebangkitan rakyat. Selepas tokoh-tokoh muda Parti Keadilan Nasional dan aktivis pelajar, siapa pula sasaran ISA selepas ini? Ulama, aktivis NGO atau siapa?


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.