Patutkah Suhakam dibubarkan?
Siapakah di dalam dilema sekarang - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) atau kerajaan? Berdasarkan tanggungjawab dan kerja-kerja yang telah dilakukan olehnya, rasanya Suhakam tidak keliru, sebaliknya yang terasa serba tidak kena ialah kerajaan.
Undang-undang pembentukan Suhakam memberi tanggungjawab kepadanya untuk mengawasi dan memantau aktiviti hak asasi manusia di negara ini. Ia diberi kuasa untuk menegur dan membuat cadangan berdasarkan fakta dan pertimbangan yang waras.
Sudah menjadi tugas Suhakam untuk menegur mana-mana pencabulan hak asasi manusia meskipun ia dilakukan oleh polis atau sesiapa sahaja. Kalau polis melakukan keganasan atau bertindak kasar dalam menyuraikan sesuatu perhimpunan, maka wajarlah ia ditegur kerana tindakan itu bertentangan dengan hak asasi manusia.
Adakah menegur pencabulan terhadap hak asasi manusia satu kesalahan atau kebaratan? Tidakkah hak asasi manusia sesuatu yang universal. Tidak ada satu bukupun mengatakan hak asasi manusia hanya budaya atau satu pemikiran barat.
Hanya mereka yang berfikiran sempit dan suka kepada penindasan sahaja akan mengatakan hak asasi itu satu rumusan pemikiran barat.
Sekadar kosmetik
Suhakam telah menetapkan garis panduan jelas mengenai ciri-ciri hak asasi manusia yang diperjuangkannya. Ia menerima segala aduan dan melakukan penyiasatan yang diperlukan dan akhir sekali membuat rumusan dan cadangan. Selesai sudah tugasnya, terpulang kepada kerajaan untuk mengkaji, mentafsir dan menerima atau menolaknya. Tiada dilemma bagi Suhakam !
Sekarang dilemma berada di pihak kerajaan. Perdana Menteri Datuk Ser Dr Mahathir Mohamad memandang serong pada suruhajaya ini dan menganggapnya sebagai duri dalam daging. Beliau menuduh Suhakam terpengaruh dengan idea-idea barat.
Dilema Dr Mahathir sekarang ialah sama ada mahu membubarkan Suhakam yang pada pendapatnya memusuhinya dan kerajaan atau membiarkan badan ini terus beroperasi sekadar kosmetik semata-mata.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Samad telah mencadangkan supaya dibubarkan sahaja Suhakam jika kerajaan tidak bersedia untuk membincangkan soal hak asasi manusia.
Katanya, penubuhan Suhakam hanya sesuatu yang tidak berfaedah jika ada pihak tertentu menganggapnya sebagai duri dalam daging kepada kerajaan.
Ataupun paling lekehpun, kerajaan perlu menukar para pesuruhjaya Suhakam dengan orang-orang yang disenanginya. Lantik sahaja mereka yang pasti akan memuji-muji semua tindakan kerajaan.
Gantilah Tan Seri Musa Hitam, Tan Seri Harun Hashim, Datuk Hamdan Adnan, Zainah Anwar dan lain-lainnya dengan tokoh-tokoh lain yang dirasakan lebih 'berwibawa'.
Ganti pesuruhjaya baru
Tan Seri Musa sendiri pernah menyindir kerajaan supaya mengganti semua pesuruhjaya Suhakam yang ada sekarang dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno jika kerajaan tidak mahu menerima pandangan teguran badan itu.
Mungkin tokoh-tokoh seperti Tan Seri Megat Junid, Tan Seri Abdul Rahim Thamby Cik, Datuk Ibrahim Ali, Tan Seri Aishah Ghani atau Tan Seri Awang Had Salleh boleh menggantikan pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam yang ada sekarang.
Suhakam memang patut dibubarkan jika ia menjadi agen asing. Kalau benar ia sebuah suruhanjaya yang " haprak ", ia tidak layak untuk menjadi pendukung dan pelindung hak asasi manausia di negara ini.
Suruhanjaya ini juga patut dibubarkan jika peranannya langsung tidak dihargai. Untuk apa mempunyai sebuah suruhanjaya hak asasi manusia kalau sekadar membuang masa, tenaga dan wang. Kos membiayai Suhakam bukannya murah, pesuruhjayanya mendapat elaun RM5000 sebulan. Banyak perlu dikeluarkan setiap bulan untuk lapan orang pesuruhjaya, kakitangan sokongannya serta sewa bangunan?
Jangan dileburkan wang awam semata-mata untuk mengabui mata rakyat dan masyarakat antarabangsa!
Perjuangan menegakkan hak asasi manusia adalah isu dan masalah sejagat. Malah dalam Islampun manusia diminta supaya menegakkan hak dan keperluannnya selagi ia tidak bertentangan dengana syarak. Tepuk dada tanyalah minda!
.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.