Astro, gejala penyakit yang lebih besar
Hujan tidak ribut tidak, tiba-tiba sebuah akhbar berbahasa Melayu yang sering dikomedikan isi beritanya telah bangun dari 'kemamaiannya'. Akhbar ini tiba-tiba bertempik memperkatakan keburukan program-program yang sedang dibawa oleh sebuah stesen satelit, Astro. Akhbar yang mengakui penyebar fikiran rakyat ini tiba-tiba sedar tentang 'imperialisme budaya' dan penjajahan bentuk baru.
Kesedaran baru akhbar ini terjadi bukan kerana ia telah menjalani proses 'reformasi'. Atau telah bersedia untuk memainkan peranannya sebagai sebuah akhbar tetapi kerana ia telah diherdik oleh seorang pemimpin politik.
Ahli politik ini marah kerana akhbar gagal menterjemahkan propaganda kerajaan. Dia kurang senang dengan laporan berita mengenai Malaysia melalui saluran CNN dan CNBC yang disiarkan oleh Astro. Maka akhbar ini pun mencari jalan pintas untuk memperbaiki diri dengan menimbulkan isu Astro sebagai agen imperialisme budaya asing.
Ada beberapa fakta latar yang wajib diketahui, terutama mereka yang bukan pelanggan Astro, sebelum membuat apa-apa anggapan terhadap stesen ini. Faktanya, stesen Astro banyak menayangkan program dari saluran yang berbahasa Inggeris dan beberapa saluran bahasa asing.
Astro tidak pernah bercita-cita untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya. Majoriti pengendali Astro - termasuk yang bertanggungjawab dengan saluran Ria - bukan orang tempatan. Pada masa ini saluran RTM dan TV3 kini juga telah dimasukkan ke dalam saluran Astro.
Memang benar, stesen Astro tidak mempunyai rancangan berita atau rencana tempatan. Stesen Ria yang berbahasa Melayu hanyalah untuk hiburan ringan sahaja. Astro juga mempunyai beberapa rangkaian stesen muzik. Semua ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan.
Isu mengenai Astro dalam akhbar penyebar fikiran rakyat itu yang sampai ke Dewan Rakyat baru-baru ini kelihatan berlapis-lapis, tindih-menindih dan kadangkala sukar untuk difahami. Semua fakta tadi diusik-usik dan dicuit-cuit tetapi tidak sampai akar umbinya.
Dari akhbar yang sama, ada berita kemarahan daripada pengeluar program tempatan (baca peniaga Melayu) yang merasakan mereka telah diketepikan kerana Astro banyak membeli program import.
Pengeluar program yang bersuara ini tidak semestinya mereka yang berupaya atau terdidik dalam hal ehwal pengeluaran program. Tetapi untuk mereka, peluang membuat program cuba disamakan dengan sikap cintakan bahasa dan 'jiwa' nasionalis mereka.
Walhal hakikat kemarahan mereka yang sebenarnya ialah 'peluang perniagaan' yang telah hilang, bukannya cintakan bahasa. Kerana mereka 'yang cintakan bahasa Melayu' ini jugalah yang berkemampuan mengeluarkan program yang memperkenalkan bahasa campur-aduk untuk televisyen.
Untuk meraih simpati, orang ramai (baca orang Melayu) 'digempakkan' melalui isu bahasa. Isu bahasa masih 'masin' terutama jika isu ini ditindihkan pula dengan program bahasa Cina dari Hongkong dan Taiwan.
Ulasan-ulasan daripada para budayawan, seniman dan ahli politik tempatan ini bagaimanapun gagal menunjukkan bahawa bahasa yang lebih banyak digunakan dalam saluran Astro bukan bahasa Tamil atau Cina tetapi bahasa Inggeris.
Kegagalan mereka untuk menimbulkan isu bahasa Inggeris memang disengajakan. Mereka tidak mempunyai kudrat politik dan tenaga batin untuk mempersoalkan isu penggunaan bahasa Inggeris.
Jika isu bahasa Inggeris ditimbulkan, maka mereka wajib berhadapan dengan cambuk tuan politik mereka yang lebih ganas. Mereka berasa gentar untuk berhadapan dengan cambuk tuan politik ini.
Dengan memberikan fokus kepada program bahasa Cina dan Tamil, maka mereka akan dilihat sebagai warga prihatin dan berjiwa nasionalis terhadap bahasa dan bangsa mereka.
Memang kita perlu melihat kembali garis dan dasar bahasa serta budaya dalam konteks penyiaran tetapi bukan hanya untuk Astro tetapi untuk seluruh sistem penyiaran itu sendiri.
Malah telah sampai masa dan ketikanya budayawan, seniman, nasionalis bahasa, pemikir, intelek, penganggur, anak muda dan orang ramai membincangkan arah dan dasar pembudayaan negara.
Kongres Budaya yang terakhir dijalankan pada tahun 1971. Telah sampai masa dan ketika untuk melihat kembali kejayaan dan kegagalan dasar budaya semenjak tahun 1971 dahulu.
Hari ini, isu-isu yang dibangkitkan di sekitar Astro hanya pandangan tempelan dan kritikan nyamuk yang tidak membawa apa-apa kesan yang mendalam. Keadaan sampa larau ini kelihatan sedang berterusan.
Apa yang terjadi kepada Astro juga sedang berlaku pada stesen-stesen TV dan radio yang lain. Astro hanya satu gejala daripada satu penyakit yang lebih besar.
Imperialisme budaya memang wujud. Tetapi agak menakjubkan jika isu ini hanya dibuka di ruang akhbar. Penjajahan budaya ini bukan satu isu yang remeh dan enteng. Ia memerlukan daya fikir dan keilmuan yang rapi.
Akhbar harian mungkin boleh mempopularkan isu ini tetapi tidak mungkin dapat mencari jalan penyelesaian. Apatah lagi apabila kewibawaan akhbar itu sendiri sedang dipertikaikan.
Sebagai contoh, akhbar penyebar fikiran rakyat, nasionalis bahasa, pengeluar program televisyen, seniman, budayawan dan para pemikir tersebut telah gagal membincangkan kenapa stesen RTM termasuk saluran 'TV Pendidikan' dimasukkan ke dalam Astro.
Tanpa banyak perbincangan, orang ramai dipaksa menerima hujah menteri berkenaan bahawa kerajaan telah menyelamatkan berjuta-juta ringgit jika 'TV Pendidikan' disalurkan melalui Astro.
Logiknya ialah pada masa ini Kementerian Pendidikan sedang membayar kos yang tinggi kepada RTM. Soalan yang wajib ditimbulkan ialah: Tidakkah menteri ini sedar bahawa duit daripada Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Penerangan adalah duit rakyat yang masih berpusing dalam kantung pentadbiran wang kerajaan.
Tetapi apabila Astro dibayar kerana menyalurkan 'TV Pendidikan', maka duit ini telah masuk poket tuan punya stesen swasta itu.
Perbincangan mengenai stesen satelit Astro membuka banyak persoalan yang masih menunggu jawapan. Misalnya kenapa pula 2000 buah sekolah diwajibkan melanggan Astro hanya untuk menonton program TV Pendidikan?
Apakah kurangnya RTM ? Apakah ini salah satu cara untuk menyelamatkan perniagaan kroni? Justeru, budayawan dan nasionalis bahasa wajib dapat melihat sawah daripada padi dan melihat padi daripada beras.
Jika tidak, mereka hanya akan menjadi sebahagian dari 'prop' agenda akhbar penyebar fikiran rakyat sahaja.

