"We do not have any feelings of animosity toward Jews. We do not wish to throw them into the sea. All we seek is to be given our land back, not to harm anybody." Ismail Haniyah, Perdana Menteri Palestin dari laporan Washington Post (11 July 2006)

Lapan belas bulan dahulu, parti Hamas telah memenangi pilihanraya di Gaza dan Tebing Barat Palestin. Dalam pilihanraya ini, Al- Fatah, parti yang selama ini mendominasi politik dan ekonomi wilayah Palestin yang ditakluki oleh Israel, telah tewas teruk.

Pilihanraya Palestin yang lalu ini diakui sebagai pilihanraya yang paling demokratik pernah dijalankan di Timur Tengah. Keputusan pilihanraya ini seharusnya menempatkan Hamas ke pucuk pimpinan pentadbiran Palestin. Tetapi ini tidak terjadi.

Amerika dan Israel memainkan jarum politik kuasa imperial untuk menafikan Hamas daripada dapat mendirikan sebuah pentadbiran. Amerika dan Israel juga telah melobi negara kesatuan Eropah untuk tidak bekerjasama dengan Hamas. Hasilnya, hari ini krisis politik dan ekonomi semakin memuncak di Palestin.

Mari kita kembali melihat sejarah Palestin. Israel adalah sebuah negara bangsa pendatang yang diwujudkan pada tahun 1948 oleh kuasa imperial Anglo-Amerika di bumi Palestin. Fakta sejarah menunjukkan bagaimana kuasa imperial Anglo-Amerika telah mencadangkan Uganda, Afrika Selatan, Carlifornia, Argentina sebagai kawasan baru untuk menempatkan bangsa Yahudi sesudah perang dunia kedua.

Akhirnya, Palestin yang ketika itu di bawah pentadbiran British telah dipilih. Pemilihan ini paling strategik kerana kuasa Anglo-Amerika memerlukan satu perkhemahan tentera yang besar di Timur Tengah yang dapat mengawal pengaliran bahan bakar minyak petrol dari negara-negara Arab.

Semenjak wujudnya Israel pada tahun 1948, kawasan di sekitar Timur Tengah terus bergolak tanpa henti-henti. Di Palestin sendiri, Israel terus menjalankan dasar pengeluasan dan penaklukan kawasan ke atas bumi negara itu. Rakyat Palestin diganasi dan dipaksa meninggalkan tanahair mereka dan menjadi orang pelarian. Tanah tinggalan mereka dirampas dan dijadikan kawasan penempatan baru Yahudi.

Perjanjian Camp David

Dalam perang Israel/Arab pada tahun1967, Israel telah menawan dan menduduki Sinai, Gaza, Tebing Barat dan Bukit Gholan. Tanah Semenanjung Sinai di wilayah Mesir, telah di gunakan oleh Israel untuk memandul dan memecahkan setiakawan rakyat Mesir dengan perjuangan rakyat Palestin.

Pada tahun 1978, Perjanjian Camp David antara Israel/Mesir telah di tandatangani. Israel telah memulangkan wilayah Sinai kepada Mesir. Mesir pula diwajibkan memulakan hubungan diplomatik dengan Israel. Presiden Anwar Sadat yang menanda tangani Perjanjian Camp David dianggap sebagai pembelot telah dibunuh mati. Mesir dan Palestin bermusuhan.

Bukit Gholan di wilayah Syria, hingga ke hari, masih lagi dalam tawanan Israel. Kawasan ini juga akan digunakan untuk memandulkan sokongan rakyat Syria kepada perjuangan rakyat Palestin. Manakala wilayah Gaza dan Tebing Barat sedang digunakan untuk menghancur leburkan teras perjuangan rakyat Palestin.

Bekas Presiden Amerika, Jimmy Carter yang juga penulis buku Palestine Peace Not Apartheid, telah mengeluarkan kenyataan tentang pergolakan di Timur Tengah. Dia telah menuduh dasar Amerika dan kesatuan Eropah yang meminggirkan Hamas sebagai satu jenayah. Jimmy Carter melihat langkah ini amat merbahaya kerana Hamas telah dipilih oleh rakyat Palestin melalui pengundian pilihanraya.

Pengundian adalah lunas demokrasi. Mengikut Carter, dia melihat pilihanraya 2006 itu adil, telus dan berwibawa. Menolak keputusan majoriti rakyat Palestin untuk dipimpin oleh Hamas, akan membawa padah. Rakyat Palestin akan mengambil jalan yang lebih 'ekstremis' sebagai manifestasi politik mereka.

Apa yang kita lihat berlaku sekarang di Timur Tengah semuanya bersabit dengan Israel dan kepentingan Israel. Apa yang berlaku ialah taktik pecah untuk memerintah. Bangsa Arab Mesir, Syria, Iraq, Lebanon, Palestin sedang di laga-laga antara satu dengan lain. Taktik pecah perintah ini bukan satu taktik dan strategi politik yang baru. Kuasa imperial British telah menjalankan taktik pecah dan perintah ini di India, di Afrika dan di Tanah Melayu ketika dijajah dahulu.

Al-Fatah adalah satu-satunya gerakan nasionalis/demokratik/sekular Palestin yang muncul hasil daripada kekalahan Arab dalam perang tahun 1967. Anak-anak muda dan para mahasiswa Palestin telah bangun untuk menolak pimpinan generasi tua Palestin yang dianggap telah merosot garis politik perjuangan mereka. Al-Fatah memulakan garis politik angkat senjata dengan slogan hatta nash berevolusi hingga menang.

