'DAP akan keluar dari pakatan Barisan Alternatif (BA)' - demikian tajuk berita sebuah akhbar beberapa hari lalu.

Kekeruhan dan keretakan inilah yang diharap-harapkan oleh musuh-musuh politik BA. Mereka berharap perpecahan itu berlaku.

Tetapi apakah perkembangan itu juga dikehendaki oleh pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang? Atau pemimpin DAP menyimpan agenda peribadi - akibat kecewa dan bimbang melihat masa depan parti yang mulai pudar popularitinya di kalangan kaum Cina sejak setahun dua kebelakangan?

Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan timbalannya Karpal Singh digambarkan oleh media arus perdana sedang bercakaran dengan pemimpin PAS, terutama dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Adakah keadaan ini benar-benar berlaku?

Banyak pihak melihat apa yang berlaku berhubung isu negara Islam sebagai 'satu sandiwara' pucuk pimpinan DAP menjelang mesyuarat agung dan pemilihan pucuk pimpinan parti itu tidak lama lagi.

Pemerhati berpendapat, isu negara Islam tidak lebih daripada hanya topeng Kit Siang dan Karpal menutup kelemahan mereka sendiri.

Kedua-dua pemimpin itu mahu memesongkan perhatian ahli-ahli DAP daripada memperkatakan kelemahan kepimpinan mereka sejak 20 tahun lalu. Kemudian mereka membangkitkan isu itu yang sebenarnya sudah jelas dipersetujui bersama dalam Manifesto BA pada pilihan raya 1999.

Perkara biasa

"Kit Siang dan Karpal kini meniru taktik Presiden Umno yang suka mengalih perhatian ahli-ahli parti daripada membicarakan kelemahan mereka dengan membangkitkan isu lama dan baru yang tidak sepatutnya menjadi agenda utama parti," kata seorang bekas pemimpin DAP.

Karpal menegaskan jika isu negara Islam ini tidak dijelaskan dan diselesaikan dengan segera, DAP sanggup keluar daripada pakatan BA yang sudah berusia dua tahun itu.

Presiden PAS Datuk Fadzil Noor pula berharap DAP tidak membuat keputusan tergesa-gesa untuk meninggalkan pakatan itu. Katanya, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dan masih ada ruang untuk dirunding bersama.

Kekalutan Kit Siang dan Karpal membangkitkan isu negara Islam nampaknya tidak mendapat sambutan daripada ahli-ahli DAP, terutama kumpulan pemimpin mudanya. Sebaliknya sayap Pemuda mendesak Kit Siang melepaskan atau tidak menerima pencalonan jawatan pengerusi dalam pemilihan pertengahan Ogos ini.

Ketua Pemuda DAP Teng Cheng Khim menegaskan, sudah sampai masanya Kit Siang memberikan peluang kepada generasi muda mengambil alih pucuk pimpinan parti.

Kenyataan Teng disokong pula oleh Ketua Pemuda DAP Johor Dr Boo Cheng Hua. Dr Boo berpendapat, ahli-ahli parti perlu diyakinkan bahawa barisan pemimpin muda mampu menerajui parti dan boleh lari daripada bayangan Kita Siang.

Pemuda DAP lebih terbuka sikapnya dalam isu negara Islam. Mereka tidak melihat isu tersebut sebagai faktor yang melemahkan DAP atau punca pengundi Cina menolak parti itu pada pilihan raya umum 1999.

Sebaliknya, kedegilan Kit Siang untuk menerajui parti hingga melangkaui 30 tahun dianggap sebagai punca utama kelemahan parti itu. Keengganan pemimpin veteran lain - seperti Dr Chen Man Hin dan Karpal Singh - untuk memberi laluan kepada orang baru turut menjadi masalah.

Wajar berundur

Musuh-musuh BA, terutamanya Umno dan MCA, pula melihat 'ribut dalam cawan' yang sedang berlaku ini sebagai peluang bagi mendedahkan kelemahan pakatan longgar BA. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengapi-apikan lagi keadaan dengan mencabar PAS supaya menjelaskan secara bertulis konsep negara Islamnya.

Dr M juga menuduh PAS tidak ikhlas dan cuba menipu rakyat apabila berdolak-dalik ketika berhadapan dengan orang Cina dan Melayu.

Justeru itu, PAS dan DAP hendaklah segera menyelesaikan isu ini. Pakatan pembangkang, jika berpecah, tidak akan mampu menumbangkan BN sama ada pada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.

Pakatan BA sejauh ini sudah menunjukkan hasil yang cukup baik pilihan raya. Oleh itu mengapa pula pakatan yang mampu menggugat BN dalam pilihan raya umum tahun 2004 perlu berpecah sekarang?

Pilihan raya kecil Lunas mengajar kita bahawa barisan pembangkang yang bersatu (walaupun hanya di saat-saat akhir DAP turun berkempn) boleh mendatangkan hasil yang baik. Manakala pilihan raya kecil Likas pula mengajar kita, perpecahan hanya menjejaskan peluang BA untuk menang. Oleh itu mengapa mesti DAP lupa sejarah dan lupa diri?

Sudah tiba masa bagi pucuk pimpinan DAP mengakui kelemahan dan kesilapan sendiri. Kalau Dr Mahathir sudah 20 tahun menjadi Perdan Menteri, Kit Siang sudah 30 tahun mengetuai partinya. Wajarlah beliau berundur demi kebaikan DAP dan pakatan alternatif.

Mungkin lebih ramai intelektual, profesional dan anak-anak muda akan menyertai DAP jika bayangan Kit Siang, Dr Chen dan Karpal dikikis daripada hirarki kepimpinan parti alternatif.