Selain berat beg sekolah, satu lagi isu pembelajaran yang muncul berlang-ulang ialah persekolahan dua sesi - pagi dan petang. Sama seperti musim durian, isu sekolah dua sesi ini kadang kala berbunga lebat tetapi perbincangannya luruh di pertengahan jalan. Kadang kala kelihatan isu ini telah masak ranum untuk diselesaikan tetapi apa yang jatuh hanyalah pandangan yang lompong.

Dalam pilihan raya lepas, parti-parti Barisan Alternatif telah mengajukan cadangan bahawa jika pakatan itu berjaya mendirikan kerajaan baru maka sekolah dua sesi ini akan dihapuskan beransur-ansur. Cadangan yang termaktub dalam manifesto Barisan Alternatif ini timbul setelah pemikir, budayawan atau pakar pembelajaran daripada gabungan itu melihat bahawa sekolah dua sesi tidak membawa kebaikan kepada taraf pendidikan anak-anak. Kebobrokan sekolah dua sesi ini diakui bukan hanya oleh Barisan Alternatif, malah Barisan Nasional juga telah menerima hakikat bahawa pendekatan sistem dua sesi yang wujud hari ini wajib diperbaiki.

Tetapi sayangnya agenda pembelajaran yang begitu penting tenggelam dalam sorak-sorai ceramah politik dan gegak-gempita mencari undi. Kedua-dua kumpulan parti politik itu telah gagal untuk menyedarkan rakyat terutama ibu bapa tentang makna serta perbezaan persekolahan satu sesi atau persekolahan dua sesi. Agenda yang begitu penting ini gagal dikupas dengan mendalam untuk memberi kefahaman terperinci kepada ibu bapa.

Hingga ke hari ini, di Dewan Rakyat masih tidak ada sesiapa pun daripada parti-parti Barisan Alternatif ataupun dari pihak kerajaan yang sanggup menimbulkan agenda ini agar dapat dicari jalan penyelesaian. Apa yang terjadi hari ini ialah 'penerimaan' lanskap pembelajaran dua sesi ini sebagai satu hakikat pendekatan untuk mendidik anak-anak di sekolah.

Di zaman penjajahan Inggeris, sesi persekolahan hanya pada sebelah pagi. Tetapi generasi zaman Inggeris ini pasti telah tua dan 'mamai' untuk menyebarkan ingatan kolektif zaman itu kepada generasi muda hari ini. Tetapi generasi yang memulakan zaman persekolahan pada dekad pertama sesudah merdeka pasti masih mempunyai ingatan kolektif yang jelas tentang sesi persekolahan. Sesudah merdeka, anak-anak ke sekolah hanya pada sebelah pagi. Pada sebelah petang, mereka ke sekolah untuk aktiviti sosial seperti menyertai pasukan pengakap (anak serigala), pandu puteri, kumpulan koir atau membaca di perpustakaan.

Semua ini menjadi begitu asing apabila melihat lanskap pembelajaran hari ini. Apa yang kita lihat ialah setiap pagi dan petang anak-anak sekolah bersepah-sepah pergi dan datang. Kesesakan sekolah telah menjadi fenomena harian. Malah di kota-kota besar tidak menjadi satu yang menakjubkan apabila satu bangunan sekolah mempunyai dua nama. Pada waktu pagi, sekolah ini akan dipanggil Sekolah A dan pada waktu petang, sekolah yang sama dipanggil Sekolah B. Ini dilakukan hanya untuk mengolok-olokkan ibu bapa bahawa telah wujud dua sekolah yang berasingan untuk mereka membuat pilihan.

Mungkin ada kumpulan atau individu yang akan berhujah untuk menerangkan bagaimana fenomena ini berlaku. Hujah yang sering didengar ialah di zaman Inggeris dan beberapa ketika selepas merdeka, penduduk masih kurang dan anak-anak ke sekolah tidak ramai. Mereka yang berhujah sedemikian ialah golongan ' apologia ' (memberi maaf) terhadap apa saja kegagalan kerajaan. Golongan ini bukan saja dapat menerima sekolah dua sesi sebagai satu realiti, malah mereka juga bersedia menerima rasuah, undang-undang yang antidemokrasi atau keganasan polis sebagai satu hakikat 'kehidupan moden'.

Apa yang jelas terpapar di hadapan mata kita dan patut diterima sebagai satu hakikat ialah kekurangan kawasan dan bangunan sekolah. Kekurangan sekolah inilah yang menyebabkan wujudnya sistem persekolahan dua sesi. Jika hakikat ini telah diterima, maka seharusnya tindakan diambil untuk mewujudkan lebih banyak sekolah. Jumlah sekolah mestilah selari dengan kadar pertambahan penduduk.

Jika tindakan ini gagal diambil, maka ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah wajib menyoal diri dengan lebih mendalam - kenapakah semua ini berlaku? Walhal dengan slogan 'Malaysia Boleh', negara ini telah berjaya mendirikan bangunan yang melampaui Empire State Building di New York. Malaysia juga telah berjaya menyiapkan bendera yang terbesar di dunia tetapi kenapa Malaysia tidak dapat menyediakan sekolah yang cukup untuk warga masa depan?

Persoalan ini akan membawa ibu bapa ke akar umbi sistem pembelajaran di negara ini. Ketempangan sistem pembelajaran hari ini semakin jelas dilihat, mulai peringkat sekolah rendah hingga ke universiti. Ketempangan dan kebobrokan ini muncul akibat daripada akidah yang dianut oleh negara ini yang menyatakan ilmu sebagai bahan dagang. Ilmu bukan lagi disebarkan secara demokratik untuk menjana tamadun budaya bangsa tetapi ilmu diniagakan kepada sesiapa saja yang sanggup membayar.

Falsafah mencari untung inilah yang menyebabkan banyak kawasan sekolah, padang sekolah dan bangunan sekolah di dalam kawasan bandar telah dijual kepada taukeh pemaju hartanah untuk didirikan kondominium atau kompleks membeli belah.


Akibatnya, muncullah generasi muda yang tidak lagi mempunyai rasa cinta dan ingatan kolektif terhadap lembaga yang dinamakan sekolah. Generasi hari ini tidak mungkin mempunyai ingatan kolektif tentang kemungkinan wujudnya sesi persekolahan hanya pada sebelah pagi. Jika ingatan kolektif ini tidak wujud, maka mereka akan menerima sistem yang tempang ini - sama seperti menerima rasuah sebagai satu hakikat kehidupan moden.

Bola kini kembali ke gelanggang ibu dan bapa. Memberikan tanggung jawab menguruskan agenda pembelajaran anak-anak kepada ahli politik adalah satu perjudian yang berbahaya. Ahli politik berupaya menaburkan janji yang lumayan tetapi mereka mempunyai ingatan yang singkat. Ibu bapa seharusnya dapat keluar daripada kerangka politik yang wujud hari ini dan mengambil tindakan sendiri. Tangan yang memangkah undi untuk mendirikan kerajaan pasti disokong oleh kaki yang boleh menendang parti yang gagal menyelesaikan isu sekolah dua sesi.