Perang gerila

Perang gerila angkat senjata ini adalah jawapan tepat terhadap kuasa penjajahan Israel. Garis politik baru ini mendapat sokongan yang meluas di bumi Arab dan di arena antarabangsa. Israel dan Amerika melihat gerakan politik angkat senjata ini sebagai satu ancaman dan berpotensi untuk mengalahkan Israel dalam masa jangka panjang. Perang gerila berjangka panjang ini juga berpotensi untuk melumpuhkan kuasa imperial Anglo-Amerika di Timur Tengah.

Dengan licik kaum Zionis telah merancang untuk menumpaskan gerakan pembebasan rakyat Palestin yang berpayung di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Pemimpin Palestin seperti Abu Iyad, Ghassan Khanafani, Abu Jihad menjadi mangsa Mossad. Mereka dibunuh kerana mereka menganjurkan garis politik perang gerila jangka panjang. Mossad membunuh satu demi satu pucuk pimpinan yang dianggap dapat mengkonsolidasikan perjuangan Palestin. Akhirnya, apa yang tinggal ialah pemimpin Palestin yang bersedia untuk berkompromi dengan Israel.

Di mana-mana negara, kita akan bertemu dengan 'pak sanggup' yang ingin menjadi khadam, macai atau balaci atau barua kuasa imperial. Di Palestin puluhan muka baru telah menawarkan diri dan bersedia untuk menjadi 'pak sanggup' membodek Israel dan menjadi budak suruhan Amerika. Perjanjian Oslo 1993 antara Israel/Palestin adalah bacaan talkin untuk mengkuburkan perjuangan rakyat Palestin.

Di era pasca Camp David dan pasca Oslo kita melihat Al- Fatah, satu-satunya gerakan politik/gerila Palestin yang terbesar telah berjaya dijadikan khadam untuk Israel dan Amerika. Telah wujud kerjasama yang intim di antara CIA, Mossad dan Fatah. Pertukaran maklumat, kerjasama risikan malah Israel telah memberikan senjata kepada Al-Fatah.

Jelas, politik Al-Fatah telah merosot begitu rendah sekali sehinggakan rakyat Palestin sendiri melihat kumpulan Fatah sebagai polis upahan yang dibayar gaji bulanan oleh Zionis Israel. Rasuah, penyelewengan, kronisme dan pengalahan gunaan kuasa telah meresap dalam budaya kumpulan ini.

Inilah latarbelakang yang membawa kemenangan Hamas. Jangan silap baca seperti PAS tersalah baca di Terengganu pada tahun 1999 rakyat Palestin bukan mahukan negara Islam tetapi mereka mahukan keadilan, kembali ke tanahair mereka, mendirikan negara sendiri dan tidak mahu duduk di bawah telunjuk kuasa Israel dan Anglo-Amerika.

Hamas sebagai sebuah parti politik, bebas daripada rasuah, memiliki organisasi yang tersusun baik, memiliki jaringan badan kebajikan yang merapati rakyat justeru tidak menghairankan inilah parti politik yang dipilih oleh rakyat Palestin.

Usaha pinggir Hamas

Menuduh dan memburukkan Hamas sebagai parti ekstremis Islam atau 'Islamofascist' hanyalah cara Israel mengolah persetujuan rakyat dunia untuk meminggirkan Hamas. Ini adalah kali kedua sebuah parti Islam yang telah dipilih oleh rakyat tetapi dinafikan untuk mendirikan pentadbiran yang baru.

Kali pertama berlaku di Algeria pada tahun 1991 apabila Front Islamic Salvation (FIS) telah dipilih oleh rakyat Algeria. FIS memenangi 188 daripada 231 kerusi dalam pemilihan pertama. Pemilihan kali ke dua dibatalkan dan tentera mengambil alih pentadbiran.

Menafikan Hamas dan FIS daripada mendirikan pentadbiran di Palestin dan Algeria adalah niat jahat kuasa imperial Anglo-Amerika dan Israel. Pertelingkahan akan terus berlaku. Keadaan tegang berterusan di Timur Tengah. Dalam suasana sedemikian kuasa imperial Anglo-Amerika akan terus dapat mengawal pengaliran bahan bakar minyak petrol dari negara Arab.

Sekarang semakin jelas, dalam pilihanraya pun Zionis dan kuasa imperial hanya mahukan parti dan pemimpin politik yang mahu mengikut kata mereka. Justeru, menolak Hamas dan FIS ini tidak ada bersangkut dengan Islam atau daulah Islamiah.

Apa yang di tolak oleh Zionis, imperial Anglo-Amerika dan kesatuan Eropah adalah parti-parti politik yang tidak akan dapat dijadikan khadam dan gurkha. Parti-parti politik yang dinafikan daripada mendirikan kerajaan di Algeria dan Palestin adalah parti-parti politik yang jelas berani bangun melawan kuasa Zionis dan kuasa imperial Anglo-Amerika.

Nota kaki:

Bethlehem Ma'an The Israeli authorities have announced that Israel intends to transfer between 400 million and one billion US Dollars to the Palestinian Authority within the next few weeks.

Israeli Channel Two reported late on Friday evening that Israeli Prime Minister Ehud Olmert "has the intention to start final status negotiations in the coming months, on the condition that [President] Abbas must fight Hamas."

Dipetik dari agensi berita Maan 23-June 2007-06-24